18 August 2016

BICARA BAHAYA ISIS – PENYELEWENGAN AGAMA DAN GEO POLITIK

Penceramah: DSP Wan Ruzailan Wan Mat Russof, Dr. Zamihan Al-Ghari, Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah
Apabila berebut kuasa politik pemerintahan di Iraq, Afghanistan dan Syria maka muncul pelbagai kumpulan bersenjata untuk mengungguli kuasa, masing-masing menuntut atas nama Islam, akidah, salafi dan undang-undang Islam. Akhirnya campur tangan asing yang memberi dana dan senjata mengakibatkan kehancuran sebuah negara dalam skala besar menyaksikan 250,000 rakyat terbunuh, lebih 2 juta hilang tempat tinggal mencetuskan Islamofobia di Eropah. Demikian kata Dr. Zamihan Al-Ghari, Presiden Pertubuhan Ahlul Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) yang mengupas kemunculan perkembangan kumpulan pengganas dan kekejaman golongan pelampau agama pada Forum Bahaya Militan ISIS (Daesh), di DKG 5/1, UUM. Ujarnya, semangat cintakan iman, tanah air dan inilah manifestasi perjuangan yang dipelopori alim ulama terdahulu sejak membina negara bangsa dan menghadapi ancaman serangan penjajah. Kini serangan dalam bentuk kontemporari bermula dengan akal pemikiran radikalis mewujudkan tindakan ekstremis dengan dana yang dibentuk akhirnya bertindak secara radikal menatijahkan tindakan pengganas.

Betapa bahayanya pemikiran radikal agama justeru kita melihat huraian berpola kepada dua subjek iaitu radikalisme agama dan keselamatan negara untuk memberi kefahaman tentang bahaya fahaman militan ISIS kepada masyarakat, ucapnya dalam forum anjuran Jabatan Keselamatan UUM dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan ASWAJA sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UUM. Kemunculan kumpulan militan negara Islam dari Al-Qaeda of Iraq, menjadi MSC, IC, ICIL, IS dan ISIS disebabkan masalah geo-politik setempat seperti di Afghanistan runtuhnya pemerintahan akibat peperangan, kejatuhan Saddam di Iraq serta penentangan terhadap Bashar Al-Assad. Munculnya kumpulan ini disebabkan doktrin agama yang menyeleweng dan Nabi mengingatkan penyelewengan dalam agama akan dibanteras oleh ulama yang berpegang kepada disiplin ilmu ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sabda baginda, akan datang ada sebahagian dari umatku yang sentiasa mendokong kebenaran mereka itu ahli Sunnah wal Jamaah yang menghapus penyelewengan pelampau agama, membanteras golongan pemalsu agama dan tampil memberi penjelasan terhadap takwilan orang jahil agama. Negara Islam dibina oleh Nabi dan legasinya diteruskan oleh 4 khalifah, begitu juga kesinambungan dari bani Umayyah, Abbasiyah sehingga terpecahnya kerajaan Uthmaniyah menyaksikan kerajaan kecil seperti Kesultanan Melayu Acheh dan Kesultanan Melayu Melaka yang legasinya terdapat dalam kerajaan Malaysia yang mempunyai ciri-ciri negara Islam. Jadi, negara Islam bukan milik kumpulan militan cuma mereka mendapat dana dari organisasi yang mantap akhirnya berjaya membina negara bangsa yang baharu iaitu proto state nation. 

Di Timur Tengah ISIS dikenali sebagai Daesh, iaitu golongan yang memaksa orang lain mengikut pendapat mereka atau menghancurkan seseorang yang berada di bawah tapak kaki,” ujarnya. Forum itu turut mendapat kupasan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah, Sarjana Pelawat The Wharton School University of Pennsylvania, USA; tentang keganasan dan kezaliman yang dilakukan oleh kumpulan militan, manakala operasi membanteras aktiviti Daesh ini telah dijelaskan oleh DSP Wan Ruzailan Wan Mat Russof, Bahagian Anti Keganasan, Bukit Aman dan dipengerusikan oleh Al-Azharri Siddiq Kamunri dari Majlis Keselamatan Negara (MKN). Penganjuran forum ini bertujuan untuk memberi kefahaman tentang bahaya fahaman militan ISIS kepada masyarakat di UUM khususnya dan masyarakat sekitar kampus amnya.

Masyarakat juga dinasihati supaya tidak sesekali bersekongkol dengan kumpulan ini serta menyeru agar masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti kumpulan ini.

- Dipetik dari sumber rasmi UUM.

ahlulwulus@2016

No comments: