Showing posts with label Naib Canselor. Show all posts
Showing posts with label Naib Canselor. Show all posts

20 September 2022

SESI NAIB CANSELOR BERSAMA PENSYARAH UUM SIRI 3/2022 (KOHORT A)

Pensyarah universiti ini diminta untuk terus menulis bagi mempergiatkan aktiviti penerbitan dan penyelidikan demi agenda kecemerlangan universiti. Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sebagai seorang pensyarah bukan sahaja mengajar, tetapi perlu terus menulis untuk penerbitan jurnal atau artikel yang berimpak tinggi. Menurutnya, banyak geran atau dana yang disediakan pelbagai pihak yang seharusnya direbut oleh pensyarah, malah universiti juga akan berusaha untuk menyediakan dana yang sepatutnya agar aktiviti penyelidikan dapat dijalankan.


Katanya, usaha dan momentum perlu dipertingkatkan untuk mendapatkan geran penyelidikan sama ada dari luar negara, dana awam, swasta mahupun universiti sendiri. "Selain itu, saya juga menggalakkan pensyarah UUM untuk menghasilkan buku ilmiah mengikut kepakaran masing-masing jika bukan penulisan artikel dan jurnal. "Marilah kita sama-sama meningkatkan penulisan buku dan penerbitan selagi mempunyai peluang dan masa yang ada. Kita bersama-sama melangkah untuk menaikkan nama UUM," ujarnya pada Sesi Naib Canselor Bersama Pensyarah UUM Siri 3/2022 (Kohort A) di Auditorium SOIS, pagi tadi.

Tambah Haim Hilman, apa yang disarankan beliau itu bukan kerana mengejar ranking, sebaliknya kecemerlangan. Kata beliau, apabila universiti cemerlang dalam penerbitan, penyelidikan, perundingan, penglibatan dengan komuniti dan industri, secara tidak langsung ia membantu dalam kedudukan ranking universiti. Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Malike Brahim berkata, sesi pada hari ini sangat bermanfaat kerana mereka berpeluang untuk bersemuka dengan Naib Canselor bagi mendapatkan penjelasan dan pencerahan tentang maklumat yang kurang jelas.

"Sesi begini sangat baik dan boleh dibuat lagi dengan kapasiti lebih kecil agar lebih praktikal terutama untuk proses penggubalan dasar daripada usul atau hasrat Naib Canselor ke arah pencapaian KPI dan pelan strategik universiti. "Selain itu, saluran bagi pengimbangan beban mengikut potensi dan keupayaan pensyarah juga perlu realistik seperti dinyatakan Naib Canselor kerana setiap orang mempunyai kebolehan dan minat yang berbeza seperti penulisan buku yang mengambil masa dan kapasiti beban kerja yang besar," ujar beliau. Malike berharap Naib Canselor akan terus memacu UUM ke arah kecemerlangan dengan adanya jawatankuasa pemandu ke arah pencapaian tersebut.

Penerima Anugerah Daripada SOC

Di akhir sesi, turut diadakan penyerahan sijil penghargaan kepada pensyarah yang cemerlang dalam penerbitan, penyelidikan dan perundingan.

Sumber: UUM ONLINE

Blogger: ahlulwulus@2022

16 February 2022

MOHD TASLIM ABD RASHID PENCIPTA LOGO UUM

Mungkin ramai yang ingin mengenali dan mengetahui siapakah pencipta logo disebalik kelahiran Universiti Pengurusan ini. Memandangkan Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh yang dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang pertama pernah dipinjamkan sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) atau yang kini dikenali dengan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pada tahun 1978-1980 maka peluang diberikan kepada pelajar Kursus Seni Reka Grafik UiTM Shah Alam untuk menyertai dan menghantar penyertaan mereka untuk pertandingan mencipta logo UUM ini.

