Saban tahun Hari Malaysia disambut pada 16 September demi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Pembentukan persekutuan baru ini dirancang berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Pada masa yang sama pihak Indonesia dan Filipina membuat bantahan atas pembentukan Malaysia menyebabkan pengisytiharan persekutuan Malaysia menjadi lambat dan ditangguhkan bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Sejarah pembentukan Malaysia yang sebelumnya bermula dengan pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah meninggalkan banyak peristiwa sejarah yang menjadi ingatan kepada semua bangsa Malaysia. Peristiwa sejarah yang berlaku seharusnya menjadi garispanduan yang mantap kepada waris anak bangsa agar terus mempertahankan negara ini dengan jiwa dan raga berasaskan kepada sistem Raja Berpelembagaan dan Agama Islam yang menjadi asas kepada perjuangan orang-orang yang terdahulu daripada kita.
Secebis kisah pembunuhan penguasa British JWW Birch pada 2/11/1875 di Pasir Salak, Perak membuktikan tindakan orang-orang Melayu dahulu mempertahankan tanahair dari penjajah yang merendahkan nilai bangsa dan agama (Islam) Melayu pada masa itu. Semangat ini mestilah wujud di dalam jiwa bangsa Malaysia hari ini yang sepatutnya sanggup mempertahankan maruah dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta.
Ikuti tulisan Abdullah Zakaria Ghazali mengenai peristiwa pembunuhan JWW Birch di SINI.
ahlulwulus@2018
No comments:
Post a Comment