17 February 2022

MAJLIS APRESIASI SOC 2021

Majlis apresiasi (penghargaan) SOC 2021 telah diadakan pada 17 Februari 2022 bertempat di Hotel EDC, UUM. Majlis ini diadakan untuk menghargai pelbagai kejayaan staf SOC sepanjang 2021 dan penyerahan tugas daripada mantan dekan kepada dekan baru dilantik mulai tahun 2022 iaitu Prof Madya Dr. Azham Hussein. Di majlis ini juga saya dihargai melalui anugerah prestasi cemerlang, staf setia berkhidmat dan budi dikenang. Tiada apa yang perlu dibanggakan dengan anugerah ini, selain dari bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberi kesempatan untuk berkhidmat dengan UUM, dan khusus SOC hingga ke hari ini. Pelbagai kenangan indah dan muram pernah dilalui sepanjang 30 tahun berkhidmat di sini. Semoga waktu yang ada dan diizinkan akan terus memberi kekuatan untuk terus berkhidmat dengan baik sehinggalah bersara pada September 2023.


Gambar mantan dekan Prof Dr. Huda Hj Ibrahim bersama dengan 
dekan baru tahun 2022 PM Dr. Azham Hussein.
 

Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) merupakan antara pusat pengajian terbaik di UUM yang berjaya mencapai dan mengekalkan petunjuk prestasi utama (KPI) tertinggi untuk tempoh beberapa tahun ini. Sehubungan itu, sebagai penghargaan di atas sumbangan dan meraikan kecemerlangan warga SOC, seramai 70 staf akademik dan pentadbiran telah diraikan pada Majlis Apresiasi SOC 2021 dan Penyerahan Tugas Penjawat SOC di Dewan Seri Angsana, EDC-UUM, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan tugas mantan Dekan SOC, Prof. Dr. Huda Ibrahim kepada Prof. Madya Ts. Dr. Azham Hussain, diikuti oleh Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan dan Penyelaras-penyelaras Program dengan disaksikan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Madya Dr. Mazni Omar. Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Azham berkata, bagi mengekalkan pencapaian yang dikecapi SOC pada hari ini, semua staf perlu bekerjasama  dan memberikan sokongan padu untuk terus meningkatkan prestasi cemerlang SOC sebagai salah satu pusat pengajian terbaik bagi tahun ini. 


“Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih juga kepada mantan penjawat SOC 2021 yang telah berusaha dan Berjaya menempa pelbagai kejayaan sepanjang tahun lalu di bawah teraju Prof. Dr. Huda. “Saya berharap agar kerjasama erat antara warga SOC dapat diteruskan dan bersama-sama meningkatkan produktiviti masing-masing untuk mengekalkan kejayaan ini,” katanya. Majlis turut meraikan warga SOC dengan penyampaian anugerah kepada staf yang telah memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang 2021.

Sebanyak 38 anugerah telah disampaikan antaranya Anugerah Budi Dikenang, Anugerah Jawatankuasa Jaringan Industri & Komuniti, Anugerah Setia Berkhidmat, Anugerah Ikon Popular (Wanita), Anugerah Ikon Popular (Lelaki), Anugerah Keterampilan, Anugerah Staf Sokongan Terbaik, Anugerah e-Portfolio Terbaik, Penglibatan Masyarakat dan Industri Terbaik, Pendaftaran Harta Intelek (PATEN), Anugerah Pengajaran Terbaik, Anugerah Pereka cipta, Anugerah Penulis (h-index tertinggi), Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Penyelidik Terbaik dan Anugerah ProAKTIF.

Semoga SOC terus berjaya cemerlang dan gemilang.

Blogger: ahlulwulus@2022

No comments: