04 January 2021

AMANAT NAIB CANSELOR 2021 - MEMACU KECERMELANGAN UUM

Tahun 2021 dibuka dengan lembaran baru setelah kita melalui pelbagai cabaran dengan isu-isu yang melanda dunia iaitu pandemik Covid-19 sehingga ia memberi impak besar kepada semua dalam pelbagai aspek termasuk sistem pendidikan negara. Memasuki tahun baharu ini juga, warga Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar tidak menjadi jaguh kampung yang hanya gah berkata-kata di dalam kampus sahaja, sebaliknya melaksanakan sesuatu tugas secara satu pasukan yang hebat dan bersatu untuk memastikan agenda universiti menjadi kenyataan. Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, apa yang dikecapi universiti sekarang adalah hasil usaha bersama, bukan usaha Naib Canselor seorang. Ini adalah kejayaan bersama. Menurutnya, sebagai satu pasukan juga perlu menghargai kepelbagaian dan menggalakkan perpaduan antara warga kampus meskipun berbeza pandangan, idea dan cadangan.


"Kita perlu terus yakin dan bersedia untuk membantu UUM dalam pelbagai aspek seperti menjayakan agenda universiti antaranya ranking dan rating, namun masih tidak mengetepikan agenda kemasyarakatan dengan memastikan mereka mendapat manfaat bersama serta membantu universiti meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan yang dilihat kini semakin mendapat perhatian industri.

"Selain itu, saya juga berharap semua pusat tanggungjawab (PTJ) dapat membantu universiti dalam penjanaan pendapatan. Kita perlu sama-sama berfikir untuk bergerak sebagai sebuah sektor korporat sekarang," katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor dan Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat Utama 2021 di EDC Hotels & Resorts, semalam.

Dalam amanat beliau turut menyentuh tentang pencapaian Pelan Strategik Fasa 2 (2016-2020) yang telah berakhir pada tahun lalu dan kini memasuki Pelan Strategik Fasa 3 (2021-2025) dengan enam teras yang akan memfokuskan tiga agenda iaitu UUM Branding, Quality Alumni dan Management Reference Centre berlandaskan 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Menurutnya, beliau berharap semua penjawat dapat bersama-sama memastikan 25 KPI tersebut dapat dicapai demi memacu kecemerlangan UUM. Di samping itu, katanya, menjelang 2025, beliau berharap UUM akan berjaya mencapai kejayaan dalam lonjakan ranking di QS World University Rankings (QSWUR), Times Higher Education (THE) World University Rankings dan UI GreenMetric.

"Saya juga mahu OYAGSB berjaya menjadi Top Business School setelah berjaya memperolehi AACSB dan AMBA, seterusnya memperolehi EQUIS, menjadikan UUM Kampus Kuala Lumpur sebagai Crown Jewel UUM serta merealisasikan hasrat Tuanku Canselor mewujudkan Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM)," katanya.

Pada majlis sama, Naib Canselor telah menyampaikan watikah pelantikan penjawat utama universiti kepada 67 penerima melibatkan Ketua Pusat Tanggungjawab, Dekan dan juga Pengetua Inapan Siswa (INASIS), diikuti sesi pemakaian pangkat pegawai staf Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan bacaan ikrar yang diketuai Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal Rajemi. Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir berkata, jawatan tersebut merupakan satu amanah yang diberikan universiti dan semua pemegang taruh (stakeholder). Menurutnya, ia bukan satu kelebihan tetapi amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul dengan penuh integriti demi masa hadapan UUM. Naib Canselor turut melancarkan buku Pelan Strategik Fasa 3 (2021-2025) oleh Pusat Pengurusan Kualiti (IPQ), MyPortfolio (Jabatan Pendaftar) dan UUM Connected Campus (UUMIT).

Sumber: UUMONLINE
ahlulwulus@2021

No comments: