Showing posts with label PKP. Show all posts
Showing posts with label PKP. Show all posts

12 May 2020

NAIK PANGKAT KE PROFESOR MADYA

Profesor universiti ini adalah diingatkan agar dapat bersama-sama membantu untuk menaikkan nama UUM di persada antarabangsa. Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau yakin dengan kepakaran yang dimiliki setiap profesor yang ada di UUM bagi membantu menjulang nama universiti ke tahap lebih tinggi lagi. Menurutnya, gelaran profesor itu adalah satu institusi yang perlu dimanfaatkan dan beliau mahu nama UUM dikenali orang luar dengan kepakaran dimiliki bukan sahaja terkenal sebagai jaguh kampung tetapi universiti pengurusan terkemuka di peringkat global.

Katanya, universiti kini sedang menuju ke arah digital meskipun negara dilanda wabak Covid-19, namun universiti telah bersedia walaupun tidak sepenuhnya dalam keadaan agak tertekan dan kekurangan, UUM akan terus bergerak menjadi full force digital campus seperti dalam dasar UUM ke arah digital campus yang telah dibentangkan pada Januari tahun lalu. “Universiti akan meningkatkan sistem penyampaian yang lebih cepat dan efisien seiring dengan era digital serta kaedah pengajaran dan pembelajaran juga akan dilakukan secara atas talian (online).

“Selain itu, dalam aspek ranking juga kita tidak akan bertolak ansur kerana dalam lawatan ke pusat pengajian lalu, saya telah menekankan agenda ranking adalah satu agenda penting tetapi saya mahu lihat ia diterjemahkan kepada lebih ketara seperti menerusi penjanaan kewangan universiti dengan hasil penyelidikan bersama pihak luar atau industri. “Di sini, kalangan profesor memainkan peranan penting untuk meningkatkan jalinan kerjasama dengan industri menerusi penyelidikan. Ini adalah kelemahan pihak universiri saban tahun yang mana hubungan dengan industri masih kurang, justeru fikirkan bagaimana untuk tingkatkan jenama UUM ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik di Bilik Senat, semalam.

Seramai 27 staf akademik telah menerima watikah kenaikan pangkat melibatkan kenaikan pangkat ke jawatan Profesor (VK7) seramai enam orang, Prof. Madya (16) dan pensyarah kanan seramai lima orang. Naib Canselor berkata, kenaikan pangkat staf akademik itu membuktikan mereka cemerlang dalam pelbagai aspek, malah beliau yakin ianya telah dinilai dan staf tersebut melalui proses yang ketat. Seperti sedia maklum, katanya, kenaikan pangkat itu bukan pengakhir untuk pencapaian seterusnya, justeru beliau berharap Profesor yang dilantik termasuk staf akademik lain akan terus berjuang memartabatkan nama universiti yang tercinta. “Jangan sombong diri dan ego kerana apa yang diperolehi hari ini bukan atas usaha diri sendiri sahaja tetapi berkat usaha rakan-rakan, Dekan dan pihak pengurusan. “Teruskan bekerja untuk universiti dan pusat pengajian masing-masing. Semoga  setiap agenda yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Sumber: UUM ONLINE
ahlulwulus@2020

30 April 2020

STRATEGI BARU DALAM MENYAMBUT RAMADHAN MASA COVID-19

Tibanya bulan Ramadan al-Mubarak menandakan sudah sampai masanya untuk umat Islam menggandakan amalan yang mulia selain bermuhasabah dengan apa yang telah lakukan. Walaupun seluruh dunia kini diancam wabak Covid-19 hingga menyebabkan pergerakan penduduk dunia terbatas tetapi bagi umat Islam,  Ramadan tetap disambut meriah bagi hamba-Nya yang bertakwa. Adakah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kita akan membiarkan semua kelebihan Ramadan berlalu begitu sahaja? Sdakah kita rasa tersekat untuk melakukan amalan, atau apakah kita hilang semangat beribadah bila dilakukan di rumah? Jom tingkatkan amalan dengan suasana baharu yang akan memberikan lagi pengalaman baru kepada kita semua dalam bulan Ramadan 1441H ini. Tumpukan matlamat hidup kita untuk beribadah kepada Allah, justeru untuk memantapkan ibadah kita perlu menyusun beberapa strategi. 

Strategi pertama, jangan sesekali meninggalkan beberapa perkara utama iaitu solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, solat terawih, bangun malam (qiyamullail), membaca al-Quran hingga khatam, bersahur, memasak dan berbuka puasa bersama keluarga. Lakukan solat 5 waktu secara berjemaah bersama ahli keluarga, mungkin pada masa lalu, kita tidak sempat berjemaah bersama isteri dan anak-anak, jadi inilah peluang kita menjadi imam di samping memperbaiki kualiti solat. Bagi yang tidak pernah atau gementar untuk menjadi imam solat, inilah waktu terbaik untuk kita memperbaiki solat dari segi bacaan surah. Allah bagi masa dan peluang kepada kita untuk semak dan teliti solat kita dan ahli keluarga.. 

