19 January 2017

UUM KONGSI KEJAYAAN LUAR BIASA - AMANAT NAIB CANSELOR 2017

Pelbagai pesanan, amalan, nasihat, inspirasi dan kejayaan yang memberi satu semangat kepada staf UUM untuk mencapai matlamat universiti Pengurusan Terkemuka sempena Amanat Naib Canselor 2017 yang berlangsung di Dewan MuĆ”dzam Sham, UUM, pagi tadi. Menurut Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik (STML), Profesor Dr. Shahimi Mohtar, UUM mencapai kejayaan luar biasa pada 2016 seperti pengiktirafan The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), peningkatan pencapaian universiti (QS dan Times Higher Education ranking) dan memperbaiki kedudukan ranking ke 6 di Malaysia. Begitu juga dalam bidang urus tadbir, UUM meraih anugerah “Global Gold Green World Awards 2016 For Education & Training” dan “Penerbit Terbaik Malaysia”.



“Naib Canselor menyeru warga UUM berkerja dalam satu pasukan bagi mengharungi tahun 2017 yang lebih mencabar dan UUM tidak terkecuali daripada universiti awam di Malaysia apabila bajet tahunan dikurangkan sebanyak 60%. “Walaupun dengan budget yang terhad, UUM perlu berusaha dengan lebih gigih berdasarkan sumber yang sedia ada bagi mencapai pelan strategik  selain berkongsi pemikiran Donald Trump dan Barrack Obama,” tambahnya. Manakala Penyelaras Program Sarjana Muda Multimedia, Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam sentiasa menyokong dan merealisasikan hasrat Naib Canselor terutamanya dari segi penyelidikan dan penerbitan yang perlu dimantapkan kerana masih terdapat lompong di sana sini. “Tanggungawab hakiki pensyarah yang bukan sahaja mengajar malah menulis, menerbitkan dan membuat penyelidikan kalau semua pensyarah memainkan peranan dengan lebih agresif dalam merancakkan penerbitan insya-Allah kita akan berjaya.

“Saya suka video yang ditayangkan yang menyuntik inspirasi mengenai kepemimpin dan pengurusan dan berharap semua staf lebih bersemangat, berdedikasi, bekerja sebagai ibadah kepada Allah dengan membetulkan niat,” luahnya. Sementara itu, Ketua Pembantu Tadbir, Azahari Abu Hassan berkata, 2017 tahun yang mencabar terutama dari segi ekonomi yang memerlukan iltizam yang padu untuk kita berdepan dengannya. “Dalam keadaan peruntukan yang dikurangkan, kita kena pandang jauh ke  hadapan untuk melonjakkan universiti ke tahap yang lebih tinggi, dan berharap semua dapat menerima dengan baik dan menyokong agenda yang dibawa. “Sikap yang perlu ada seperti yang ditunjukkan dalam lion attitude sebagai motivasi kepada warga UUM untuk mengorak langkah lebih ke hadapan secara tidak langsung menyuntik semangat untuk bersama-sama membangunkan UUM. “Hasil usaha warga UUM dan semangat berpasukan kita telah mencapai kejayaan yang membanggakan namun kita tidak boleh selesa dengan apa yang dicapai hari ini sebaliknya meneruskan usaha dengan lebih gigih,” jelasnya.

Sumber: UUM ONLINE

ahlulwulus@2017