Hasilnya tiga pensyarah yang diketuai oleh Ketua Kajian Seni Rekanya Prof Dr Zahari Zain Sulaiman bersama 12 pelajarnya telah menghantar penyertaan mereka. Bagi menyambut hari bersejarah pada 16 Februari ini pihak UUM Corporate Communication telah menghubungi pereka logo UUM Mohd Taslim Abd Rashid di Batu Pahat Johor. Pelajar semester akhir Kursus Seni Reka Grafik yang ditemui itu berkata, pensyarahnya telah mewajibkan lebih 100 pelajar kelasnya untuk menghasilkan logo UUM ini pada tahun 1984.


“Saya tidak menyangka logo ciptaan saya yang mengabungkan empat warna iaitu biru tua, lima jalur berwarna putih, enam biji padi berwarna kuning dan biru muda sebagai latar belakang di luar perisai itu berjaya menambat hati juri,” katanya lagi. Alumni ITM Sarjana Muda Seni lukis dan Seni Reka 1985 ini menambah dalam logo itu terdapat lakaran tiga dimensi iaitu mata pena melambangkan peranan UUM sebagai institusi pendidikan dan keilmuan. Manakala dimensi kedua pula melambangkan nama universiti itu UUM yang terdapat lengkung berwarna putih di bawah sekali melambangkan huruf  “U”  singkatan daripada perkataan universiti ini manakala garis lengkung di atas pula melambangkan “U” dari perkataan utara.

“Garis tegak di tengah-tengah dan diapit oleh dua garis lengkung di kiri dan kanannya melambangkan huruf “M” iaitu Malaysia dan terbentuklah perkataan UUM,” sambungnya lagi. Dalam dimensi ketiga pula Mohd Taslim berkata, ianya membawa erti yang terkandung dalam moto UUM di mana dua garisan yang melambangkan keilmuan dan enam bulatan bujur yang berwarna kuning di tengah-tengah perisai mata pena itu adalah hasil padi masak yang membawa erti kebudimanan berasaskan prinsip ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Akhirnya ketiga-tiga garisan dibahagian atas logo itu adalah lambang usaha bersama orang perseorangan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan masyarakat selaras dengan moto UUM ilmu, budi dan bakti.

Source: UUMONLINE
Blogger: ahlulwulus@2022

26 January 2022

NAIB CANSELOR BAHARU TERUSKAN AGENDA UUM

Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah secara rasminya dilantik sebagai Naib Canselor baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kesembilan berkuat kuasa pada 17 Januari lalu bagi menggantikan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Ogos 2021. Beliau yang melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UUM sejak 12 September tahun lalu turut memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) mulai 1 Januari 2021.

 

Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu berjanji akan meneruskan misi universiti menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka, di samping menggalas amanah yang diberi untuk menerajui kepimpinan di UUM dengan sebaiknya demi kelestarian universiti ini. Dengan memiliki Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik dari Universiti Putra Malaysia, selain Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.


 

Memulakan kerjaya di UUM pada tahun 2000, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan pentadbiran sama ada di pusat pengajian mahupun pusat tanggung jawab berbekalkan pengalaman dalam bidang akademik dan pentadbiran di universiti lebih 20 tahun. Antara jawatan yang pernah disandang ialah Penolong Naib Canselor UUM COB, Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Pengarah Unit Pengurusan Korporat, IPQ dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik - QS World University Rankings.

 

Pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan strategik membuatkan beliau menjadi pilihan sebagai pengucap tama dan penceramah daripada banyak pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara. Selain itu juga, beliau telah menerbitkan lebih 200 buah buku, artikel jurnal, prosiding dan artikel akhbar. Beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Literati Awards 2020, Awards for Excellence Highly Commended, Emerald Publishing Limited; Distinguished Business Dean,Academy of Global Business Advancement (AGBA), Amerika Syarikat dan Productivity Champion, Malaysia Productivity Corporation, Malaysia.

