25 September 2021

MENINGGAL SEORANG SAHABAT YANG BAIK - PROF MADYA DR. LIONG CHOONG YEUN

Innalillahi wainnalillahi rojiun. 

Mendapat makluman dukacita bahawa sahabat sepengajian di UTM 1983-1988 PM Dr. Liong Choong Yeun telah meninggal dunia hari ini, jam 8.40 pagi. Allahyarham yang dikhabar telahpun memeluk Islam terkena serangan jantung semalam, dan telah dimasukkan ke hospital Kuala Kerai, dan 'intubated' sehinggalah beliau meninggal. Difahamkan juga keluarga beliau yang tidak mengetahui status keIslamnya telah mengebumi Allahyarham Dr Liong mengikut adat masyarakat Cina di Nirwana.


Mengenali Dr. Leong semasa hayatnya bermula semasa kami semua belajar dalam jurusan Sains Komputer di UTM Jalan Semarak. Beliau seorang yang baik, lemah lembut, berbudi bahasa dan sangat 'friendly' dengan rakan pengajiannya. Tidak dinafikan beliau diantara pelajar yang bijak dan sering mendapat markah yang tinggi dalam setiap subjek yang diambilnya. Tidak hairanlah beliau di antara pelajar cohort masa itu yang mendapat kelas pertama, selain saudara Gurpardeep Singh. Melalui media sosial, hubungan kami rakan-rakan sekelas dahulu telah dapat berhubung dan mengetahui perkembangan dan cerita masing-masing, dan dapat berjumpa semula melalui aktiviti reunion dan majlis perkahwinan. Namun, masanya telah sampai, tiada cepat sesaat mahupun lambat sesaat, Dr. Leong telah menemui penciptanya dalam keadaan kebanyakan rakan-rakan tidak tahu akan keIslamannya. Respon rakan-rakan dalam wassup.


Takziah diucapkan kepada keluarga PM Dr. Leong, semoga beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aamiin 👐

Blogger: ahlulwulus@2022

15 September 2021

PELAJAR KEMBALI KE KAMPUS SEMESTER OGOS 2021

UUM ONLINE: Selaras dengan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini Ahmad berkenaan Pengoperasian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semalam, Universiti Utara Malaysia telah bersedia untuk menerima kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2021/2022 secara fizikal dari semua negeri tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri masing-masing bermula 15 Oktober ini secara berperingkat. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sehingga hari ini (14 September), kira-kira 3000 pelajar lama telah mendaftar untuk kembali ke kampus dan 5200 pelajar baharu mendapat tawaran kemasukan ke UUM, namun tarikh pengesahan untuk kembali ke kampus secara fizikal masih dibuka sehingga penghujung September ini.


Menurutnya, pelaksanaan kemasukan pelajar secara berperingkat itu adalah bagi memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara, di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan seperti mana yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Katanya, sebagai persediaan sebelum pelajar kembali ke kampus, UUM telah menyiapkan garis panduan lengkap dengan pembabitan semua jabatan berkaitan di kampus ini seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Akademik, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan, Jabatan Keselamatan dan UUMIT. "Proses kemasukan pelajar akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, justeru SOP yang ketat akan diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk yang bukan sahaja melibatkan pelajar tempatan, malahan pelajar antarabangsa mengikut kategori yang dibenarkan oleh KPT.

"Bagi melancarkan proses kemasukan pelajar secara fizikal nanti, pelajar yang akan kembali perlu memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin. Saya juga ingin mengingatkan pelajar yang masih belum divaksin agar dapat berbuat demikian dengan segera atau menghubungi Badan Bertindak COVID-19 (CITF) untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan," katanya. Tambah beliau, proses kepulangan pelajar ke kampus ini akan mengikut kaedah-kaedah yang telah diumumkan oleh KPT dan UUM telah membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga universiti melalui proses kesihatan yang ketat seperti yang disarankan KPT.

Bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 di dalam kampus, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, UUM akan menyediakan pusat pengasingan bagi menguruskan kes-kes bergejala atau jangkitan, di samping mengambil langkah berjaga-jaga menerusi Pusat Kesihatan Universiti. Berkenaan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), menurutnya, proses tersebut akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang diluluskan MKN, malah universiti juga akan memastikan kemudahan dan fasiliti dalam kampus berada dalam keadaan terbaik bagi kegunaan pelajar. Katanya, bagi pelajar yang tidak pulang ke kampus pula, pihak UUM tetap akan memberi perhatian termasuk kebajikan mereka sepanjang berada di rumah masing-masing, malah pelajar boleh menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat sepanjang tempoh pengajian. "Setiap keputusan atau langkah yang diambil universiti ini adalah demi memberi keutamaan kepada pelajar dalam menyediakan modal insan yang hoslistik pada masa hadapan," katanya.

Pada masa sama, Prof. Dr. Haim Hilman mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi di atas keprihatinan terhadap bebanan keluarga dan pelajar dengan mengurangkan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar tempatan bagi Semester 1 Sesi 2021/2022. Katanya, beliau berharap ia merupakan satu berita gembira kepada pelajar terlibat, malah universiti juga menyambut baik inisiatif tersebut dalam memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar selaras dengan hasrat KPT untuk melihat proses pembelajaran dapat diberikan kepada anak bangsa walaupun negara dan dunia masih dalam pandemik Covid-19.

Selain mengumumkan tentang kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober depan, pada sidang media Menteri Pengajian Tinggi itu turut memaklumkan tentang VACC2Campus: Program Vaksinasi Warga IPT, pergerakan pelajar, kemasukan pelajar antarabangsa, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menyantuni kesejahteraan pelajar.

Sumber: UUMONLINE.

ahlulwulus@2021