19 November 2018

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 1440H/2018M

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Muslimin Muslimat Warga UUM yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahuwataala, Tuhan yang mentadbir sekalian alam, kerana dengan limpahan rahmat-Nya dapat kita bersama-sama menyambut hari ulang tahun keputeraan Kekasih-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Selawat dan salam buat Khatimul Anbiya’ Rasulullah Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat dan pengikut Baginda.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil teladan daripada kesungguhan Baginda mempertautkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar serta menyantuni para sahabat Baginda dengan sebaiknya. Sifat penyantun baginda ini tidaklah terhad dalam kalangan Muslim sahaja, malahan baginda juga sangat prihatin dengan masyarakat bukan Islam sebagai contoh pada ketika baginda bermuamalah dengan kaum Yahudi ketika Baginda mentadbir negara Islam Madinah. 

Oleh itu, sebagai umat Baginda, sewajarnya kita mencontohi akhlak peribadi, budi pekerti dan sifat penyayang Baginda sebagai contoh ikutan terbaik dalam kehidupan seharian. 
Allah berfirman yang bermaksud;

“Sungguh, telah ada suri teladan yang baik pada (diri) Rasulullah bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah al- Ahzab, ayat 21).

Sentiasalah kita bermuhasabah diri sebagai khalifah di atas muka bumi supaya kehidupan kita bertambah baik dari semasa ke semasa. Pastikan dalam kita bermuamalah seharian, sama ada di tempat kerja, di rumah, atau dalam masyarakat, secara individu atau berkumpulan, kita seharusnya mentauladani keprihatinan dan keadilan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menyama rata semua golongan, tanpa mengira pangkat dan darjat, kaya atau miskin. Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Bertepatan juga dengan tema sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1440H/2018M Peringkat Kebangsaan, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, saya amat berharap agar semua warga UUM mempertaut erat tali silaturrahim demi mewujudkan suasana kerja yang mesra dan harmoni serta dapat mengekalkan kesejahteraan di samping menyantuni masyarakat sekeliling dan memulihara alam sekitar. Semoga UUM berupaya menterjemah tema yang diangkat dalam usaha membangunkan modal insan dan negara kita yang tercinta. 


وَبِاللهِ التَّوْفِيْق وَالْهِدَايَةُ  وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Haji Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUM Online
ahlulwulus@2018