 

Semoga UUM mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang apabila perancang strategik menjadi peneraju utama universiti, sekali gus mencapai visi yang telah ditetapkan sejak pelaksanaan Pelan Strategik UUM pada 2010 dan Gagasan Gemilang Akademia dan Admin Holistik Universiti Utara Malaysia (UUM) 2021-2025 (GAGAH UUM) yang dilancarkan beliau pada tahun lalu.


Sumber: UUM ONLINE 

ahlulwulus@2022

11 January 2021

STRATEGIK KPT MEMERTABATKAN SEKTOR PENGAJIAN TINGGI NEGARA

Melangkah ke tahun 2021, warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta bersama-sama untuk sederap melangkah ke hadapan berpandukan enam fokus strategik seiring dengan tema 'Menginspirasi Minda, Mendakap Kehebatan'. Menyampaikan amanat tahun baharu, Datuk Seri Dr. Norani Ahmad berkata, enam fokus strategik KPT pada tahun ini adalah untuk memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memperkukuh kebolehpasaran graduan, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarakkan semangat #KPTPrihatin. Menurutnya, menerusi fokus strategik memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan, infrastruktur ICT akan dipertingkatkan dengan pelaksanaan projek menaik taraf MyREN yang diluluskan dengan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021, selain semua IPT perlu menyesuaikan modul pembelajaran dan kaedah penilaian sedia ada dengan persekitaran digital serta memastikan kapasiti tenaga pengajar dipertingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi agar matlamat pendigitalan pendidikan.
"Fokus strategik kedua iaitu memantapkan jaringan kolaborasi strategik yang mana satu model baharu penajaan pengajian diketengahkan sebagai alternatif kepada pembiayaan biasiswa oleh kerajaan. Contohnya, Program MyBrighter Future dengan kerjasama Yayasan TNB dan strategi melibatkan yayasan lain seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman, Yayasan Sime Darby dan Yayasan Hasanah. Program CEO@Faculty juga akan terus dilaksanakan dan pembentangan kertas secara berkala melalui platform digital yang boleh dinamakan sebagai Festival of Ideas dapat dianjurkan. "Ketiga, memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC). 

KPT bertanggungjawab kepada dua specialised taskforce iaitu National Education dan TVET. Selain itu, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan IPT 2021 – 2025 juga bakal dilancarkan, program-program peningkatan kebolehpasaran graduan seperti PENJANA KPT-CAP dan program Baucar KPT-PACE perlu digarap menjadi lebih kemas, diperluaskan spektrumnya dan dipantau secara rapi bagi memastikan outcome yang ditetapkan dicapai. Di samping itu, bagi memperkasakan agenda keusahawanan, Pelan Tindakan Keusahawanan 2021 – 2025 akan dibangunkan dan Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional diaktifkan semula sebagai forum untuk membincangkan hala tuju dan penyelesaian berkaitan inisiatif melahirkan modal insan yang berdaya keusahawanan. "Fokus strategik keempat iaitu memacu kesejahteraan komuniti yang menekankan tentang keperluan untuk menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti. Pensyarah dan profesor diminta tampil ke hadapan dengan sumbangan yang lebih besar iaitu menjadi pakar kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing-masing. 

Sumbangan ini haruslah melimpah keluar dari kampus kepada masyarakat dalam bentuk spillover effect dan rakyat dapat menikmati kepakaran mereka yang mana kemungkinan sumbangan tersebut mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga boleh dinobatkan sebagai nobel laureate. KPT akan bersama-sama dengan semua IPT merangka program khusus yang lebih komprehensif bagi membangunkan potensi calon nobel laureate ini," katanya pada Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live KPT, semalam. Datuk Seri Dr. Noraini berkata, bagi fokus strategik kelima iaitu mempersada kecemerlangan institusi, beliau menyarankan agar satu naratif baharu diberikan kepada business model syarikat induk Universiti Awam (UA) serta memastikan mereka memainkan peranan sebagaimana GLC lain. Universiti sebagai badan berkanun yang diberikan kuasa untuk menubuhkan anak syarikat dan membuat pelaburan haruslah mewujudkan kaedah pemantauan yang efektif terhadap pengurusan pelaburan, penubuhan syarikat induk dan anak syarikat serta pinjaman yang bakal dibuat oleh universiti awam. 