Strategi kedua, berazam untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan soleh dalam kehidupan kita yang tidak berapa lama lagi dapat hidup di dunia ini serta berazam untuk memimpin ahli keluarga ke jalan yang diredhai Allah. Ramadan ini, azam kita mahu solat terawih dari malam pertama hingga terakhir, menghabiskan bacaan al-Quran 30 juzuk, qiyamullail bersama ahli keluarga dan  tunaikan janji kita kepada isteri kita untuk membawanya ke syurga Allah dengan melakukan amal-amal soleh.

Strategi ketiga, berlumba dalam beramal. Sekiranya kita beramal secara mendatar tambahan pula dalam keadaan pergerakan terbatas sepanjang tempoh PKP ini, kita akan berasa cepat bosan dan malas. Jadi, buatlah pertandingan antara ahli keluarga dan sediakan hadiah misalnya  pertandingan bercerita kisah nabi, pertandingan menghafaz ayat-ayat al-Quran setiap hari dengan memilih beberapa surah pendek untuk dihafaz dan berlumba menghabiskan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan, siapa yang mampu habiskan sekali atau dua kali bacaan al-Quran dikira sebagai pemenang. Seronokkan kalau berlumba dengan diberikan sedikit ganjaran pasti anak-anak akan berasa teruja dan menambahkan semangat untuk membaca al-Quran bersama mereka.

Strategi keempat, wujudkan aktiviti kepada ahli keluarga, buat satu jadual pengajian atau bacaan kitab berkaitan dengan fardhu ain seperti tauhid, fiqh, tasawuf, sirah nabi selepas menunaikan solat fardhu, cukup sekadar 5 minit setiap hari. Setiap waktu solat pilih bacaan tertentu dengan memberi tanggungjawab kepada setiap seorang untuk menjadi pembaca, di samping mereka akan lebih berkeyakinan untuk menjadi penyampai di hadapan orang ramai nanti, selain itu aktiviti yang mengeratkan silaturrahim seperti masak bersama-sama juga dapat dilakukan.

Sebagai hamba yang beriman dan berpegang teguh kepada Allah dan Rasul yang memberi panduan telah berulang kali menyebut di dalam al-Quran perkataan ‘Ulul Albab’ yang bermaksud hamba yang menggunakan akal fikiran dengan sempurna dan meletakkan sesuatu itu dengan betul dan benar.

Sumber: UUM ONLINE
ahlulwulus@2020

07 April 2020

VIRUS CORONA (COVID-19) YANG SANGAT MERBAHAYA

Melalui data yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan internet, wabak baru dari virus corona atau covid-19 telah memberi kesan yang menakutkan kepada masyarakat dunia secara keseluruhan. Umumnya kesan ini memberi impak yang besar kepada kesihatan awam dan ekonomi negara. Kes pertama pesakit covid-19 telah didaftarkan pada 20 Januari di Wuhan China, dan telah berevolusi dengan pantas ke seluruh dunia sehingga hari ini walau pun negara China telah dikatakan pulih dari wabak ini. Akibat penyebarannya yang sangat pantas, maka pihak kerajaan telah mengambil langkah mengawal pergerakan orang ramai bagi memutuskan rangkaian penyebaran virus ini yang sehingga kini tiada vaksin yang khusus untuknya.

Kes awal jangkitan covid-19 telah berlaku di China, iaitu di daerah Hubei, Beijing dan Shanghai. Selepas itu diikuti negara seperti Jepun, Korea, negara dari wilayah pasifik barat, dan asia tenggara seperti Malaysia dan Thailand. Sehingga kini, sebanyak 183 negara telah dijangkiti virus ini termasuklah negara Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat yang mempunyai kadar jangkitan dan kematian yang sangat tinggi walau pun pada peringkat awalnya negara-negara ini tidak menunjukkan bilangan jangkitan yang tinggi.

Jangkitan covid-19 menyebabkan radang paru-paru yang serius dan boleh menyebabkan kematian kepada orang yang dijangkiti, dan peningkatan penyebaran virus ini sangat cepat ke seluruh dunia. Penyakit covid-19 disebabkan oleh sejenis virus corona yang memerlukan tempoh inkubasi dari 9 hingga 14 hari sebelum ia menyebabkan radang paru-paru, dan menjadikan 40% hingga 50% sebab kematian sekiranya pesakit mempunyai masalah lain yang berlebihan (kesusahan bernafas, kadar pernafasan lebih daripada 30 bpm, hipoksemia, sinar-X dada dengan infiltrat berbilang atau penyusupan pulmonari berkembang lebih daripada 50% dalam tempoh 24-48 jam).

