Hari ini saya telah dilantik sebagai pensyarah gred DS41, di mana temuduga telah diadakan pada 18 April 2001. Saya ditempatkan di Sekolah Teknologi Maklumat (STM), dan bermulalah tugas baru sebagai pensyarah. Maka tinggallah tugas sebagai juruanalisa sistem (PSM) dan Pusat Komputer. Diharap pengalaman di Pusat Komputer akan dapat membantu tugas sebagai pensyarah dalam menyampaikan kuliah dan tugasan kepada pelajar.
25 April 2001
BERTUKAR PROFESION MENJADI PENSYARAH
17 August 1999
NAIK PANGKAT DARI PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT (GRED F3) KE KETUA PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT (GRED F2)
Hari ini saya dinaikkan pangkat dari pegawai sistem maklumat (PSM) kepada ketua pegawai sistem maklumat (KPSM). Kenaikan ini memberi penghargaan kepada saya yang telah berkhidmat sebagai PSM selama 8 tahun. Sebagai KPSM, saya diberi tanggungjawab untuk mengetuai unit pembangunan dan penyelenggaraan sistem aplikasi UUM. Unit ini bertanggungjawab membangun dan menyelenggara semua sistem aplikasi UUM, samada ianya dibangun secara "in-house" atau oleh pihak pembekal. Beberapa sistem yang telah dan sedang dibangunkan adalah seperti berikut:
- Sistem Rekod Pelajar Under Graduate (ASIS)
- Sistem Aktiviti Pelajar (SAIS)
- Sistem Rekod Pelajar Post Graduate (GAIS)
- Sistem Kewangan dan Perakaunan (IFAS)
- Sistem Personel (PERSIS)
- Sistem Perpustakaan (SISPUKOM)
Walau bagaimanapun, cabaran paling besar yang perlu dibuat adalah pelaksanaan peningkatan (migration) sistem aplikasi yang telah dibangunkan di platform Ingres (menggunakan teknologi 4GL programming) kepada platform Sybase/PowerBuilder (menggunakan teknologi object-relational programming). Usaha ini menjadi cabaran utama saya setelah menjadi KPSM.
02 February 1992
MAJLIS NAIK BUAI MUHAMMAD AL-AMIN
Majlis naik buai anak pertama pada 27 Februari 1992, kira-kira setahun selepas berkahwin pada 28 Disember 1990. Majlis ini diadakan di rumah ayahanda Taa Lebai Talib di Bukit Chawi. Tradisi orang kampung meraikan kehadiran orang baru dalam sesebuah keluarga dibuat melalui acara akikah atau kenduri naik buai seperti ini. Jemputan biasanya dihadiri oleh Tok Imam masjid dan majlis dimulakan dengan tahlil doa selamat dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sambil berdiri dan memberi sedekah kepada bayi yang diraikan. Semua urusan kenduri diuruskan oleh emak dan ayah, dan semua berjalan lancar dan meriah. Semoga Muhammad Al-Amin menjadi anak yang soleh dan sentiasa berbakti kepada ayah dan ibunya.
08 January 1991
BERMULA PEKERJAAN SEBAGAI JURUANALISA SISTEM DI UUM
Selepas majlis perkahwinan pada 30 dan 31 Disember 1990, aku melaporkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai Juruanalisa Sistem (System Analyst) dengan gred F41, pada 8 Januari 1991 (Selasa). Pekerjaan ini aku perolehi selepas berjaya dalam temuduga yang telah diadakan di UUM Tanah Merah. Temuduga dijalankan oleh Pengarah Pusat Komputer Dr Islahuddin Baba dan beberapa orang pegawai kanan UUM. Terpaksa meninggalkan isteri yang baru berkahwin buat sementara waktu, sementara mencari tempat tinggal yang sesuai di kawasan yang berhampiran dengan UUM Sintok. Akhirnya dapatlah rumah sewa di Changloon, yang jaraknya kira-kira 8 kilometer dari UUM Sintok. Maka bermulalah episod perjuangan baru yang jauh kampung dan keluarga di Kampung Gajah dan Teluk Intan.
UUM yang baru memulakan melaksanakan program pengajian pelajar di peringkat sarjana muda dan sarjana di kampus Sintok, memerlukan sokongan sistem komputer yang cekap dan mampu menyokong pelaksanaan tugas pengurusan UUM yang semakin berat. Maka kemasukkan staf baru seperti aku diharap dapat membantu pihak pengurusan Pusat Komputer merancang dan seterusnya melaksanakan program pengkomputeran untuk keperluan warga kampus khususnya, dan kementerian pengajian tinggi amnya. Aku telah bersedia untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Insya Allah.
31 December 1990
PERKAHWINAN AZMAN DAN ROS ADIZAH
Perkahwinan aku dan Ros Adizah Abu Bakar telah diadakan pada 30 dan 31 Disember 1990 di rumah kedua-duanya dengan suasana sederhana dan meriah. Selepas acara akan nikah yang diadakan pada 28 Disember 1990 di Masjid Kg. Bahagia, majlis kenduri dikedua-dua belah pihak telah diadakan mengikut adat orang kampung. Ramai tetamu yang hadir, termasuk rakan-rakan aku dan Ros yang bekerja di Felcra Seberang Perak dan SABHA Holding Sendirian Berhad. Bunyi rebana yang dibawa khas dari Selat Pulau telah begema mengiringi pengantin di rumah kedua-dua mempelai.
Sanak saudara semuanya memberi sokongan dan bantuan dalam menjayakan majlis walimah yang diadakan. Bagi pihak Ros Adizah, ini adalah majlis perkahwinan yang pertama dalam keluarga mereka, manakala bagi keluarga aku ini adalah majlis yang ke-3, setelah Nyah dan Yong berkahwin beberapa tahun yang lalu. Majlis yang sederhana meriah ini telah memberi aku suatu pengalaman dan kenangan indah yang akan dikenang hingga ke akhir hayat. Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat. Aamiin.
Subscribe to:
Posts (Atom)