02 January 2019

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA TAHUN BAHARU 2019


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Tahun Baharu.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahuwataala, kita sudah berada di ambang Tahun 2019. Dengan penuh takzim, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana kita berjaya menempuh tahun 2018 dengan selamat dan sejahtera.  

Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UUM, khususnya Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Para Penolong Naib Canselor, Dekan, Pengarah dan Pengetua, ahli akademik, kumpulan pengurusan pentadbiran, serta pelaksana, yang sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan UUM.

Sebelum tirai pentas 2018 dilabuhkan, marilah kita mengimbas kembali jalur kerja yang telah menghasilkan pencapaian yang membanggakan antaranya ialah peningkatan kedudukan dalam senarai Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2019 dan QS Asia University Rankings 2019.  Seterusnya, dua program Sarjana Muda yang ditawarkan oleh TISSA-UUM menjadi program pertama dan satu-satunya yang menerima akreditasi EFMD Programme Accreditation System (EPAS) daripada European Foundation for Management Development (EFMD) di Malaysia. Pada penghujung tahun 2018, UUM juga telah diktiraf sebagai universiti ke-76 terbaik dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2018. Kejayaan ini dan pelbagai kejayaan lain diperoleh hasil daripada kegigihan dan permuafakatan warga UUM. Inilah bukti bahawa muafakat membawa berkat.

Melangkah masuk tahun baharu, kita akan menggalas tanggungjawab untuk menyokong pelaksanaan reformasi pendidikan Malaysia. UUM akan bergerak selaras dengan Aspirasi KPM 2018-2023 yang terdiri daripada TIGA (3) nilai utama, iaitu Value-Driven Education yang berteraskan nilai-nilai murni, High Quality Education yang menekankan kecemerlangan dan efisiensi dan Autonomy and Accountability bagi memastikan tadbir urus yang cekap.    

Warga UUM juga harus berfikiran positif terhadap paradoks yang dihadapi, iaitu pada masa kita ingin meningkatkan kebolehpasaran graduan kita juga dalam proses memanfaatkan robotik dan automasi yang akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Oleh itu, tanggungjawab kita adalah untuk melengkapi mahasiswa dengan keupayaan untuk menjadi pencipta kerjaya di samping kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat pada masa hadapan.

Saya amat berharap agar kita secara keratif dan inovatif menggembleng pelbagai sumber yang ada untuk mengisi sebarang kelompangan yang boleh menjejas prestasi UUM. Titik tolak gerak kerja kita adalah untuk mencapai keunggulan di peringkat global, memastikan kestabilan kewangan dan pada masa yang sama meningkatkan tahap kegembiraan dan kesejahteraan dalam kalangan warga UUM melalui pembudayaan nilai-nilai yang positif.

Justeru, untuk mendapatkan manfaat masa dengan sepenuhnya dalam tempoh setahun yang mendatang, nasihat Imam al-Ghazali radiAllahu anhu agar masa itu diatur, disusun dan dijadualkan, menjadi pedoman kita bersama. Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi, terperinci dan teliti, di samping pelaksanaan yang berkesan, kejayaan akan menjadi milik kita. Saya berharap agar semangat dan keyakinan warga UUM dalam menyangga segala usaha menjadi pemangkin untuk kita mencapai misi dan visi yang sedia termaktub. 

Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2019 membuka lembaran sejarah baharu, dengan menempa pelbagai kejayaan dan pecapaian demi menjulang nama UUM sebagai institusi ilmu yang dikagumi di rantau ini. 

Selamat menjalankan amanah.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Hj. Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUMONLINE
ahlulwulus@2019

No comments: