11 January 2021

STRATEGIK KPT MEMERTABATKAN SEKTOR PENGAJIAN TINGGI NEGARA

Melangkah ke tahun 2021, warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta bersama-sama untuk sederap melangkah ke hadapan berpandukan enam fokus strategik seiring dengan tema 'Menginspirasi Minda, Mendakap Kehebatan'. Menyampaikan amanat tahun baharu, Datuk Seri Dr. Norani Ahmad berkata, enam fokus strategik KPT pada tahun ini adalah untuk memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memperkukuh kebolehpasaran graduan, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarakkan semangat #KPTPrihatin. Menurutnya, menerusi fokus strategik memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan, infrastruktur ICT akan dipertingkatkan dengan pelaksanaan projek menaik taraf MyREN yang diluluskan dengan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021, selain semua IPT perlu menyesuaikan modul pembelajaran dan kaedah penilaian sedia ada dengan persekitaran digital serta memastikan kapasiti tenaga pengajar dipertingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi agar matlamat pendigitalan pendidikan.
"Fokus strategik kedua iaitu memantapkan jaringan kolaborasi strategik yang mana satu model baharu penajaan pengajian diketengahkan sebagai alternatif kepada pembiayaan biasiswa oleh kerajaan. Contohnya, Program MyBrighter Future dengan kerjasama Yayasan TNB dan strategi melibatkan yayasan lain seperti Yayasan Tunku Abdul Rahman, Yayasan Sime Darby dan Yayasan Hasanah. Program CEO@Faculty juga akan terus dilaksanakan dan pembentangan kertas secara berkala melalui platform digital yang boleh dinamakan sebagai Festival of Ideas dapat dianjurkan. "Ketiga, memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam usaha untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara atau National Employment Council (NEC). 

KPT bertanggungjawab kepada dua specialised taskforce iaitu National Education dan TVET. Selain itu, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan IPT 2021 – 2025 juga bakal dilancarkan, program-program peningkatan kebolehpasaran graduan seperti PENJANA KPT-CAP dan program Baucar KPT-PACE perlu digarap menjadi lebih kemas, diperluaskan spektrumnya dan dipantau secara rapi bagi memastikan outcome yang ditetapkan dicapai. Di samping itu, bagi memperkasakan agenda keusahawanan, Pelan Tindakan Keusahawanan 2021 – 2025 akan dibangunkan dan Majlis Keusahawanan Pengajian Tinggi Nasional diaktifkan semula sebagai forum untuk membincangkan hala tuju dan penyelesaian berkaitan inisiatif melahirkan modal insan yang berdaya keusahawanan. "Fokus strategik keempat iaitu memacu kesejahteraan komuniti yang menekankan tentang keperluan untuk menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti. Pensyarah dan profesor diminta tampil ke hadapan dengan sumbangan yang lebih besar iaitu menjadi pakar kepada masyarakat dan negara dalam bidang masing-masing. 

Sumbangan ini haruslah melimpah keluar dari kampus kepada masyarakat dalam bentuk spillover effect dan rakyat dapat menikmati kepakaran mereka yang mana kemungkinan sumbangan tersebut mendapat pengiktirafan antarabangsa sehingga boleh dinobatkan sebagai nobel laureate. KPT akan bersama-sama dengan semua IPT merangka program khusus yang lebih komprehensif bagi membangunkan potensi calon nobel laureate ini," katanya pada Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live KPT, semalam. Datuk Seri Dr. Noraini berkata, bagi fokus strategik kelima iaitu mempersada kecemerlangan institusi, beliau menyarankan agar satu naratif baharu diberikan kepada business model syarikat induk Universiti Awam (UA) serta memastikan mereka memainkan peranan sebagaimana GLC lain. Universiti sebagai badan berkanun yang diberikan kuasa untuk menubuhkan anak syarikat dan membuat pelaburan haruslah mewujudkan kaedah pemantauan yang efektif terhadap pengurusan pelaburan, penubuhan syarikat induk dan anak syarikat serta pinjaman yang bakal dibuat oleh universiti awam. 

Di samping itu, menurutnya, cadangan agar lebih banyak universiti awam diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dan RU sedia ada menjadi mentor kepada universiti-universiti yang dikenal pasti melalui program Rakan RU. Katanya, bagi meneruskan keunggulan KPT, AKEPT sebagai pakar dalam pembangunan kepimpinan bakat pendidikan tinggi juga perlu lebih kreatif untuk mempromosikan kepakaran yang dimiliki sehingga diakui di peringkat antarabangsa termasuk MQA untuk mengetengahkan program Accreditation of Prior Experiental Learning (APEL) sehingga melangkaui sempadan negara. "Akhir sekali di bawah fokus strategik keenam, bagi menyemarakkan semangat #KPTPrihatin, KPT telah mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal pelajar luar kampus dengan kerjasama semua UA dan Majlis Perumahan Universiti Malaysia. Langkah proaktif telah diambil dengan membangunkan Portal Rumah Siswa yang bakal menyediakan platform menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa. 

"Selain itu, usaha memperkasakan fungsi kad matrik pelajar menerusi inisiatif Kad Prihatin Siswa yang berfungsi sebagai kad debit dan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti e-wallet dan transaksi tanpa tunai juga sedang giat dilaksanakan serta pelancaran Tabung Prihatin Siswa oleh Yayasan Sukarelawan Siswa yang merupakan satu lagi contoh inisiatif di bawah fokus strategik ini. "Dengan keenam-enam fokus strategik tersebut, saya percaya kita akan dapat mendepani cabaran tahun 2021 ini dan menjadi penggerak kepada modal insan yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan masa hadapan Malaysia, malah bagi memastikan kesemua enam fokus strategik ini dapat dilaksanakan, saya ingin menerapkan nilai organisasi yang diringkaskan sebagai 5S iaitu Speed, Synergy, Solidarity, Strategic dan Standard," katanya yang turut mengimbau pencapaian KPT sepanjang 2020. Beliau turut berkongsi cabaran yang bakal didepani pada tahun ini iaitu menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, isu kebolehpasaran graduan dalam kalangan siswazah dan cabaran mengekalkan kelestarian pengoperasian universiti. 

Pada majlis sama, Datuk Seri Dr. Noraini telah menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang, penyampaian sijil penghargaan kepada Rakan RU, penyampaian cenderamata berupa wakaf Al-Quran kepada 20 Naib Canselor termasuk Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani serta penyampaian penghargaan kepada 'frontliners' dan rakan strategik KPT. Naib Canselor berterima kasih di atas pemberian wakaf Al-Quran tersebut yang perlu digunakan sebagai panduan hidup seperti mana yang terdapat dalam Surah al-Jaatsiyah, ayat 20 yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.” 

Sumber: UUMONLINE 
ahlulwulus@2021

No comments: