12 May 2020

NAIK PANGKAT KE PROFESOR MADYA

Profesor universiti ini adalah diingatkan agar dapat bersama-sama membantu untuk menaikkan nama UUM di persada antarabangsa. Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau yakin dengan kepakaran yang dimiliki setiap profesor yang ada di UUM bagi membantu menjulang nama universiti ke tahap lebih tinggi lagi. Menurutnya, gelaran profesor itu adalah satu institusi yang perlu dimanfaatkan dan beliau mahu nama UUM dikenali orang luar dengan kepakaran dimiliki bukan sahaja terkenal sebagai jaguh kampung tetapi universiti pengurusan terkemuka di peringkat global.

Katanya, universiti kini sedang menuju ke arah digital meskipun negara dilanda wabak Covid-19, namun universiti telah bersedia walaupun tidak sepenuhnya dalam keadaan agak tertekan dan kekurangan, UUM akan terus bergerak menjadi full force digital campus seperti dalam dasar UUM ke arah digital campus yang telah dibentangkan pada Januari tahun lalu. “Universiti akan meningkatkan sistem penyampaian yang lebih cepat dan efisien seiring dengan era digital serta kaedah pengajaran dan pembelajaran juga akan dilakukan secara atas talian (online).

“Selain itu, dalam aspek ranking juga kita tidak akan bertolak ansur kerana dalam lawatan ke pusat pengajian lalu, saya telah menekankan agenda ranking adalah satu agenda penting tetapi saya mahu lihat ia diterjemahkan kepada lebih ketara seperti menerusi penjanaan kewangan universiti dengan hasil penyelidikan bersama pihak luar atau industri. “Di sini, kalangan profesor memainkan peranan penting untuk meningkatkan jalinan kerjasama dengan industri menerusi penyelidikan. Ini adalah kelemahan pihak universiri saban tahun yang mana hubungan dengan industri masih kurang, justeru fikirkan bagaimana untuk tingkatkan jenama UUM ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik di Bilik Senat, semalam.

Seramai 27 staf akademik telah menerima watikah kenaikan pangkat melibatkan kenaikan pangkat ke jawatan Profesor (VK7) seramai enam orang, Prof. Madya (16) dan pensyarah kanan seramai lima orang. Naib Canselor berkata, kenaikan pangkat staf akademik itu membuktikan mereka cemerlang dalam pelbagai aspek, malah beliau yakin ianya telah dinilai dan staf tersebut melalui proses yang ketat. Seperti sedia maklum, katanya, kenaikan pangkat itu bukan pengakhir untuk pencapaian seterusnya, justeru beliau berharap Profesor yang dilantik termasuk staf akademik lain akan terus berjuang memartabatkan nama universiti yang tercinta. “Jangan sombong diri dan ego kerana apa yang diperolehi hari ini bukan atas usaha diri sendiri sahaja tetapi berkat usaha rakan-rakan, Dekan dan pihak pengurusan. “Teruskan bekerja untuk universiti dan pusat pengajian masing-masing. Semoga  setiap agenda yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Sumber: UUM ONLINE
ahlulwulus@2020