21 August 2007

SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-50

Sambutan hari kemerdekaan setiap tahun memberi ingatan tentang betapa bertuahnya kita dapat hidup di Negara yang aman dan makmur serta bekerja di sebuah universiti yang terkenal dan amat disegani. Dengan adanya kemerdekaan ini, kita mampu untuk membina Negara dan melakar kejayaan demi kejayaan demi bangsa dan Negara yang tercinta.

Walaupun begitu, bukan mudah untuk kita meraih kejayaan seperti sekarang. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi dan ditangani. Dari masalah ekonomi dan sosial di peringkat Negara hinggalah global dapat kita atasinya dengan bijaksana dan berkesan. Pimpinan Negara yang bijak dan berwawasan telah berjaya memupuk semangat jati diri rakyat yang mantap serta kejayaan Negara mengikut acuan sendiri yang diwarisi dari perjuangan kemerdekaan dahulu. Walaupun ada segelintir rakyat hanyut dengan keseronokan kemodenan negara hingga sanggup mengadai nilai-nilai murni yang dipegang sekian lama, namun perjuangan tetap diteruskan. Tiada apa yang dapat menggagalkan hasrat murni seluruh rakyat untuk memastikan bangsa dan negara akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Negara harus mengambil iktibar daripada semangat kemerdekaan dengan sama-sama terlibat dengan aktiviti kemerdekaan yang tidak melanggar adat dan tatasusila bangsa dan agama agar natijah daripada sambutan tersebut akan terus tersemat dan seterusnya mampu membentuk semangat jati diri yang sebenar bagi menjamin sebuah Negara Malaysia yang maju dan berjaya.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan !!!

MERDEKA !!! MERDEKA !!! MERDEKA !!!