Showing posts with label uum. Show all posts
Showing posts with label uum. Show all posts

15 October 2022

UUM UNIVERSITI KE-2 TERBAIK DI ASIA - THEWUR 2023

Universiti Utara Malaysia (UUM) berbangga apabila berada di kedudukan kedua terbaik dalam kalangan universiti awam dan swasta di Malaysia sekali gus meletakkan universiti ini di kedudukan 70 universiti terbaik di Asia dalam ranking Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2023 yang diumumkan pagi tadi.

 


Dengan lonjakan sebanyak 200 anak tangga, kedudukan universiti ini setara dengan University of Denver di Amerika Syarikat, Brunel University di United Kingdom, Victoria University of Wellington di New Zealand dan Murdoch University di Australia yang sama-sama berada di tangga 401-500 dunia. Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah ketika ditemu bual berkata peningkatan dalam kategori impak sitasi yang ketara di samping penyelidikan dan penampakan pengantarabangsaan berbanding tahun lalu menunjukkan segala strategi yang dilaksanakan melalui Pelan Strategik UUM membuahkan hasil yang memberangsangkan.

 

“Kategori penampakan pengantarabangsaan meningkat daripada 315 ke 274 berpunca daripada peningkatan jumlah pelajar dan staf antarabangsa serta aktiviti antarabangsa yang terus melonjak. “Universiti ini juga membuktikan impak sitasi akademik turut meningkat daripada 883 kepada 660 sekali gus menunjukkan mutu penerbitan, pengajaran dan pembelajaran mencapai tahap yang membanggakan,” tambah beliau. Katanya, dengan lonjakan ini, kedudukan UUM dalam ranking dunia turut meningkat berbanding edisi lalu apabila berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.

 

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga universiti atas usaha keras membantu dalam semua perkara sehingga universiti dapat meningkatkan ranking di peringkat antarabangsa. “Usaha ini adalah hasil kerjasama semua peringkat warga universiti yang menyumbang tenaga dan idea sehingga kita berjaya mencapai penarafan antarabangsa terbaik setakat ini,” tambahnya. Dalam pada itu, THE World University Rankings merupakan penarafan universiti yang berasaskan penyelidikan. Oleh itu, peningkatan dalam kategori ini di samping sitasi menunjukkan UUM juga setara dengan universiti penyelidikan yang lain.

 

Pencapaian yang menggembirakan ini merupakan usaha bersama semua warga universiti tanpa mengira peringkat dan sekali gus membuktikan kemampuan kita semua bahawa walaupun UUM merupakan universiti komprehensif dengan fokus kepada Pengurusan namun ia bukanlah penghalang untuk memperoleh kejayaan lebih besar. Malah Naib Canselor berharap agar semua pihak memberikan komitmen sepenuhnya dan menjalankan amanah sebaik mungkin selaras dengan Gagasan Gemilang Akademia dan Admin Holistik (GAGAH) yang diterapkan oleh Universiti agar terus konsisten memacu kecemerlangan unniversiti di peringkat antarabangsa.

 

Bagi edisi terbaharu ini, THE World University Rankings menyenaraikan 1,779 universiti dari 104 buah negara yang merupakan penyenaraian terbesar sejak dilancarkan. Keputusan terkini kaji selidik THE World University Rankings 2023 boleh dilayari di https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2023/world-rankings.


Source: UUM ONLINE

Blogger: ahlulwulus@2022

27 September 2022

A TEACHER IS THE BACKBONE IN NATIONAL EDUCATION

Despite the many titles given including ‘teacher’, ‘ustaz’, and ‘lecturer’, educators are no doubt the ones who shoulder the majority of the responsibility for sustaining the obligation to educate each and every one of us—spanning the present, the past, and even the future—in allowing for the transparent transmission of knowledge. The Vice-Chancellor of Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah said, it is beyond question that educators play a significant part in assisting each student in becoming a contributing member of society today and in the future.

 

"I accepted the invitation to share knowledge with educators and the community here with openness in line with the continuation of the UUM-PIBKS Building People's Well-Being (MEKAR) programme which was inaugurated by the Minister of Rural Development, Dato' Seri Mahdzir Khalid recently," he said at an event which gathers 800 educators from all over Pendang at Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang (SMK) last Friday. Haim Hilman added, this programme is also considered an endeavour to improve ties with educational institutions in particular and with all educational institutions in Kedah and even in Malaysia. 

 

This kind of sharing is genuinely priceless because it is the responsibility of these educators that keep the flame of their shared enthusiasm alive. Along with that, he also shared about the highs and lows of his life, from elementary school to secondary school to university to his current role as the Vice-Chancellor of UUM. The programme, organised by Pendang Education Office and Pendang Education Foundation, was also attended by Kedah State Executive Committee, Dato' Suraya Yaacob. According to her, such a programme was intended to inspire educators as well as the Parent and Teacher Association (PIBG) in this district, honouring the sacrifices made by educators in training their kids to be beneficial to themselves, the community, religion, and the country.

 

"The invitation of the country's famous figure, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah to Pendang can certainly inject enthusiasm among those present because he is well known as a lowkey personality who managed to capture the pinnacle of academic success," she said. She is optimistic that through cooperation, teachers would enjoy their work, helping educate the nation's youth, and being rewarded by Allah in this world or in the hereafter.


Source: UUM ONLINE
Blogger: ahlulwulus@2022

20 September 2022

SESI NAIB CANSELOR BERSAMA PENSYARAH UUM SIRI 3/2022 (KOHORT A)

Pensyarah universiti ini diminta untuk terus menulis bagi mempergiatkan aktiviti penerbitan dan penyelidikan demi agenda kecemerlangan universiti. Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sebagai seorang pensyarah bukan sahaja mengajar, tetapi perlu terus menulis untuk penerbitan jurnal atau artikel yang berimpak tinggi. Menurutnya, banyak geran atau dana yang disediakan pelbagai pihak yang seharusnya direbut oleh pensyarah, malah universiti juga akan berusaha untuk menyediakan dana yang sepatutnya agar aktiviti penyelidikan dapat dijalankan.


