13 December 2016

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 1438H/2016M

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Muslimin Muslimat Warga UUM yang dirahmati Allah,

Syukur Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahuwataala Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat dan pengikut Baginda, kerana  masih diberi kesempatan memperingati dan merayakan hari ulang tahun Keputeraan Kekasih Allah, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam .

Sempena meraikan hari lahir manusia suci dan agung ini, marilah kita bersama-sama menghayati sirah kehidupan baginda, yang penuh onak dan berliku, demi menyampaikan risalah agung, iaitu Al Quranul Karim  agar umatnya yang hidup dalam gelap gulita kerana kesesatan memperoleh cahaya iman dan takwa. Firman Allah  Subhanahuwataala dalam surah Al-Jumu’ah ayat 2:

Ertinya: “Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

Manusia agung inilah juga sentiasa bertungkus lumus mengajar umat manusia berkaitan dengan tatacara kehidupan yang murni dan terpuji. Baginda merupakan suri teladan yang paling mulia merangkumi setiap inci gerak langkah hidup manusia, mengajar manusia tentang erti kasih sayang, persaudaraan, toleransi terutama dalam menjalani perhubungan sesama manusia. Allah Subhanahuwataala telah berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga telah mempersaudarakan orang mukmin dalam kalangan Muhajirin dan Ansar di bumi Madinah Al Munawarah bagi menyatupadukan semua kaum muslimin dan seterusnya berjaya membentuk negara Islam yang gemilang. Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita sebagai umatnya agar sentiasa mengutamakan ukhuwah Islamiyah bagi merealisasikan penyatuan dan mengekang sebarang usaha musuh untuk memecahbelahkan umat Islam demi mempertahankan kedaulatan agama dan negara. Allah  Subhanahuwataala berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu  maka kamu menjadi bersaudara.” (surah Ali Imran, ayat 103).

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini menyeru semua warga UUM agar sentiasa menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai suri teladan utama dalam menjalani kehidupan seharian terutama ketika berada di tempat kerja. Mencontohi sikap baginda Sallallahu Alaihi Wasallam  dengan sentiasa bersikap belas ihsan, hormat-menghormati dan menyantuni rakan sekerja, pegawai bawahan dan juga pelanggan yang berurusan di organisasi kita.

Bertepatan juga dengan tema sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1438H/2016M Peringkat Kebangsaan, "UKHUWAH ISLAMIAH ASAS PENYATUAN UMMAH”, saya amat berharap agar kita terus mempereratkan ukhuwah sesama kita yang merupakan kunci utama penyatuan umat muslimin dan yang juga menjadi Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi  meraih  rahmat Allah Subhanahuwataala.

Sumber: UUM

ahlulwulus@2016

No comments: