09 February 2010

KEPINTARAN PERNIAGAAN (BUSINESS INTELLIGENCE)

Keperluan terhadap maklumat bukan lagi isu remeh dalam pengurusan sesebuah organisasi. Ianya menjadi agenda penting dalam menentukan kelangsungan aktiviti syarikat, malah membantu organisasi bersaing dengan organisasi yang lain dalam menghadapi cabaran di dunia global. Oleh itu, pengurusan maklumat bukan lagi dilihat sekadar melancarkan perjalanan tugas rutin, malah ia amat penting dalam membantu menentukan hala tuju serta cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh organisasi. Tidak hairan jika maklumat kini telah dianggap suatu komoditi yang perlu beri pelaburan yang besar bagi memastikan manafaat kepada organisasi.

Perkembangan teknologi maklumat yang cepat seiring dengan kemajuan hidup manusia telah memudahkan maklumat diurus dan digunakan secara efisien. Namun, penggunaan teknologi maklumat perlu selari dengan kemampuan dan keperluan organisasi agar pelaburan yang dibuat tidak sia-sia begitu sahaja. Seperti yang pernah berlaku dahulu pada awal-awal organisasi terlalu ghairah menggunakan komputer hingga membelanjakan wang yang banyak untuk membeli peralatan komputer yang semesti mahal dan berjenama, namun akhirnya tidak boleh dimanafaatkan secara optimum dan ditinggalkan menjadi "gajah putih". "Gajah Putih" tersebut tidak dibiarkan menjadi tontonan serta nolstagia kepada orang-orang terdahulu. Biasanya ia akan dilupuskan serta digantikan dengan perkakasan dan perisiaan baru mengikut teknologi semasa dan akhirnya kisah lalu berulang kembali. Isunya, bagaimanakah teknologi ICT yang dimiliki dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh organisasi bagi mendapatkan maklumat yang sewajarnya dan akhirnya dapat membantu organisasi bersaing dalam persekitaran global yang kian mencabar?


Sebenarnya teknologi maklumat semakin pintar. Kepintaran itu bukan sengaja dibuat-buat, bahkan ia hadir selari dengan perkembangan semasa perkakasan dan perisiaan yang menjadi elemen penting dalam ICT. Sokongan teknologi komunikasi sejak sedekad yang lalu telah menjadikan ICT semakin "pervasive" sesuai dengan penggunaannya yang menjangkau sempadan. Oleh yang demikian, pengurusan maklumat juga memerlukan pendekatan yang strategik serta berorientasikan kepintaran. Maka lahirlah teknologi Kepintaran Buatan (Business Intelligence) yang menunjangi pelaksanaan pengurusan maklumat yang lebih canggih dan pintar. Adanya teknologi ini, maklumat dilihat bermanafaat dan mampu menyokong organisasi dalam menentu arah tuju serta pelaksanaan perancangan strategik.

Langkah kerajaan dalam mempromosi serta melaksanakan ukuran pencapaian prestasinya berasaskan nilai "Key Performance Indicator" (KPI) adalah komponen penting dalam pelaksanaan perancangan strategik kerajaan. Walaubagaimanapun, penentuan KPI terhadap prestasi sesebuah organisasi atau khususnya jabatan-jabatan kerajaan bukanlah mudah untuk dinilai jika tiada pengurusan sistem maklumat yang cekap dan efisien. Hal ini merujuk kepada keperluan mewujudkan suatu sistem "Business Intelligence" di peringkat nasional bagi menyokong KPI jabatan-jabatan kerajaan dapat dipantau dan dipastikan pencapaiannya oleh pihak kerajaan secara telus melalui sistem "Business Intelligence" ini. Sudah sampai masanya kerajaan memanfaatkan seluruhnya kemudahan ICT yang telah disediakan dengan belanja yang banyak bagi mewujudkan pengurusan sistem maklumat nasional berasaskan "Business Intelligence" yang bersepadu.

ahlulwulus@Feb2010