08 January 1991

BERMULA PEKERJAAN SEBAGAI JURUANALISA SISTEM DI UUM

Selepas majlis perkahwinan pada 30 dan 31 Disember 1990, aku melaporkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai Juruanalisa Sistem (System Analyst) dengan gred F41, pada 8 Januari 1991 (Selasa). Pekerjaan ini aku perolehi selepas berjaya dalam temuduga yang telah diadakan di UUM Tanah Merah. Temuduga dijalankan oleh Pengarah Pusat Komputer Dr Islahuddin Baba dan beberapa orang pegawai kanan UUM. Terpaksa meninggalkan isteri yang baru berkahwin buat sementara waktu, sementara mencari tempat tinggal yang sesuai di kawasan yang berhampiran dengan UUM Sintok. Akhirnya dapatlah rumah sewa di Changloon, yang jaraknya kira-kira 8 kilometer dari UUM Sintok. Maka bermulalah episod perjuangan baru yang jauh kampung dan keluarga di Kampung Gajah dan Teluk Intan. 

UUM yang baru memulakan melaksanakan program pengajian pelajar di peringkat sarjana muda dan sarjana di kampus Sintok, memerlukan sokongan sistem komputer yang cekap dan mampu menyokong pelaksanaan tugas pengurusan UUM yang semakin berat. Maka kemasukkan staf baru seperti aku diharap dapat membantu pihak pengurusan Pusat Komputer merancang dan seterusnya melaksanakan program pengkomputeran untuk keperluan warga kampus khususnya, dan kementerian pengajian tinggi amnya. Aku telah bersedia untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Insya Allah.
 
Blogger: ahlulwulus@1991

31 December 1990

PERKAHWINAN AZMAN DAN ROS ADIZAH

Perkahwinan aku dan Ros Adizah Abu Bakar telah diadakan pada 30 dan 31 Disember 1990 di rumah kedua-duanya dengan suasana sederhana dan meriah. Selepas acara akan nikah yang diadakan pada 28 Disember 1990 di Masjid Kg. Bahagia, majlis kenduri dikedua-dua belah pihak telah diadakan mengikut adat orang kampung. Ramai tetamu yang hadir, termasuk rakan-rakan aku dan Ros yang bekerja di Felcra Seberang Perak dan SABHA Holding Sendirian Berhad. Bunyi rebana yang dibawa khas dari Selat Pulau telah begema mengiringi pengantin di rumah kedua-dua mempelai. 



Sanak saudara semuanya memberi sokongan dan bantuan dalam menjayakan majlis walimah yang diadakan. Bagi pihak Ros Adizah, ini adalah majlis perkahwinan yang pertama dalam keluarga mereka, manakala bagi keluarga aku ini adalah majlis yang ke-3, setelah Nyah dan Yong berkahwin beberapa tahun yang lalu. Majlis yang sederhana meriah ini telah memberi aku suatu pengalaman dan kenangan indah yang akan dikenang hingga ke akhir hayat. Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat. Aamiin.
 
Blogger: ahlulwulus@1990.