02 January 2019

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA TAHUN BAHARU 2019


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Tahun Baharu.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahuwataala, kita sudah berada di ambang Tahun 2019. Dengan penuh takzim, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana kita berjaya menempuh tahun 2018 dengan selamat dan sejahtera.  

Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UUM, khususnya Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Para Penolong Naib Canselor, Dekan, Pengarah dan Pengetua, ahli akademik, kumpulan pengurusan pentadbiran, serta pelaksana, yang sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan UUM.

Sebelum tirai pentas 2018 dilabuhkan, marilah kita mengimbas kembali jalur kerja yang telah menghasilkan pencapaian yang membanggakan antaranya ialah peningkatan kedudukan dalam senarai Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2019 dan QS Asia University Rankings 2019.  Seterusnya, dua program Sarjana Muda yang ditawarkan oleh TISSA-UUM menjadi program pertama dan satu-satunya yang menerima akreditasi EFMD Programme Accreditation System (EPAS) daripada European Foundation for Management Development (EFMD) di Malaysia. Pada penghujung tahun 2018, UUM juga telah diktiraf sebagai universiti ke-76 terbaik dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2018. Kejayaan ini dan pelbagai kejayaan lain diperoleh hasil daripada kegigihan dan permuafakatan warga UUM. Inilah bukti bahawa muafakat membawa berkat.

Melangkah masuk tahun baharu, kita akan menggalas tanggungjawab untuk menyokong pelaksanaan reformasi pendidikan Malaysia. UUM akan bergerak selaras dengan Aspirasi KPM 2018-2023 yang terdiri daripada TIGA (3) nilai utama, iaitu Value-Driven Education yang berteraskan nilai-nilai murni, High Quality Education yang menekankan kecemerlangan dan efisiensi dan Autonomy and Accountability bagi memastikan tadbir urus yang cekap.    

Warga UUM juga harus berfikiran positif terhadap paradoks yang dihadapi, iaitu pada masa kita ingin meningkatkan kebolehpasaran graduan kita juga dalam proses memanfaatkan robotik dan automasi yang akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Oleh itu, tanggungjawab kita adalah untuk melengkapi mahasiswa dengan keupayaan untuk menjadi pencipta kerjaya di samping kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat pada masa hadapan.

Saya amat berharap agar kita secara keratif dan inovatif menggembleng pelbagai sumber yang ada untuk mengisi sebarang kelompangan yang boleh menjejas prestasi UUM. Titik tolak gerak kerja kita adalah untuk mencapai keunggulan di peringkat global, memastikan kestabilan kewangan dan pada masa yang sama meningkatkan tahap kegembiraan dan kesejahteraan dalam kalangan warga UUM melalui pembudayaan nilai-nilai yang positif.

Justeru, untuk mendapatkan manfaat masa dengan sepenuhnya dalam tempoh setahun yang mendatang, nasihat Imam al-Ghazali radiAllahu anhu agar masa itu diatur, disusun dan dijadualkan, menjadi pedoman kita bersama. Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi, terperinci dan teliti, di samping pelaksanaan yang berkesan, kejayaan akan menjadi milik kita. Saya berharap agar semangat dan keyakinan warga UUM dalam menyangga segala usaha menjadi pemangkin untuk kita mencapai misi dan visi yang sedia termaktub. 

Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2019 membuka lembaran sejarah baharu, dengan menempa pelbagai kejayaan dan pecapaian demi menjulang nama UUM sebagai institusi ilmu yang dikagumi di rantau ini. 

Selamat menjalankan amanah.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Hj. Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUMONLINE
ahlulwulus@2019

MAJLIS MERAIKAN PENERIMA GERAN PENYELIDIKAN KPM

"Penyelidikan yang kita jalankan perlulah mempunyai nilai dan integriti yang tinggi dalam menghasilkan output. Plagiarism, free rider, conflict of interest, dishonesty merupakan kecurangan akademik yang perlu dielakkan. Kita mendapat maklum bahawa agenda ranking adalah penting, namun tidak menjadi keutamaan jadi, kita telah merancang lebih awal melalui Blueprint RICE (Research, Innovation, Commercialisation, & Enterprenuership) bahawa kita perlu berfikir di luar dari ranking.’’

Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad pada Majlis Penghargaan Penerima Skim Geran Dana Penyelidikan KPM di Dewan Seminar Pusat Islam, semalam. Ujarnya, dalam memperkasakan R&D UUM, peranan pelbagai jabatan sangat penting dalam memacu aktiviti kesarjanaan universiti. Impak dan visibility penyelidikan yang lebih baik akan menarik pihak luar untuk berkolaborasi bersama UUM dalam projek penyelidikan atau komuniti.

“Ini akan menjadi satu budaya baharu kepada staf akademik supaya lebih relevan kepada masyarakat seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mendapatkan dana penyelidikan.  Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak urus setia dan Research and Innovation Management Centre (RIMC) secara amnya kerana mengadakan majlis penghargaan walaupun kita di penghujung tahun 2018. Alhamdulillah kita berjaya mendapat dana yang kita tunggu-tunggu dan ini akan dapat meningkatkan moral penyelidik kita untuk terus menghasilkan penyelidikan yang berkualiti,” katanya.

Jelasnya, dengan desakan pengukuran pencapaian KPI yang semakin bertambah, penawaran geran yang kompetitif, penguncupan dana, keperluan visibility serta pelbagai agenda antara cabaran baharu yang perlu diambilkira bagi kelestarian dan penambaikan ekosistem R&D.

“Jadi sinergi yang lebih berkesan diperlukan di kalangan PTJ dalam menambah baik sistem penyampaian dalam ekosistem R&D universiti. Di sinilah kita perlu mengambil peluang di mana kekuatan kita yang bersandarkan kepada sains sosial. Kita perlu menjadi champion bagi memanusiawi pembentukan polisi dan teknologi ciptaan manusia. Kita harus berpegang kepada kekuatan kita iaitu meneruskan kecemerlangan dalam penyelidikan yang menyumbang secara langsung kepada komuniti/masyarakat, inovasi sosial dan perkhidmatan profesional yang berkaitan,” tambahnya.

Menurutnya, penyelidik perlu mahir bukan sahaja dalam bidang kepakarannya tetapi juga dalam perkara lain yang berkaitan seperti pengurusan, komunikasi, kepimpinan dan hubungan dengan pihak lain.

“Penyelidik juga bertanggungjawab memikirkan bagaimana pengetahuan atau teknologi yang dihasilkan dapat dipindahkan melalui knowledge transfer atau technology transfer.  Tahniah saya ucapkan tahniah kepada semua penerima geran penyelidikan KPM bagi tahun 2018 semoga dapat menyempurnakan tugasan dan menghasilkan penyelidikan bermutu yang menyumbang kepada negara,” kongsinya.

Sementara itu, penerima skim Geran Dana Penyelidikan KPM 2018, Dr. Azlizamani Zubir @ Salim berkata, kajian yang dijalankan mengenai indeks organisasi untuk mengukur tahap kecerdasan buatan (artificial intelligence) staf akademik universiti awam di  seluruh negara dalam menghadapi cabaran revolusi industri 4.0. Ujarnya, kajian bertajuk Developing Executive Intelligence Index among Public Universities Academicians: Bridging the Gap in the Fourth Industrial Revolution as Fundamental Research memfokuskan 3 zon iaitu utara, tengah dan selatan.  

“Sebenarnya ini adalah peninggalan arwah Prof Dr. Najib Ahmad Marzuki, saya berada dalam team beliau ketika itu, bila beliau sudah tiada, saya mengambil alih tugas dan mengetuai pasukan yang terdiri daripada 5 penyelidik,” ulas Pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar Dan Kerja Sosial (SAPSP) itu lagi.

Sumber: UUMONLINE.

ahlulwulus@2018