Corona Virus (Covid-19)

Jika keadaan pesakit menjadi kritikal dengan kegagalan pernafasan, kejutan septik, dan kegagalan organ lain, maka mereka ini perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keperluan peralatan penjagaan hospital yang mencukupi. Namun hal ini mungkin menjadi sukar kepada pihak hospital jika peningkatan pesakit yang mendadak.

Peratus kematian pesakit covid-19 dikira berdasarkan jumlah yang dijangkiti di kawasan yang sama dan ditetapkan oleh peratusannya mengikut jumlah yang terkesan dengan jangkitannya. Trend penyebaran dikaitkan dengan purata penyelesaian jangkitan dan trend peningkatan penyesuaian dengan ujian baru terhadap pesakit. Bukti penurunan jumlah penyakit covid-19 dilihat dengan pengurangan jumlah orang yang diuji yang berkemungkinan dijangkiti. Hakikatnya, covid-19 ini tidak mempunyai sejarah jangkitan ke atas manusia yang boleh dipadankan bagi meramalkan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku pada masa hadapan.

Kebarangkalian kematian akibat covid-19 dianggap sebagai peratusan jumlah untuk mengenal pasti trend kematian baru yang jelas kelihatan meningkat seiring dengan peningkatan jangkitan dengan kes-kes harian yang baru ditemui.

Statistik Covid-19 6 April 2020 (Isnin)
Merujuk statistik harian covid-19 yang disediakan oleh Johns Hopkins University and Medicine, sehingga hari ini 6 April 2020 (Isnin), sebanyak 1,346,299 kes di seluruh dunia. Amerika Syarikat telah mendahului negara lain dengan 367,507 kes dengan kadar kematian 10,908 kes dan kadar kesembuhan 19,598 kes. Negara lain yang mempunyai kes yang tinggi adalah Sepanyol dengan 136,675 kes dengan kematian 13,341 kes dan kesembuhan 40,437 kes, dan Itali 132,547 kes dengan kematian 16,523 dan kesembuhan 22,837. Negara China yang bermulanya wabak pandemik ini mempunyai 82,665 dengan kematian 3,335 dan kesembuhan 77,310 kes.


Sehingga kini, Malaysia mempunyai 3,793 kes dengan kematian 62 kes dan kesembuhan 1,241 kes. Terdapat 102 kes di ICU dan 54 kes daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. Terdapat 8,109 kes masih menunggu keputusan samada disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini seramai 43,664 telah disahkan negatif. Kadar taburan kes menunjukkan negeri Selangor mendahuli negeri yang lain sebanyak 943 kes, Kuala Lumpur 622 kes, Johor 438 kes, Serawak 261 kes, Sabah 238 kes, Negeri Sembilan 231 kes, Perak 213 kes, Pahang 158, Kelantan 141 kes, Pulau Pinang 101 kes, Melaka 89 kes, Terengganu 84 Kes, Kedah 82 kes, Perlis 13 kes dan Labuan 11 kes. Berdasarkan jumlah penduduk Malaysia seramai 32,720, 946 juta orang, maka rakyat yang dijangkiti covid-19 adalah 0.012 %.


Statistik Covid-19 Ikut Negeri
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah drastik untuk mengawal penularan virus covid-19 ini melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seperti negara lain yang terjangkit, Malaysia telah meningkatkat PKP ke fasa ke-2 mulai 1-14 April 2020, di mana fasa pertama telah dilaksanakan pada 18-31 Mac 2020. Rakyat diminta untuk duduk di rumah (#StayAtHome) dan sentiasa mengamalkan aspek kebersihan dengan kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitizer, menjarakkan diri dengan orang lain (social distancing) dan memakai penutup muka (facemask) ketika berada di luar dan berurusan dengan orang lain. Hal ini diharapkan dapat mengurang atau menghapuskan penularan virus covid-19 dengan lebih luas.

Kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi (economic stimulus package 2020) dengan tujuan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan wabak covid-19 ini apabila sebahagian rakyat khususnya golongan B40 juga tidak ketinggalan golongan M40 yang yang hilang pendapatan akibat tidak dapat bekerja atau menjalankan perniagaan. Melalui pakej rangsangan ekonomi ini, kerajaan memberi bantuan kewangan dan pengurangan kos-kos perkhidmatan dan utiliti serta kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada rakyat. Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban rakyat sepanjang PKP diadakan yang berkemungkinan besar akan dilanjutkan kepada suatu tempoh yang lama.

Hanya kepada Allah SWT kita berserah dan berdoa semoga wabak covid-19 ini diangkat oleh Allah SWT dengan segera, serta menjadikan kita hamba Allah yang bertaqwa dan beramal soleh. Orang yang beriman dan beramal soleh sentiasa mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan seterusnya melakukan amal soleh serta bersyukur dengan apa yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Marilah bersama kita berdoa:


Aamiin Yarabbal Alamin.

ahlulwulus@2020