Di samping itu, menurutnya, cadangan agar lebih banyak universiti awam diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dan RU sedia ada menjadi mentor kepada universiti-universiti yang dikenal pasti melalui program Rakan RU. Katanya, bagi meneruskan keunggulan KPT, AKEPT sebagai pakar dalam pembangunan kepimpinan bakat pendidikan tinggi juga perlu lebih kreatif untuk mempromosikan kepakaran yang dimiliki sehingga diakui di peringkat antarabangsa termasuk MQA untuk mengetengahkan program Accreditation of Prior Experiental Learning (APEL) sehingga melangkaui sempadan negara. "Akhir sekali di bawah fokus strategik keenam, bagi menyemarakkan semangat #KPTPrihatin, KPT telah mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus dengan kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia. Langkah proaktif telah diambil dengan membangunkan Portal Rumah Siswa yang bakal menyediakan platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa. 

"Selain itu, usaha memperkasakan fungsi kad matrik pelajar menerusi inisiatif Kad Prihatin Siswa yang berfungsi sebagai kad debit dan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti e-wallet dan transaksi tanpa tunai juga sedang giat dilaksanakan serta pelancaran Tabung Prihatin Siswa oleh Yayasan Sukarelawan Siswa yang merupakan satu lagi contoh inisiatif di bawah fokus strategik ini. "Dengan keenam-enam fokus strategik tersebut, saya percaya kita akan dapat mendepani cabaran tahun 2021 ini dan menjadi penggerak kepada modal insan yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan masa hadapan Malaysia, malah bagi memastikan kesemua enam fokus strategik ini dapat dilaksanakan, saya ingin menerapkan nilai organisasi yang diringkaskan sebagai 5S iaitu Speed, Synergy, Solidarity, Strategic dan Standard," katanya yang turut mengimbau pencapaian KPT sepanjang 2020. Beliau turut berkongsi cabaran yang bakal didepani pada tahun ini iaitu menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, isu kebolehpasaran graduan dalam kalangan siswazah dan cabaran mengekalkan kelestarian pengoperasian universiti. 

Pada majlis sama, Datuk Seri Dr. Noraini telah menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang, penyampaian sijil penghargaan kepada Rakan RU, penyampaian cenderamata berupa wakaf Al-Quran kepada 20 Naib Canselor termasuk Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani serta penyampaian penghargaan kepada 'frontliners' dan rakan strategik KPT. Naib Canselor berterima kasih di atas pemberian wakaf Al-Quran tersebut yang perlu digunakan sebagai panduan hidup seperti mana yang terdapat dalam Surah al-Jaatsiyah, ayat 20 yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.” 

Sumber: UUMONLINE 
ahlulwulus@2021

19 November 2018

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 1440H/2018M

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Muslimin Muslimat Warga UUM yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahuwataala, Tuhan yang mentadbir sekalian alam, kerana dengan limpahan rahmat-Nya dapat kita bersama-sama menyambut hari ulang tahun keputeraan Kekasih-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Selawat dan salam buat Khatimul Anbiya’ Rasulullah Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat dan pengikut Baginda.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil teladan daripada kesungguhan Baginda mempertautkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar serta menyantuni para sahabat Baginda dengan sebaiknya. Sifat penyantun baginda ini tidaklah terhad dalam kalangan Muslim sahaja, malahan baginda juga sangat prihatin dengan masyarakat bukan Islam sebagai contoh pada ketika baginda bermuamalah dengan kaum Yahudi ketika Baginda mentadbir negara Islam Madinah. 

