27 August 2008

KEPERLUAN MAKLUMAT YANG SOFISTIKATED

Keperluan terhadap maklumat bukan lagi isu remeh dalam pengurusan sesebuah organisasi. Ianya menjadi agenda penting dalam menentukan kelangsungan aktiviti syarikat, malah membantu organisasi bersaing dengan organisasi yang lain dalam menghadapi cabaran di dunia global. Oleh itu, pengurusan maklumat bukan lagi dilihat sekadar melancarkan perjalanan tugas rutin, malah ia amat penting dalam membantu menentukan hala tuju serta cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh organisasi. Tidak hairan jika maklumat kini telah dianggap suatu komoditi yang perlu beri pelaburan yang besar bagi memastikan manafaat kepada organisasi.

Perkembangan teknologi maklumat yang cepat seiring dengan kemajuan hidup manusia telah memudahkan maklumat diurus dan digunakan secara efisien. Namun, penggunaan teknologi maklumat perlu selari dengan kemampuan dan keperluan organisasi agar pelaburan yang dibuat tidak sia-sia begitu sahaja. Seperti yang pernah berlaku dahulu pada awal-awal organisasi berghairah menggunakan komputer telah membelanjakan wang yang banyak untuk membeli peralatan komputer yang semesti mahal, namun akhirnya tidak dapat dimanfaatkan secara optimum. Akibatnya peralatan tersebut menjadi gajah putih yang hanya memenuhi ruang pejabat serta menjadi tontonan pelawat-pelawat sahaja.

Penggunaan teknologi ICT yang optimum amat penting dalam memberi nilai tambah dalam pengurusan organisasi pada hari ini. Oleh itu, adaptasi terhadap kaedah penggunaan terkini amat penting demi kelangsungan organisasi.