Katanya, usaha dan momentum perlu dipertingkatkan untuk mendapatkan geran penyelidikan sama ada dari luar negara, dana awam, swasta mahupun universiti sendiri. "Selain itu, saya juga menggalakkan pensyarah UUM untuk menghasilkan buku ilmiah mengikut kepakaran masing-masing jika bukan penulisan artikel dan jurnal. "Marilah kita sama-sama meningkatkan penulisan buku dan penerbitan selagi mempunyai peluang dan masa yang ada. Kita bersama-sama melangkah untuk menaikkan nama UUM," ujarnya pada Sesi Naib Canselor Bersama Pensyarah UUM Siri 3/2022 (Kohort A) di Auditorium SOIS, pagi tadi.

Tambah Haim Hilman, apa yang disarankan beliau itu bukan kerana mengejar ranking, sebaliknya kecemerlangan. Kata beliau, apabila universiti cemerlang dalam penerbitan, penyelidikan, perundingan, penglibatan dengan komuniti dan industri, secara tidak langsung ia membantu dalam kedudukan ranking universiti. Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Malike Brahim berkata, sesi pada hari ini sangat bermanfaat kerana mereka berpeluang untuk bersemuka dengan Naib Canselor bagi mendapatkan penjelasan dan pencerahan tentang maklumat yang kurang jelas.

"Sesi begini sangat baik dan boleh dibuat lagi dengan kapasiti lebih kecil agar lebih praktikal terutama untuk proses penggubalan dasar daripada usul atau hasrat Naib Canselor ke arah pencapaian KPI dan pelan strategik universiti. "Selain itu, saluran bagi pengimbangan beban mengikut potensi dan keupayaan pensyarah juga perlu realistik seperti dinyatakan Naib Canselor kerana setiap orang mempunyai kebolehan dan minat yang berbeza seperti penulisan buku yang mengambil masa dan kapasiti beban kerja yang besar," ujar beliau. Malike berharap Naib Canselor akan terus memacu UUM ke arah kecemerlangan dengan adanya jawatankuasa pemandu ke arah pencapaian tersebut.

Penerima Anugerah Daripada SOC

Di akhir sesi, turut diadakan penyerahan sijil penghargaan kepada pensyarah yang cemerlang dalam penerbitan, penyelidikan dan perundingan.

Sumber: UUM ONLINE

Blogger: ahlulwulus@2022

17 February 2022

MAJLIS APRESIASI SOC 2021

Majlis apresiasi (penghargaan) SOC 2021 telah diadakan pada 17 Februari 2022 bertempat di Hotel EDC, UUM. Majlis ini diadakan untuk menghargai pelbagai kejayaan staf SOC sepanjang 2021 dan penyerahan tugas daripada mantan dekan kepada dekan baru dilantik mulai tahun 2022 iaitu Prof Madya Dr. Azham Hussein. Di majlis ini juga saya dihargai melalui anugerah prestasi cemerlang, staf setia berkhidmat dan budi dikenang. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan anugerah ini, selain dari bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberi kesempatan untuk berkhidmat dengan UUM, dan khusus SOC hingga ke hari ini. Pelbagai kenangan indah dan muram pernah dilalui sepanjang 30 tahun berkhidmat di sini. Semoga waktu yang ada dan diizinkan akan terus memberi kekuatan untuk terus berkhidmat dengan baik sehinggalah bersara pada September 2023.


Gambar mantan dekan Prof Dr. Huda Hj Ibrahim bersama dengan 
dekan baru tahun 2022 PM Dr. Azham Hussein.
 

Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) merupakan antara pusat pengajian terbaik di UUM yang berjaya mencapai dan mengekalkan petunjuk prestasi utama (KPI) tertinggi untuk tempoh beberapa tahun ini. Sehubungan itu, sebagai penghargaan di atas sumbangan dan meraikan kecemerlangan warga SOC, seramai 70 staf akademik dan pentadbiran telah diraikan pada Majlis Apresiasi SOC 2021 dan Penyerahan Tugas Penjawat SOC di Dewan Seri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan tugas mantan Dekan SOC, Prof. Dr. Huda Ibrahim kepada Prof. Madya Ts. Dr. Azham Hussain, diikuti oleh Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan dan Penyelaras-penyelaras Program dengan disaksikan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Madya Dr. Mazni Omar. Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Azham berkata, bagi mengekalkan pencapaian yang dikecapi SOC pada hari ini, semua staf perlu bekerjasama  dan memberikan sokongan padu untuk terus meningkatkan prestasi cemerlang SOC sebagai salah satu pusat pengajian terbaik bagi tahun ini. 


“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih juga kepada mantan penjawat SOC 2021 yang telah berusaha dan Berjaya menempa pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu di bawah teraju Prof. Dr. Huda. “Saya berharap agar kerjasama erat antara warga SOC dapat diteruskan dan bersama-sama meningkatkan produktiviti masing-masing untuk mengekalkan kejayaan ini,” katanya. Majlis turut meraikan warga SOC dengan penyampaian anugerah kepada staf yang telah memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang 2021.

Sebanyak 38 anugerah telah disampaikan antaranya Anugerah Budi Dikenang, Anugerah Jawatankuasa Jaringan Industri & Komuniti, Anugerah Setia Berkhidmat, Anugerah Ikon Popular (Wanita), Anugerah Ikon Popular (Lelaki), Anugerah Keterampilan, Anugerah Staf Sokongan Terbaik, Anugerah e-Portfolio Terbaik, Penglibatan Masyarakat dan Industri Terbaik, Pendaftaran Harta Intelek (PATEN), Anugerah Pengajaran Terbaik, Anugerah Pereka cipta, Anugerah Penulis (h-index tertinggi), Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Penyelidik Terbaik dan Anugerah ProAKTIF.

Semoga SOC terus berjaya cemerlang dan gemilang.

Blogger: ahlulwulus@2022

16 February 2022

MOHD TASLIM ABD RASHID PENCIPTA LOGO UUM

Mungkin ramai yang ingin mengenali dan mengetahui siapakah pencipta logo disebalik kelahiran Universiti Pengurusan ini. Memandangkan Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh yang dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang pertama pernah dipinjamkan sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) atau yang kini dikenali dengan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pada tahun 1978-1980 maka peluang diberikan kepada pelajar Kursus Seni Reka Grafik UiTM Shah Alam untuk menyertai dan menghantar penyertaan mereka untuk pertandingan mencipta logo UUM ini.

Hasilnya tiga pensyarah yang diketuai oleh Ketua Kajian Seni Rekanya Prof Dr Zahari Zain Sulaiman bersama 12 pelajarnya telah menghantar penyertaan mereka. Bagi menyambut hari bersejarah pada 16 Februari ini pihak UUM Corporate Communication telah menghubungi pereka logo UUM Mohd Taslim Abd Rashid di Batu Pahat Johor. Pelajar semester akhir Kursus Seni Reka Grafik yang ditemui itu berkata, pensyarahnya telah mewajibkan lebih 100 pelajar kelasnya untuk menghasilkan logo UUM ini pada tahun 1984.


“Saya tidak menyangka logo ciptaan saya yang mengabungkan empat warna iaitu biru tua, lima jalur berwarna putih, enam biji padi berwarna kuning dan biru muda sebagai latar belakang di luar perisai itu berjaya menambat hati juri,” katanya lagi. Alumni ITM Sarjana Muda Seni lukis dan Seni Reka 1985 ini menambah dalam logo itu terdapat lakaran tiga dimensi iaitu mata pena melambangkan peranan UUM sebagai institusi pendidikan dan keilmuan. Manakala dimensi kedua pula melambangkan nama universiti itu UUM yang terdapat lengkung berwarna putih di bawah sekali melambangkan huruf  “U”  singkatan daripada perkataan universiti ini manakala garis lengkung di atas pula melambangkan “U” dari perkataan utara.

“Garis tegak di tengah-tengah dan diapit oleh dua garis lengkung di kiri dan kanannya melambangkan huruf “M” iaitu Malaysia dan terbentuklah perkataan UUM,” sambungnya lagi. Dalam dimensi ketiga pula Mohd Taslim berkata, ianya membawa erti yang terkandung dalam moto UUM di mana dua garisan yang melambangkan keilmuan dan enam bulatan bujur yang berwarna kuning di tengah-tengah perisai mata pena itu adalah hasil padi masak yang membawa erti kebudimanan berasaskan prinsip ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Akhirnya ketiga-tiga garisan dibahagian atas logo itu adalah lambang usaha bersama orang perseorangan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan masyarakat selaras dengan moto UUM ilmu, budi dan bakti.

Source: UUMONLINE
Blogger: ahlulwulus@2022

26 January 2022

NAIB CANSELOR BAHARU TERUSKAN AGENDA UUM

Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah secara rasminya dilantik sebagai Naib Canselor baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kesembilan berkuat kuasa pada 17 Januari lalu bagi menggantikan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Ogos 2021. Beliau yang melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UUM sejak 12 September tahun lalu turut memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) mulai 1 Januari 2021.

 

Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu berjanji akan meneruskan misi universiti menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka, di samping menggalas amanah yang diberi untuk menerajui kepimpinan di UUM dengan sebaiknya demi kelestarian universiti ini. Dengan memiliki Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik dari Universiti Putra Malaysia, selain Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.


 

Memulakan kerjaya di UUM pada tahun 2000, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan pentadbiran sama ada di pusat pengajian mahupun pusat tanggung jawab berbekalkan pengalaman dalam bidang akademik dan pentadbiran di universiti lebih 20 tahun. Antara jawatan yang pernah disandang ialah Penolong Naib Canselor UUM COB, Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Pengarah Unit Pengurusan Korporat, IPQ dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik - QS World University Rankings.

 

Pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan strategik membuatkan beliau menjadi pilihan sebagai pengucap tama dan penceramah daripada banyak pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara. Selain itu juga, beliau telah menerbitkan lebih 200 buah buku, artikel jurnal, prosiding dan artikel akhbar. Beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Literati Awards 2020, Awards for Excellence Highly Commended, Emerald Publishing Limited; Distinguished Business Dean,Academy of Global Business Advancement (AGBA), Amerika Syarikat dan Productivity Champion, Malaysia Productivity Corporation, Malaysia.

 

Semoga UUM mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang apabila perancang strategik menjadi peneraju utama universiti, sekali gus mencapai visi yang telah ditetapkan sejak pelaksanaan Pelan Strategik UUM pada 2010 dan Gagasan Gemilang Akademia dan Admin Holistik Universiti Utara Malaysia (UUM) 2021-2025 (GAGAH UUM) yang dilancarkan beliau pada tahun lalu.


Sumber: UUM ONLINE 

ahlulwulus@2022

15 September 2021

PELAJAR KEMBALI KE KAMPUS SEMESTER OGOS 2021

UUM ONLINE: Selaras dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini Ahmad berkenaan Pengoperasian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semalam, Universiti Utara Malaysia telah bersedia untuk menerima kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2021/2022 secara fizikal dari semua negeri tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing bermula 15 Oktober ini secara berperingkat. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sehingga hari ini (14 September), kira-kira 3000 pelajar lama telah mendaftar untuk kembali ke kampus dan 5200 pelajar baharu mendapat tawaran kemasukan ke UUM, namun tarikh pengesahan untuk kembali ke kampus secara fizikal masih dibuka sehingga penghujung September ini.


