30 April 2020

STRATEGI BARU DALAM MENYAMBUT RAMADHAN MASA COVID-19

Tibanya bulan Ramadan al-Mubarak menandakan sudah sampai masanya untuk umat Islam menggandakan amalan yang mulia selain bermuhasabah dengan apa yang telah lakukan. Walaupun seluruh dunia kini diancam wabak Covid-19 hingga menyebabkan pergerakan penduduk dunia terbatas tetapi bagi umat Islam,  Ramadan tetap disambut meriah bagi hamba-Nya yang bertakwa. Adakah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kita akan membiarkan semua kelebihan Ramadan berlalu begitu sahaja? Sdakah kita rasa tersekat untuk melakukan amalan, atau apakah kita hilang semangat beribadah bila dilakukan di rumah? Jom tingkatkan amalan dengan suasana baharu yang akan memberikan lagi pengalaman baru kepada kita semua dalam bulan Ramadan 1441H ini. Tumpukan matlamat hidup kita untuk beribadah kepada Allah, justeru untuk memantapkan ibadah kita perlu menyusun beberapa strategi. 

Strategi pertama, jangan sesekali meninggalkan beberapa perkara utama iaitu solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, solat terawih, bangun malam (qiyamullail), membaca al-Quran hingga khatam, bersahur, memasak dan berbuka puasa bersama keluarga. Lakukan solat 5 waktu secara berjemaah bersama ahli keluarga, mungkin pada masa lalu, kita tidak sempat berjemaah bersama isteri dan anak-anak, jadi inilah peluang kita menjadi imam di samping memperbaiki kualiti solat. Bagi yang tidak pernah atau gementar untuk menjadi imam solat, inilah waktu terbaik untuk kita memperbaiki solat dari segi bacaan surah. Allah bagi masa dan peluang kepada kita untuk semak dan teliti solat kita dan ahli keluarga.. 

Strategi kedua, berazam untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan soleh dalam kehidupan kita yang tidak berapa lama lagi dapat hidup di dunia ini serta berazam untuk memimpin ahli keluarga ke jalan yang diredhai Allah. Ramadan ini, azam kita mahu solat terawih dari malam pertama hingga terakhir, menghabiskan bacaan al-Quran 30 juzuk, qiyamullail bersama ahli keluarga dan  tunaikan janji kita kepada isteri kita untuk membawanya ke syurga Allah dengan melakukan amal-amal soleh.

Strategi ketiga, berlumba dalam beramal. Sekiranya kita beramal secara mendatar tambahan pula dalam keadaan pergerakan terbatas sepanjang tempoh PKP ini, kita akan berasa cepat bosan dan malas. Jadi, buatlah pertandingan antara ahli keluarga dan sediakan hadiah misalnya  pertandingan bercerita kisah nabi, pertandingan menghafaz ayat-ayat al-Quran setiap hari dengan memilih beberapa surah pendek untuk dihafaz dan berlumba menghabiskan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan, siapa yang mampu habiskan sekali atau dua kali bacaan al-Quran dikira sebagai pemenang. Seronokkan kalau berlumba dengan diberikan sedikit ganjaran pasti anak-anak akan berasa teruja dan menambahkan semangat untuk membaca al-Quran bersama mereka.

Strategi keempat, wujudkan aktiviti kepada ahli keluarga, buat satu jadual pengajian atau bacaan kitab berkaitan dengan fardhu ain seperti tauhid, fiqh, tasawuf, sirah nabi selepas menunaikan solat fardhu, cukup sekadar 5 minit setiap hari. Setiap waktu solat pilih bacaan tertentu dengan memberi tanggungjawab kepada setiap seorang untuk menjadi pembaca, di samping mereka akan lebih berkeyakinan untuk menjadi penyampai di hadapan orang ramai nanti, selain itu aktiviti yang mengeratkan silaturrahim seperti masak bersama-sama juga dapat dilakukan.

Sebagai hamba yang beriman dan berpegang teguh kepada Allah dan Rasul yang memberi panduan telah berulang kali menyebut di dalam al-Quran perkataan ‘Ulul Albab’ yang bermaksud hamba yang menggunakan akal fikiran dengan sempurna dan meletakkan sesuatu itu dengan betul dan benar.

Sumber: UUM ONLINE
ahlulwulus@2020

No comments: