21 January 2018

BICARA POLITIK MENJELANG PRU14

Pilihan raya ke 14 hampir menjelang tiba. Sudah sampai masanya kerajaan yang ada sekarang perlu membubarkan parlimen dan mendapat mandat baru dalam pilihan raya mengikut sistem demokrasi berparlimen yang di amalkan di Malaysia. Namun kali ini agak menarik kerana seolah-olah isu politik begitu banyak dan sedang diperkatakan diseluruh pelusuk masyarakat samada di dalam mahupun luar negara. Hal ini berlaku kerana maklumat sudah berada dihujung jari dan bergerak terlalu pantas mengalahkan wartawan biasa yang melaporkan berita secara tradisional. Bukannya isu politik ini tiada atau kurang pada masa dahulu, namun sekarang ia dilihat terlalu banyak dan berat apabila media sosial menyiarkan isu-isu ini tanpa henti. 

Media sosial seperti Twitter, Facebook dan Whatsapp amat berpengaruh dalam menyebarkan maklumat pada masa ini. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah merubah kaedah komunikasi kepada yang lebih inovatif dan informatif. Penggabungan teknologi komunikasi dan sistem maklumat ini telah mewujudkan senergi mantap dalam kepelbagaian kaedah komunikasi melalui komputer, tablet, telefon bimbit, telefon pintar dan sebagainya. Kesediaan talian internet dan rangkaian jalur lebar telah membolehkan kaedah komunikasi media sosial yang baru diperkenalkan. Terdapat banyak aplikasi media sosial yang disediakan secara berbayar atau ia diberi secara percuma, namun aplikasi whatsapp dilihat paling popular berbanding dengan aplikasi yang lain. Jadual berikut menunjukkan penggunaan aplikasi whataspp di seluruh dunia.

Jumlah Pengguna dan Pengendalian Mesej

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM), pada tahun 2016 pengguna internet diklasifikasikan mengikut peratus penggunaan seperti di jadual berikut:
Peratus Pengguna Internet Mendapatkan Maklumat
Berasaskan jadual di atas, didapati pengguna aplikasi "mesej segera" mempunyai peratus yang besar (90.4%) berbanding dengan penggunaan aplikasi yang lain. Aplikasi "mesej segera" merujuk kepada aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya. Tidak hairanlah penyebaran maklumat melalui media sosial didapati lebih cepat dan berkesan mempengaruhi persepsi orang awam dalam sesuatu isu berbanding dengan media tradisional sedia ada.

Pada masa ini, boleh dikatakan kebanyakan media sosial berbicara tentang isu politik, dan sudah tentunya berkaitan dengan pertentangan hujah antara pihak yang pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Masing-masing dengan hujah dan fakta yang belum tentu ada kebenarannya, namun dalam suasana komunikasi masa kini hal itu tidak dipedulikan. Hanya akal yang bijak, waras dan dipandu dengan iman saja akan dapat menentukan kebenaran sesuatu berita tersebut. Oleh kerana hal ini dilihat memberi impak yang besar kepada pemikiran masyarakat, maka tidak heranlah parti parti politik yang bertelagah ini menggunakan media sosial dengan sebijak mungkin untuk menangani isu dan penyebaran maklumat yang tidak betul terhadap parti masing-masing. Pada masa yang sama, penyokong dari pihak yang bertelagah terus meneruskan menggunakan hujah dan fakta yang tersedia dalam media sosial untuk teruskan berdebat sesama ahli dalam kumpulan sehingga boleh merenggangkan hubungan silaturrahim yang sedia ada.

Baik atau buruknya akibat pertengkaran hal-hal politik di dalam media sosial bukanlah isu penting yang hendak dibincangkan. Yang penting, masyarakat perlu dipengaruhi sebaik mungkin untuk memilih parti yang akan memerintah negara untuk 5 tahun yang akan datang. Parti yang akan menjadi kerajaan selepas ini mestilah mampu meberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia khasnya dan masyarakat antara bangsa umumnya. Kerajaan baru selepas ini perlulah bersedia menghadapi keterbukaan penyebaran maklumat yang pelbagai kerana itulah trend kemajuan ICT yang tidak dapat dielakkan. Malah ia akan menjadi semakin "ubiquitous" pada masa-masa yang akan datang. Generasi akan datang tentunya semakin pandai dan bijak menilai maklumat.

ahlulwulus@2017