Menurutnya, pelaksanaan kemasukan pelajar secara berperingkat itu adalah bagi memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara, di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan seperti mana yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Katanya, sebagai persediaan sebelum pelajar kembali ke kampus, UUM telah menyiapkan garis panduan lengkap dengan pembabitan semua jabatan berkaitan di kampus ini seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan, Jabatan Keselamatan dan UUMIT. "Proses kemasukan pelajar akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, justeru SOP yang ketat akan diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk yang bukan sahaja melibatkan pelajar tempatan, malahan pelajar antarabangsa mengikut kategori yang dibenarkan oleh KPT.

"Bagi melancarkan proses kemasukan pelajar secara fizikal nanti, pelajar yang akan kembali perlu memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin. Saya juga ingin mengingatkan pelajar yang masih belum divaksin agar dapat berbuat demikian dengan segera atau menghubungi Badan Bertindak COVID-19 (CITF) untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan," katanya. Tambah beliau, proses kepulangan pelajar ke kampus ini akan mengikut kaedah-kaedah yang telah diumumkan oleh KPT dan UUM telah membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga universiti melalui proses kesihatan yang ketat seperti yang disarankan KPT.

Bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 di dalam kampus, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, UUM akan menyediakan pusat pengasingan bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan, di samping mengambil langkah berjaga-jaga menerusi Pusat Kesihatan Universiti. Berkenaan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), menurutnya, proses tersebut akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang diluluskan MKN, malah universiti juga akan memastikan kemudahan dan fasiliti dalam kampus berada dalam keadaan terbaik bagi kegunaan pelajar. Katanya, bagi pelajar yang tidak pulang ke kampus pula, pihak UUM tetap akan memberi perhatian termasuk kebajikan mereka sepanjang berada di rumah masing-masing, malah pelajar boleh menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat sepanjang tempoh pengajian. "Setiap keputusan atau langkah yang diambil universiti ini adalah demi memberi keutamaan kepada pelajar dalam menyediakan modal insan yang hoslistik pada masa hadapan," katanya.

Pada masa sama, Prof. Dr. Haim Hilman mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi di atas keprihatinan terhadap bebanan keluarga dan pelajar dengan mengurangkan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar tempatan bagi Semester 1 Sesi 2021/2022. Katanya, beliau berharap ia merupakan satu berita gembira kepada pelajar terlibat, malah universiti juga menyambut baik inisiatif tersebut dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar selaras dengan hasrat KPT untuk melihat proses pembelajaran dapat diberikan kepada anak bangsa walaupun negara dan dunia masih dalam pandemik Covid-19.

Selain mengumumkan tentang kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober depan, pada sidang media Menteri Pengajian Tinggi itu turut memaklumkan tentang VACC2Campus: Program Vaksinasi Warga IPT, pergerakan pelajar, kemasukan pelajar antarabangsa, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menyantuni kesejahteraan pelajar.

Sumber: UUMONLINE.

ahlulwulus@2021

11 January 2021

STRATEGIK KPT MEMERTABATKAN SEKTOR PENGAJIAN TINGGI NEGARA

Melangkah ke tahun 2021, warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta bersama-sama untuk sederap melangkah ke hadapan berpandukan enam fokus strategik seiring dengan tema 'Menginspirasi Minda, Mendakap Kehebatan'. Menyampaikan amanat tahun baharu, Datuk Seri Dr. Norani Ahmad berkata, enam fokus strategik KPT pada tahun ini adalah untuk memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memperkukuh kebolehpasaran graduan, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarakkan semangat #KPTPrihatin. Menurutnya, menerusi fokus strategik memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan, infrastruktur ICT akan dipertingkatkan dengan pelaksanaan projek menaik taraf MyREN yang diluluskan dengan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021, selain semua IPT perlu menyesuaikan modul pembelajaran dan kaedah penilaian sedia ada dengan persekitaran digital serta memastikan kapasiti tenaga pengajar dipertingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi agar matlamat pendigitalan pendidikan.
"Fokus strategik kedua iaitu memantapkan jaringan kolaborasi strategik yang mana satu model baharu penajaan pengajian diketengahkan sebagai alternatif kepada pembiayaan biasiswa oleh kerajaan. Contohnya, Program MyBrighter Future dengan kerjasama Yayasan TNB dan strategi melibatkan yayasan lain seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman, Yayasan Sime Darby dan Yayasan Hasanah. Program CEO@Faculty juga akan terus dilaksanakan dan pembentangan kertas secara berkala melalui platform digital yang boleh dinamakan sebagai Festival of Ideas dapat dianjurkan. "Ketiga, memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC). 

KPT bertanggungjawab kepada dua specialised taskforce iaitu National Education dan TVET. Selain itu, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan IPT 2021 – 2025 juga bakal dilancarkan, program-program peningkatan kebolehpasaran graduan seperti PENJANA KPT-CAP dan program Baucar KPT-PACE perlu digarap menjadi lebih kemas, diperluaskan spektrumnya dan dipantau secara rapi bagi memastikan outcome yang ditetapkan dicapai. Di samping itu, bagi memperkasakan agenda keusahawanan, Pelan Tindakan Keusahawanan 2021 – 2025 akan dibangunkan dan Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional diaktifkan semula sebagai forum untuk membincangkan hala tuju dan penyelesaian berkaitan inisiatif melahirkan modal insan yang berdaya keusahawanan. "Fokus strategik keempat iaitu memacu kesejahteraan komuniti yang menekankan tentang keperluan untuk menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti. Pensyarah dan profesor diminta tampil ke hadapan dengan sumbangan yang lebih besar iaitu menjadi pakar kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing-masing. 