Oleh itu, sebagai umat Baginda, sewajarnya kita mencontohi akhlak peribadi, budi pekerti dan sifat penyayang Baginda sebagai contoh ikutan terbaik dalam kehidupan seharian. 
Allah berfirman yang bermaksud;

“Sungguh, telah ada suri teladan yang baik pada (diri) Rasulullah bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah al- Ahzab, ayat 21).

Sentiasalah kita bermuhasabah diri sebagai khalifah di atas muka bumi supaya kehidupan kita bertambah baik dari semasa ke semasa. Pastikan dalam kita bermuamalah seharian, sama ada di tempat kerja, di rumah, atau dalam masyarakat, secara individu atau berkumpulan, kita seharusnya mentauladani keprihatinan dan keadilan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menyama rata semua golongan, tanpa mengira pangkat dan darjat, kaya atau miskin. Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Bertepatan juga dengan tema sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1440H/2018M Peringkat Kebangsaan, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, saya amat berharap agar semua warga UUM mempertaut erat tali silaturrahim demi mewujudkan suasana kerja yang mesra dan harmoni serta dapat mengekalkan kesejahteraan di samping menyantuni masyarakat sekeliling dan memulihara alam sekitar. Semoga UUM berupaya menterjemah tema yang diangkat dalam usaha membangunkan modal insan dan negara kita yang tercinta. 


وَبِاللهِ التَّوْفِيْق وَالْهِدَايَةُ  وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Haji Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUM Online
ahlulwulus@2018

20 August 2018

NAIB CANSELOR UUM 2018

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH PROF. DATO SERI DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK, NAIB CANSELOR UUM KE TUJUH 2010-2018


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tempoh perkhidmatan saya sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke tujuh tamat pada Jumaat,  24 Ogos 2018.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (dulunya Kementerian Pengajian Tinggi) atas peluang yang diberikan kepada saya ini.

Sesungguhnya perjalanan tugas ini selama lebih lapan tahun adalah sesuatu yang amat mengujakan dan saya cukup gembira sepanjang menggalas tugas ini di sebalik segala cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Saya berterima kasih kepada semua warga kerja Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, UUM termasuklah Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah UUM, Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan semua pegawai kanan atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan kepada saya selama ini.

Tidak dilupakan juga kepada semua warga kerja UUM  dari segenap lapisan serta para mahasiswa/i UUM yang dikasihi sekalian. 

Saya turut berterima kasih kepada semua anggota masyarakat tempatan, semua rakan kongsi dan rakan-rakan UUM, handai taulan serta sahabat-sahabat dan rakan-rakan saya yang telah turut membantu dalam apa jua keadaan sukar dan senang, jatuh dan bangun bersama.

Saya sangat hargai segala sokongan dan bantuan anda semua.

Mohon maaf zahir dan batin jika ada terlanjur bicara dan apa-apa tindakan dan perlakuan saya yang telah menyinggung hati dan perasaan mana- mana pihak. 

Akhir kata tahniah dan selamat bertugas kepada Naib Canselor UUM yang baharu, Profesor Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani semoga Allah SWT permudahkan segala tugas beliau memacu kecemerlangan untuk UUM selepas ini. 


Selamat maju jaya kepada ke dua-dua Naib Canselor yang telah dan akan menyumbang bakti kepada kejayaan UUM. Selamat Maju Jaya UUM. 

Sumber: UUM online.
ahlulwulus@2018

23 April 2017

PERUTUSAN ISRAK DAN MIKRAJ DARIPADA NAIB CANSELOR 2017/1438H

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Muslimin dan muslimat warga kampus yang dirahmati Allah Subhanahuwataala,

Pada tanggal 27 Rejab, umat Islam di seluruh dunia akan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj. Menurut para ulamak, peristiwa ini merupakan satu anugerah terindah daripada Allah Subhanahuwataala yang ingin mengembalikan keceriaan kekasih-Nya, iaitu Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam setelah berlaku beberapa peristiwa yang mendukacitakan baginda antaranya kematian Saidatina Khadijah radiallahuanha dan bapa saudara baginda Abu Talib.

