21 February 2022

MENINGGALNYA ANAK TERAKHIR LEBAI TALIB DAN ALANG TEKAH - ANJANG ZUBER BIN LEBAI TALIB

Telah sempurna pengkebumian anjang Hj Zubir Bin Lebai Talib, anak terakhir Almarhum Tok Lebai Talib & Opah Alang Tekah. Semoga roh anjang tenang disana, diterima amalnya dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman dan soleh, Insya Allah. Takziah diucapkan kepada anak-anaknya yang juga sepupu saya Noor Aini (Yong Ni), Aishah, Faridah, Laila, dan Mohammad Khair. Semoga kalian tabah dan terus mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ayahanda Zubir.


Sesungguhnya tiap yang bernyawa pasti akan mengalami kematian. Bersabarlah, dan harus yakin bahwa Allah SWT kelak akan mempertemukan kita dengan saudara yang lain saat waktunya nanti tiba.

Aamin Ya Rabbal Alamin.



اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً
Allahummaghfirli wa la hu wa’qibni min hu ‘uqbaa hasanah
“Ya Allah, ampunilah diriku dan dia serta berikan kepadaku darinya pengganti yang lebih baik.”

Blogger: ahlulwulus@2022

17 February 2022

MAJLIS APRESIASI SOC 2021

Majlis apresiasi (penghargaan) SOC 2021 telah diadakan pada 17 Februari 2022 bertempat di Hotel EDC, UUM. Majlis ini diadakan untuk menghargai pelbagai kejayaan staf SOC sepanjang 2021 dan penyerahan tugas daripada mantan dekan kepada dekan baru dilantik mulai tahun 2022 iaitu Prof Madya Dr. Azham Hussein. Di majlis ini juga saya dihargai melalui anugerah prestasi cemerlang, staf setia berkhidmat dan budi dikenang. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan anugerah ini, selain dari bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberi kesempatan untuk berkhidmat dengan UUM, dan khusus SOC hingga ke hari ini. Pelbagai kenangan indah dan muram pernah dilalui sepanjang 30 tahun berkhidmat di sini. Semoga waktu yang ada dan diizinkan akan terus memberi kekuatan untuk terus berkhidmat dengan baik sehinggalah bersara pada September 2023.


Gambar mantan dekan Prof Dr. Huda Hj Ibrahim bersama dengan 
dekan baru tahun 2022 PM Dr. Azham Hussein.
 

Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) merupakan antara pusat pengajian terbaik di UUM yang berjaya mencapai dan mengekalkan petunjuk prestasi utama (KPI) tertinggi untuk tempoh beberapa tahun ini. Sehubungan itu, sebagai penghargaan di atas sumbangan dan meraikan kecemerlangan warga SOC, seramai 70 staf akademik dan pentadbiran telah diraikan pada Majlis Apresiasi SOC 2021 dan Penyerahan Tugas Penjawat SOC di Dewan Seri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan tugas mantan Dekan SOC, Prof. Dr. Huda Ibrahim kepada Prof. Madya Ts. Dr. Azham Hussain, diikuti oleh Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan dan Penyelaras-penyelaras Program dengan disaksikan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Madya Dr. Mazni Omar. Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Azham berkata, bagi mengekalkan pencapaian yang dikecapi SOC pada hari ini, semua staf perlu bekerjasama  dan memberikan sokongan padu untuk terus meningkatkan prestasi cemerlang SOC sebagai salah satu pusat pengajian terbaik bagi tahun ini. 


“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih juga kepada mantan penjawat SOC 2021 yang telah berusaha dan Berjaya menempa pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu di bawah teraju Prof. Dr. Huda. “Saya berharap agar kerjasama erat antara warga SOC dapat diteruskan dan bersama-sama meningkatkan produktiviti masing-masing untuk mengekalkan kejayaan ini,” katanya. Majlis turut meraikan warga SOC dengan penyampaian anugerah kepada staf yang telah memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang 2021.

Sebanyak 38 anugerah telah disampaikan antaranya Anugerah Budi Dikenang, Anugerah Jawatankuasa Jaringan Industri & Komuniti, Anugerah Setia Berkhidmat, Anugerah Ikon Popular (Wanita), Anugerah Ikon Popular (Lelaki), Anugerah Keterampilan, Anugerah Staf Sokongan Terbaik, Anugerah e-Portfolio Terbaik, Penglibatan Masyarakat dan Industri Terbaik, Pendaftaran Harta Intelek (PATEN), Anugerah Pengajaran Terbaik, Anugerah Pereka cipta, Anugerah Penulis (h-index tertinggi), Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Penyelidik Terbaik dan Anugerah ProAKTIF.

Semoga SOC terus berjaya cemerlang dan gemilang.

Blogger: ahlulwulus@2022

16 February 2022

MOHD TASLIM ABD RASHID PENCIPTA LOGO UUM

Mungkin ramai yang ingin mengenali dan mengetahui siapakah pencipta logo disebalik kelahiran Universiti Pengurusan ini. Memandangkan Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh yang dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang pertama pernah dipinjamkan sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) atau yang kini dikenali dengan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pada tahun 1978-1980 maka peluang diberikan kepada pelajar Kursus Seni Reka Grafik UiTM Shah Alam untuk menyertai dan menghantar penyertaan mereka untuk pertandingan mencipta logo UUM ini.

Hasilnya tiga pensyarah yang diketuai oleh Ketua Kajian Seni Rekanya Prof Dr Zahari Zain Sulaiman bersama 12 pelajarnya telah menghantar penyertaan mereka. Bagi menyambut hari bersejarah pada 16 Februari ini pihak UUM Corporate Communication telah menghubungi pereka logo UUM Mohd Taslim Abd Rashid di Batu Pahat Johor. Pelajar semester akhir Kursus Seni Reka Grafik yang ditemui itu berkata, pensyarahnya telah mewajibkan lebih 100 pelajar kelasnya untuk menghasilkan logo UUM ini pada tahun 1984.


“Saya tidak menyangka logo ciptaan saya yang mengabungkan empat warna iaitu biru tua, lima jalur berwarna putih, enam biji padi berwarna kuning dan biru muda sebagai latar belakang di luar perisai itu berjaya menambat hati juri,” katanya lagi. Alumni ITM Sarjana Muda Seni lukis dan Seni Reka 1985 ini menambah dalam logo itu terdapat lakaran tiga dimensi iaitu mata pena melambangkan peranan UUM sebagai institusi pendidikan dan keilmuan. Manakala dimensi kedua pula melambangkan nama universiti itu UUM yang terdapat lengkung berwarna putih di bawah sekali melambangkan huruf  “U”  singkatan daripada perkataan universiti ini manakala garis lengkung di atas pula melambangkan “U” dari perkataan utara.

“Garis tegak di tengah-tengah dan diapit oleh dua garis lengkung di kiri dan kanannya melambangkan huruf “M” iaitu Malaysia dan terbentuklah perkataan UUM,” sambungnya lagi. Dalam dimensi ketiga pula Mohd Taslim berkata, ianya membawa erti yang terkandung dalam moto UUM di mana dua garisan yang melambangkan keilmuan dan enam bulatan bujur yang berwarna kuning di tengah-tengah perisai mata pena itu adalah hasil padi masak yang membawa erti kebudimanan berasaskan prinsip ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Akhirnya ketiga-tiga garisan dibahagian atas logo itu adalah lambang usaha bersama orang perseorangan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan masyarakat selaras dengan moto UUM ilmu, budi dan bakti.

Source: UUMONLINE
Blogger: ahlulwulus@2022

12 February 2022

SAHABAT ZAINAL HARUN DAN SULAIMAN HASHIM TELAH MENINGGAL DUNIA

Sahabat lama semasa zaman persekolahan di SMK Maharaja Lela, Kg Gajah saudara Zainal Harun dan Sulaiman Hashim (dikenali sebagai Leman Padang Kerbau) telah meninggal dunia selang beberapa minggu berturut-turut. Dimulai dengan Zainal Harun yang katakan sesak nafas menjelang subuh di rumahnya. Manakalah Sulaiman Hashim pula dikatakan sesak nafas juga selepas menghadiri kenduri. Dimaklumkan juga saudara Zainal telah selesai cucuk vaksin dos kedua, dan saudara Sulaiman baru dua hari cucuk dos booster. Tidaklah dapat dipastikan samada punca kematian adalah berkaitan dengan vaksinasi ini. Wallahu Aqlam.

Sulaiman Hashim

Kedua-dua sahabat ini telah lama tinggal di kampung Bukit Chawi dan melangsungkan kehidupan mereka di kampung. Hanya sesekali saja aku berjumpa dengan mereka apabila waktu balik kampung di musim hari raya. Namun sejak pandemik covid19 ini, telah lama aku tidak balik ke kampung dan telah lama juga tidak berjumpa mereka. Namun dua minggu selepas kematiannya, Zainal Harun ada menghubungi aku dan berkongsi cerita mengenai perjumpaannya dengan sahabat Daud dan Yunus, yang juga sahabat zaman persekolahan. 

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan ditempatkan mereka di kalangan orang-orang soleh dan bertaqwa. Aamiin.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً
Allahummaghfirli wa la hu wa’qibni min hu ‘uqbaa hasanah
“Ya Allah, ampunilah diriku dan dia serta berikan kepadaku darinya pengganti yang lebih baik.”

Blogger: ahlulwulus@2022

04 February 2022

BANG SALEHUDIN RASLAN KEMBALI KE RAHMATULLAH

Hari Jumaat 4/2/2022, jam 6 petang dimaklumkan abang ipar Salehudin Raslan (suami kakanda Norsiah) telah kembali kerahmatullah akibat kemalangan jalanraya. Berita ini agak mengejutkan kerana tiada makluman tentang kesihatan bang Saleh yang tidak baik, melainkan khabar tentang sedikit kemurungan dan kesedihan beliau selepas pemergiaan kakanda Norsiah pada sembilan bulan yang lalu. Kejadian kemalanganpun diketahui oleh keluarga (anak dan adiknya di kampung) setelah diviral oleh orang kampung tentang motor yang dijumpai ditepi jalan berhampiran dengan Kampung Memali Kampung Gajah. Setelah dibuat pengecaman oleh anak dan adik di balai polis Kampung Gajah, barulah dipastikan orang yang meninggal tersebut adalah abang Saleh. Pemergian abang Saleh amat menyedihkan ahli keluarga, khususnya anak-anak mereka Syafiq, Iwan dan Aisyah. Kesedihan ini berganda setelah ibu mereka Norsiah meninggal pada akhir Ramadan tahun lalu. Semoga Allah memberi kesabaran dan ketabahan kepada mereka ini untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa mereka yang telah tiada. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً
Allahummaghfirli wa la hu wa’qibni min hu ‘uqbaa hasanah
“Ya Allah, ampunilah diriku dan dia serta berikan kepadaku darinya pengganti yang lebih baik.”

Blogger: ahlulwulus@2022