Sumbangan ini haruslah melimpah keluar dari kampus kepada masyarakat dalam bentuk spillover effect dan rakyat dapat menikmati kepakaran mereka yang mana kemungkinan sumbangan tersebut mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga boleh dinobatkan sebagai nobel laureate. KPT akan bersama-sama dengan semua IPT merangka program khusus yang lebih komprehensif bagi membangunkan potensi calon nobel laureate ini," katanya pada Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live KPT, semalam. Datuk Seri Dr. Noraini berkata, bagi fokus strategik kelima iaitu mempersada kecemerlangan institusi, beliau menyarankan agar satu naratif baharu diberikan kepada business model syarikat induk Universiti Awam (UA) serta memastikan mereka memainkan peranan sebagaimana GLC lain. Universiti sebagai badan berkanun yang diberikan kuasa untuk menubuhkan anak syarikat dan membuat pelaburan haruslah mewujudkan kaedah pemantauan yang efektif terhadap pengurusan pelaburan, penubuhan syarikat induk dan anak syarikat serta pinjaman yang bakal dibuat oleh universiti awam. 

Di samping itu, menurutnya, cadangan agar lebih banyak universiti awam diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dan RU sedia ada menjadi mentor kepada universiti-universiti yang dikenal pasti melalui program Rakan RU. Katanya, bagi meneruskan keunggulan KPT, AKEPT sebagai pakar dalam pembangunan kepimpinan bakat pendidikan tinggi juga perlu lebih kreatif untuk mempromosikan kepakaran yang dimiliki sehingga diakui di peringkat antarabangsa termasuk MQA untuk mengetengahkan program Accreditation of Prior Experiental Learning (APEL) sehingga melangkaui sempadan negara. "Akhir sekali di bawah fokus strategik keenam, bagi menyemarakkan semangat #KPTPrihatin, KPT telah mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus dengan kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia. Langkah proaktif telah diambil dengan membangunkan Portal Rumah Siswa yang bakal menyediakan platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa. 

"Selain itu, usaha memperkasakan fungsi kad matrik pelajar menerusi inisiatif Kad Prihatin Siswa yang berfungsi sebagai kad debit dan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti e-wallet dan transaksi tanpa tunai juga sedang giat dilaksanakan serta pelancaran Tabung Prihatin Siswa oleh Yayasan Sukarelawan Siswa yang merupakan satu lagi contoh inisiatif di bawah fokus strategik ini. "Dengan keenam-enam fokus strategik tersebut, saya percaya kita akan dapat mendepani cabaran tahun 2021 ini dan menjadi penggerak kepada modal insan yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan masa hadapan Malaysia, malah bagi memastikan kesemua enam fokus strategik ini dapat dilaksanakan, saya ingin menerapkan nilai organisasi yang diringkaskan sebagai 5S iaitu Speed, Synergy, Solidarity, Strategic dan Standard," katanya yang turut mengimbau pencapaian KPT sepanjang 2020. Beliau turut berkongsi cabaran yang bakal didepani pada tahun ini iaitu menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, isu kebolehpasaran graduan dalam kalangan siswazah dan cabaran mengekalkan kelestarian pengoperasian universiti. 

Pada majlis sama, Datuk Seri Dr. Noraini telah menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang, penyampaian sijil penghargaan kepada Rakan RU, penyampaian cenderamata berupa wakaf Al-Quran kepada 20 Naib Canselor termasuk Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani serta penyampaian penghargaan kepada 'frontliners' dan rakan strategik KPT. Naib Canselor berterima kasih di atas pemberian wakaf Al-Quran tersebut yang perlu digunakan sebagai panduan hidup seperti mana yang terdapat dalam Surah al-Jaatsiyah, ayat 20 yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.” 

Sumber: UUMONLINE 
ahlulwulus@2021

04 January 2021

AMANAT NAIB CANSELOR 2021 - MEMACU KECERMELANGAN UUM

Tahun 2021 dibuka dengan lembaran baru setelah kita melalui pelbagai cabaran dengan isu-isu yang melanda dunia iaitu pandemik Covid-19 sehingga ia memberi impak besar kepada semua dalam pelbagai aspek termasuk sistem pendidikan negara. Memasuki tahun baharu ini juga, warga Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar tidak menjadi jaguh kampung yang hanya gah berkata-kata di dalam kampus sahaja, sebaliknya melaksanakan sesuatu tugas secara satu pasukan yang hebat dan bersatu untuk memastikan agenda universiti menjadi kenyataan. Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, apa yang dikecapi universiti sekarang adalah hasil usaha bersama, bukan usaha Naib Canselor seorang. Ini adalah kejayaan bersama. Menurutnya, sebagai satu pasukan juga perlu menghargai kepelbagaian dan menggalakkan perpaduan antara warga kampus meskipun berbeza pandangan, idea dan cadangan.


"Kita perlu terus yakin dan bersedia untuk membantu UUM dalam pelbagai aspek seperti menjayakan agenda universiti antaranya ranking dan rating, namun masih tidak mengetepikan agenda kemasyarakatan dengan memastikan mereka mendapat manfaat bersama serta membantu universiti meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan yang dilihat kini semakin mendapat perhatian industri.

"Selain itu, saya juga berharap semua pusat tanggungjawab (PTJ) dapat membantu universiti dalam penjanaan pendapatan. Kita perlu sama-sama berfikir untuk bergerak sebagai sebuah sektor korporat sekarang," katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor dan Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat Utama 2021 di EDC Hotels & Resorts, semalam.

Dalam amanat beliau turut menyentuh tentang pencapaian Pelan Strategik Fasa 2 (2016-2020) yang telah berakhir pada tahun lalu dan kini memasuki Pelan Strategik Fasa 3 (2021-2025) dengan enam teras yang akan memfokuskan tiga agenda iaitu UUM Branding, Quality Alumni dan Management Reference Centre berlandaskan 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Menurutnya, beliau berharap semua penjawat dapat bersama-sama memastikan 25 KPI tersebut dapat dicapai demi memacu kecemerlangan UUM. Di samping itu, katanya, menjelang 2025, beliau berharap UUM akan berjaya mencapai kejayaan dalam lonjakan ranking di QS World University Rankings (QSWUR), Times Higher Education (THE) World University Rankings dan UI GreenMetric.

"Saya juga mahu OYAGSB berjaya menjadi Top Business School setelah berjaya memperolehi AACSB dan AMBA, seterusnya memperolehi EQUIS, menjadikan UUM Kampus Kuala Lumpur sebagai Crown Jewel UUM serta merealisasikan hasrat Tuanku Canselor mewujudkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM)," katanya.

Pada majlis sama, Naib Canselor telah menyampaikan watikah pelantikan penjawat utama universiti kepada 67 penerima melibatkan Ketua Pusat Tanggungjawab, Dekan dan juga Pengetua Inapan Siswa (INASIS), diikuti sesi pemakaian pangkat pegawai staf Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan bacaan ikrar yang diketuai Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal Rajemi. Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir berkata, jawatan tersebut merupakan satu amanah yang diberikan universiti dan semua pemegang taruh (stakeholder). Menurutnya, ia bukan satu kelebihan tetapi amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul dengan penuh integriti demi masa hadapan UUM. Naib Canselor turut melancarkan buku Pelan Strategik Fasa 3 (2021-2025) oleh Pusat Pengurusan Kualiti (IPQ), MyPortfolio (Jabatan Pendaftar) dan UUM Connected Campus (UUMIT).

Sumber: UUMONLINE
ahlulwulus@2021

12 May 2020

NAIK PANGKAT KE PROFESOR MADYA

Profesor universiti ini adalah diingatkan agar dapat bersama-sama membantu untuk menaikkan nama UUM di persada antarabangsa. Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau yakin dengan kepakaran yang dimiliki setiap profesor yang ada di UUM bagi membantu menjulang nama universiti ke tahap lebih tinggi lagi. Menurutnya, gelaran profesor itu adalah satu institusi yang perlu dimanfaatkan dan beliau mahu nama UUM dikenali orang luar dengan kepakaran dimiliki bukan sahaja terkenal sebagai jaguh kampung tetapi universiti pengurusan terkemuka di peringkat global.

Katanya, universiti kini sedang menuju ke arah digital meskipun negara dilanda wabak Covid-19, namun universiti telah bersedia walaupun tidak sepenuhnya dalam keadaan agak tertekan dan kekurangan, UUM akan terus bergerak menjadi full force digital campus seperti dalam dasar UUM ke arah digital campus yang telah dibentangkan pada Januari tahun lalu. “Universiti akan meningkatkan sistem penyampaian yang lebih cepat dan efisien seiring dengan era digital serta kaedah pengajaran dan pembelajaran juga akan dilakukan secara atas talian (online).

“Selain itu, dalam aspek ranking juga kita tidak akan bertolak ansur kerana dalam lawatan ke pusat pengajian lalu, saya telah menekankan agenda ranking adalah satu agenda penting tetapi saya mahu lihat ia diterjemahkan kepada lebih ketara seperti menerusi penjanaan kewangan universiti dengan hasil penyelidikan bersama pihak luar atau industri. “Di sini, kalangan profesor memainkan peranan penting untuk meningkatkan jalinan kerjasama dengan industri menerusi penyelidikan. Ini adalah kelemahan pihak universiri saban tahun yang mana hubungan dengan industri masih kurang, justeru fikirkan bagaimana untuk tingkatkan jenama UUM ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik di Bilik Senat, semalam.

Seramai 27 staf akademik telah menerima watikah kenaikan pangkat melibatkan kenaikan pangkat ke jawatan Profesor (VK7) seramai enam orang, Prof. Madya (16) dan pensyarah kanan seramai lima orang. Naib Canselor berkata, kenaikan pangkat staf akademik itu membuktikan mereka cemerlang dalam pelbagai aspek, malah beliau yakin ianya telah dinilai dan staf tersebut melalui proses yang ketat. Seperti sedia maklum, katanya, kenaikan pangkat itu bukan pengakhir untuk pencapaian seterusnya, justeru beliau berharap Profesor yang dilantik termasuk staf akademik lain akan terus berjuang memartabatkan nama universiti yang tercinta. “Jangan sombong diri dan ego kerana apa yang diperolehi hari ini bukan atas usaha diri sendiri sahaja tetapi berkat usaha rakan-rakan, Dekan dan pihak pengurusan. “Teruskan bekerja untuk universiti dan pusat pengajian masing-masing. Semoga  setiap agenda yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Sumber: UUM ONLINE
ahlulwulus@2020

05 August 2019

TAKZIAH KEPADA SAHABAT DR. HAZARUDDIN BIN HARUN

Takziah diucapkan kepada sahabat se pejabat Dr. Hazaruddin bin Harun, atas kepulangan isteri beliau, Allahyarham Dr. Hamirul’Aini binti Hambali, juga sahabat di pejabat yang sama, kembali ke  rahmatullah pada hari ini 5 Ogos 2019. Allahyarham adalah seorang sahabat yang baik serta seorang pensyarah yang amat disenangi oleh pelajarnya. Kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan tergolong di kalangan roh orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga Dr. Hazaruddin juga diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupanya tanpa isteri yang tersayang.


Aamiin.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Dr. Hamirul’Aini binti Hambali.

ahlulwulus@2019

20 April 2019

WARNA WARNI KAMPUS

Deretan bunga kertas yang bewarna-warni, merimbun, menari-nari ditiup angin pastinya menggamit pandangan mata sesiapa sahaja yang melihatnya. Indahnya ciptaan tuhan yang mewarnai bumi kampus Sintok pada masa ini. Bougainvillea yang berkembang mekar sepanjang jalan terutamanya berhampiran pintu gerbang UUM seolah-olah mengucapkan selamat datang ke UUM. Bougainvillea merupakan bunga rasmi UUM dan pokok hiasan yang sangat popular bagi mengindahkan laman. 