Israk dan Mikraj ini merupakan mukjizat agung dan merupakan salah satu bukti kekuasaan Allah Subhanahuwataala. Peristiwa yang melangkau kemampuan akal manusia ini terungkap dalamnya  pelbagai pelajaran dan pengajaran bagi orang-orang yang beriman. Selain daripada itu, peristiwa ini merupakan  satu rahmat untuk mengukuhkan keimanan di hati hamba-Nya yang mengakui Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam sebenar-benarnya Rasullullah dan Allah Subhanahuwataala sebenar-benarnya Tuhan yang layak disembah serta meyakini tentang kehebatan dan keagungan Allah Subhanahuwataala sebagai Pencipta.


Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak
 Naib Canselor


“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

Semua warga kampus yang beragama Islam sewajarnya mengambil iktibar dan menghayati peri pentingnya peristiwa ini dalam kita menjalani kehidupan sebagai seorang hamba di muka bumi ini. Kita hendaklah reda dengan suka duka dan pasang surut dalam kehidupan sama ada dalam berkeluarga, pekerjaan dan bermasyarakat. Selayaknya juga kita sebagai hamba, beriktikad bahawa setiap dugaan ada hikmah yang tersembunyi dan jauhkan diri kita daripada berputus asa daripada rahmat-Nya.

Marilah kita berusaha melazimi amalan yang baik dalam kehidupan kita seharian. Semoga perjalanan hidup kita semua sentiasa dalam keberkatan-Nya.

Selamat Menyambut Israk dan Mikraj tahun 1438H.

Sumber: Pejabat PRO UUM, 2017

ahlulwulus@2016

19 January 2017

UUM KONGSI KEJAYAAN LUAR BIASA - AMANAT NAIB CANSELOR 2017

Pelbagai pesanan, amalan, nasihat, inspirasi dan kejayaan yang memberi satu semangat kepada staf UUM untuk mencapai matlamat universiti Pengurusan Terkemuka sempena Amanat Naib Canselor 2017 yang berlangsung di Dewan Muádzam Sham, UUM, pagi tadi. Menurut Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik (STML), Profesor Dr. Shahimi Mohtar, UUM mencapai kejayaan luar biasa pada 2016 seperti pengiktirafan The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), peningkatan pencapaian universiti (QS dan Times Higher Education ranking) dan memperbaiki kedudukan ranking ke 6 di Malaysia. Begitu juga dalam bidang urus tadbir, UUM meraih anugerah “Global Gold Green World Awards 2016 For Education & Training” dan “Penerbit Terbaik Malaysia”.



“Naib Canselor menyeru warga UUM berkerja dalam satu pasukan bagi mengharungi tahun 2017 yang lebih mencabar dan UUM tidak terkecuali daripada universiti awam di Malaysia apabila bajet tahunan dikurangkan sebanyak 60%. “Walaupun dengan budget yang terhad, UUM perlu berusaha dengan lebih gigih berdasarkan sumber yang sedia ada bagi mencapai pelan strategik  selain berkongsi pemikiran Donald Trump dan Barrack Obama,” tambahnya. Manakala Penyelaras Program Sarjana Muda Multimedia, Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam sentiasa menyokong dan merealisasikan hasrat Naib Canselor terutamanya dari segi penyelidikan dan penerbitan yang perlu dimantapkan kerana masih terdapat lompong di sana sini. “Tanggungawab hakiki pensyarah yang bukan sahaja mengajar malah menulis, menerbitkan dan membuat penyelidikan kalau semua pensyarah memainkan peranan dengan lebih agresif dalam merancakkan penerbitan insya-Allah kita akan berjaya.

“Saya suka video yang ditayangkan yang menyuntik inspirasi mengenai kepemimpin dan pengurusan dan berharap semua staf lebih bersemangat, berdedikasi, bekerja sebagai ibadah kepada Allah dengan membetulkan niat,” luahnya. Sementara itu, Ketua Pembantu Tadbir, Azahari Abu Hassan berkata, 2017 tahun yang mencabar terutama dari segi ekonomi yang memerlukan iltizam yang padu untuk kita berdepan dengannya. “Dalam keadaan peruntukan yang dikurangkan, kita kena pandang jauh ke  hadapan untuk melonjakkan universiti ke tahap yang lebih tinggi, dan berharap semua dapat menerima dengan baik dan menyokong agenda yang dibawa. “Sikap yang perlu ada seperti yang ditunjukkan dalam lion attitude sebagai motivasi kepada warga UUM untuk mengorak langkah lebih ke hadapan secara tidak langsung menyuntik semangat untuk bersama-sama membangunkan UUM. “Hasil usaha warga UUM dan semangat berpasukan kita telah mencapai kejayaan yang membanggakan namun kita tidak boleh selesa dengan apa yang dicapai hari ini sebaliknya meneruskan usaha dengan lebih gigih,” jelasnya.

Sumber: UUM ONLINE

ahlulwulus@2017

13 December 2016

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 1438H/2016M

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Muslimin Muslimat Warga UUM yang dirahmati Allah,

Syukur Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahuwataala Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat dan pengikut Baginda, kerana  masih diberi kesempatan memperingati dan merayakan hari ulang tahun Keputeraan Kekasih Allah, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam .

Sempena meraikan hari lahir manusia suci dan agung ini, marilah kita bersama-sama menghayati sirah kehidupan baginda, yang penuh onak dan berliku, demi menyampaikan risalah agung, iaitu Al Quranul Karim  agar umatnya yang hidup dalam gelap gulita kerana kesesatan memperoleh cahaya iman dan takwa. Firman Allah  Subhanahuwataala dalam surah Al-Jumu’ah ayat 2:

Ertinya: “Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

Manusia agung inilah juga sentiasa bertungkus lumus mengajar umat manusia berkaitan dengan tatacara kehidupan yang murni dan terpuji. Baginda merupakan suri teladan yang paling mulia merangkumi setiap inci gerak langkah hidup manusia, mengajar manusia tentang erti kasih sayang, persaudaraan, toleransi terutama dalam menjalani perhubungan sesama manusia. Allah Subhanahuwataala telah berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga telah mempersaudarakan orang mukmin dalam kalangan Muhajirin dan Ansar di bumi Madinah Al Munawarah bagi menyatupadukan semua kaum muslimin dan seterusnya berjaya membentuk negara Islam yang gemilang. Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita sebagai umatnya agar sentiasa mengutamakan ukhuwah Islamiyah bagi merealisasikan penyatuan dan mengekang sebarang usaha musuh untuk memecahbelahkan umat Islam demi mempertahankan kedaulatan agama dan negara. Allah  Subhanahuwataala berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu  maka kamu menjadi bersaudara.” (surah Ali Imran, ayat 103).

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini menyeru semua warga UUM agar sentiasa menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai suri teladan utama dalam menjalani kehidupan seharian terutama ketika berada di tempat kerja. Mencontohi sikap baginda Sallallahu Alaihi Wasallam  dengan sentiasa bersikap belas ihsan, hormat-menghormati dan menyantuni rakan sekerja, pegawai bawahan dan juga pelanggan yang berurusan di organisasi kita.

Bertepatan juga dengan tema sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1438H/2016M Peringkat Kebangsaan, "UKHUWAH ISLAMIAH ASAS PENYATUAN UMMAH”, saya amat berharap agar kita terus mempereratkan ukhuwah sesama kita yang merupakan kunci utama penyatuan umat muslimin dan yang juga menjadi Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi  meraih  rahmat Allah Subhanahuwataala.

Sumber: UUM

ahlulwulus@2016