Musim bunga ini berlaku pada setiap tahun.

ahlulwulus@2019

06 April 2019

BENGKEL PERANCANGAN PELAN STRATEGIK PPP-SOC 2019

Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah memperkemaskan semula pelan tindakan strategik pusat pengajian susulan semakan semula KPI  Universiti baru-baru ini.  Beberapa  pelan tindakan yang dikenalpasti berpeluang untuk mencapai KPI turut diberikan perhatian dalam Bengkel Perancangan Strategik dan QS WUR By Subject yang telah diadakan pada 4-6 April 2019 di Marina Island Resort, Lumut, Perak.


Seramai 95 orang staf akademik dan pentadbiran SOC telah menyertai bengkel  ini dengan beberapa isu dan cabaran yang berbangkit mengenai perancangan strategik telah dapat diselesaikan.  Bengkel tiga hari ini dipenuhi dengan fokus kepada perbincangan terhadap usaha untuk melonjakkan SOC sebagai sebuah Pusat Pengajian yang cemerlang di UUM.

Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Dr. Huda  Hj Ibrahim,  dalam ucapan penutupnya meminta semua staf memberikan komitmen yang penuh terhadap perancangan strategik SOC ini. Kerjasama dari semua peringkat amat diperlukan kerana tanpa kesepakatan dan sokongan semua apa yang dirancangkan tidak akan berjaya.  Bagi  mengeratkan silaturrahim di kalangan staf juga, bengkel ini turut diisi dengan slot tazkirah, senam ceria dan aktiviti pembangunan pasukan.

Source: SOC ONLINE
ahlulwulus@2019

02 January 2019

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA TAHUN BAHARU 2019


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Tahun Baharu.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahuwataala, kita sudah berada di ambang Tahun 2019. Dengan penuh takzim, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana kita berjaya menempuh tahun 2018 dengan selamat dan sejahtera.  

Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UUM, khususnya Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Para Penolong Naib Canselor, Dekan, Pengarah dan Pengetua, ahli akademik, kumpulan pengurusan pentadbiran, serta pelaksana, yang sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan UUM.

Sebelum tirai pentas 2018 dilabuhkan, marilah kita mengimbas kembali jalur kerja yang telah menghasilkan pencapaian yang membanggakan antaranya ialah peningkatan kedudukan dalam senarai Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2019 dan QS Asia University Rankings 2019.  Seterusnya, dua program Sarjana Muda yang ditawarkan oleh TISSA-UUM menjadi program pertama dan satu-satunya yang menerima akreditasi EFMD Programme Accreditation System (EPAS) daripada European Foundation for Management Development (EFMD) di Malaysia. Pada penghujung tahun 2018, UUM juga telah diktiraf sebagai universiti ke-76 terbaik dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2018. Kejayaan ini dan pelbagai kejayaan lain diperoleh hasil daripada kegigihan dan permuafakatan warga UUM. Inilah bukti bahawa muafakat membawa berkat.

Melangkah masuk tahun baharu, kita akan menggalas tanggungjawab untuk menyokong pelaksanaan reformasi pendidikan Malaysia. UUM akan bergerak selaras dengan Aspirasi KPM 2018-2023 yang terdiri daripada TIGA (3) nilai utama, iaitu Value-Driven Education yang berteraskan nilai-nilai murni, High Quality Education yang menekankan kecemerlangan dan efisiensi dan Autonomy and Accountability bagi memastikan tadbir urus yang cekap.    

Warga UUM juga harus berfikiran positif terhadap paradoks yang dihadapi, iaitu pada masa kita ingin meningkatkan kebolehpasaran graduan kita juga dalam proses memanfaatkan robotik dan automasi yang akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Oleh itu, tanggungjawab kita adalah untuk melengkapi mahasiswa dengan keupayaan untuk menjadi pencipta kerjaya di samping kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat pada masa hadapan.

Saya amat berharap agar kita secara keratif dan inovatif menggembleng pelbagai sumber yang ada untuk mengisi sebarang kelompangan yang boleh menjejas prestasi UUM. Titik tolak gerak kerja kita adalah untuk mencapai keunggulan di peringkat global, memastikan kestabilan kewangan dan pada masa yang sama meningkatkan tahap kegembiraan dan kesejahteraan dalam kalangan warga UUM melalui pembudayaan nilai-nilai yang positif.

Justeru, untuk mendapatkan manfaat masa dengan sepenuhnya dalam tempoh setahun yang mendatang, nasihat Imam al-Ghazali radiAllahu anhu agar masa itu diatur, disusun dan dijadualkan, menjadi pedoman kita bersama. Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi, terperinci dan teliti, di samping pelaksanaan yang berkesan, kejayaan akan menjadi milik kita. Saya berharap agar semangat dan keyakinan warga UUM dalam menyangga segala usaha menjadi pemangkin untuk kita mencapai misi dan visi yang sedia termaktub. 

Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2019 membuka lembaran sejarah baharu, dengan menempa pelbagai kejayaan dan pecapaian demi menjulang nama UUM sebagai institusi ilmu yang dikagumi di rantau ini. 

Selamat menjalankan amanah.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Hj. Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUMONLINE
ahlulwulus@2019

19 November 2018

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 1440H/2018M

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Muslimin Muslimat Warga UUM yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahuwataala, Tuhan yang mentadbir sekalian alam, kerana dengan limpahan rahmat-Nya dapat kita bersama-sama menyambut hari ulang tahun keputeraan Kekasih-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Selawat dan salam buat Khatimul Anbiya’ Rasulullah Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat dan pengikut Baginda.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil teladan daripada kesungguhan Baginda mempertautkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar serta menyantuni para sahabat Baginda dengan sebaiknya. Sifat penyantun baginda ini tidaklah terhad dalam kalangan Muslim sahaja, malahan baginda juga sangat prihatin dengan masyarakat bukan Islam sebagai contoh pada ketika baginda bermuamalah dengan kaum Yahudi ketika Baginda mentadbir negara Islam Madinah. 

Oleh itu, sebagai umat Baginda, sewajarnya kita mencontohi akhlak peribadi, budi pekerti dan sifat penyayang Baginda sebagai contoh ikutan terbaik dalam kehidupan seharian. 
Allah berfirman yang bermaksud;

“Sungguh, telah ada suri teladan yang baik pada (diri) Rasulullah bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah al- Ahzab, ayat 21).

Sentiasalah kita bermuhasabah diri sebagai khalifah di atas muka bumi supaya kehidupan kita bertambah baik dari semasa ke semasa. Pastikan dalam kita bermuamalah seharian, sama ada di tempat kerja, di rumah, atau dalam masyarakat, secara individu atau berkumpulan, kita seharusnya mentauladani keprihatinan dan keadilan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menyama rata semua golongan, tanpa mengira pangkat dan darjat, kaya atau miskin. Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Bertepatan juga dengan tema sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1440H/2018M Peringkat Kebangsaan, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, saya amat berharap agar semua warga UUM mempertaut erat tali silaturrahim demi mewujudkan suasana kerja yang mesra dan harmoni serta dapat mengekalkan kesejahteraan di samping menyantuni masyarakat sekeliling dan memulihara alam sekitar. Semoga UUM berupaya menterjemah tema yang diangkat dalam usaha membangunkan modal insan dan negara kita yang tercinta. 


وَبِاللهِ التَّوْفِيْق وَالْهِدَايَةُ  وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Haji Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUM Online
ahlulwulus@2018

28 August 2018

JELAJAH MERDEKA HUTAN SINTOK 2018

Program ini dianjurkan untuk mendedahkan kepada Alumni dan Staf UUM mengenai sejarah Hutan Sintok yang diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Kawasan Hitam pada zaman Komunis. Di samping itu, program bersempena Bulan Kemerdekaan ke-61 ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara Alumni UUM, Satf dengan Pusat Alumni UUM. Program ini berlangsung dengan jayanya oleh penyertaan sebanyak 58 orang. Dan aku adalah salah seorang yang menyertai program ini dengan jangkaan laluannya biasa biasa saja. Namun trek yang dilalui ini bukit W dan bukit Dagu yang kedua-duanya tinggi dan curam. Amat letih dan memenatkan, dan selepas beberapa hari barulah sengal-sengal di betis dan paha boleh hilang.

Melepasi halangan pertama
Taklimat daripada Jurupandu Termizi
Pokok Tiga Beradik
Mendaki bukit W
Pokok 3 Beradik
Antara pokok 3 beradik

Program bermula dari padang sasar dan berakhir di tasik sintok.

ahlulwulus@2018

20 August 2018

NAIB CANSELOR UUM 2018

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH PROF. DATO SERI DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK, NAIB CANSELOR UUM KE TUJUH 2010-2018


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tempoh perkhidmatan saya sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke tujuh tamat pada Jumaat,  24 Ogos 2018.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (dulunya Kementerian Pengajian Tinggi) atas peluang yang diberikan kepada saya ini.

Sesungguhnya perjalanan tugas ini selama lebih lapan tahun adalah sesuatu yang amat mengujakan dan saya cukup gembira sepanjang menggalas tugas ini di sebalik segala cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Saya berterima kasih kepada semua warga kerja Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, UUM termasuklah Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah UUM, Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan semua pegawai kanan atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan kepada saya selama ini.

Tidak dilupakan juga kepada semua warga kerja UUM  dari segenap lapisan serta para mahasiswa/i UUM yang dikasihi sekalian. 

Saya turut berterima kasih kepada semua anggota masyarakat tempatan, semua rakan kongsi dan rakan-rakan UUM, handai taulan serta sahabat-sahabat dan rakan-rakan saya yang telah turut membantu dalam apa jua keadaan sukar dan senang, jatuh dan bangun bersama.

Saya sangat hargai segala sokongan dan bantuan anda semua.

Mohon maaf zahir dan batin jika ada terlanjur bicara dan apa-apa tindakan dan perlakuan saya yang telah menyinggung hati dan perasaan mana- mana pihak. 

Akhir kata tahniah dan selamat bertugas kepada Naib Canselor UUM yang baharu, Profesor Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani semoga Allah SWT permudahkan segala tugas beliau memacu kecemerlangan untuk UUM selepas ini. 


Selamat maju jaya kepada ke dua-dua Naib Canselor yang telah dan akan menyumbang bakti kepada kejayaan UUM. Selamat Maju Jaya UUM. 

Sumber: UUM online.
ahlulwulus@2018

10 May 2018

UUM UCAP TAHNIAH KEPADA TUN MAHATHIR

Pilihanraya umum ke 14 (PRU-14) yang telah diadakan pada 9 Mei 2018 telah pun selesai dan keputusannya telahpun diketahui dengan memihak kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negara sehingga PRU yang akan datang. Pelbagai pihak telah mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat, termasukkan pihak pengurusan UUM secara khususnya telah mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai perdana menteri yang baru dan Dato Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah yang baru.



Tahniah juga kepada rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan yang mereka mahukan. Semoga Malaysia akan terus gemilang di saentaro dunia. Aameen.

ahlulwulus@2018

04 April 2018

GERAN PENYELIDIKAN PRGS

Hari ini mempertahankan cadangan geran projek PRGS (Prototype Research Grant Scheme) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Putrajaya bersama dengan Pengarah RIMC Prof Dr. Aizuddin. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan pembentangan berjaya dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sokongan rakan-rakan penyelidik Dr Shahbani, Dr Ahmad Suki dan En Muhammad Shakirin membolehkan pembentangan ini dapat dilakukan dgn lancar. Terima kasih juga kepasa Prof Dr Aizuddin dan stafnya yang turut menyokong proses permohonan ini dari mula hingga ke hari ini. Barakahlahu fikum.
ahlulwulus@2018
Prof. Dr. Mohd Azizuddin and Me