29 February 2008

PILIHANRAYA KE-12 - 2008

Piliharaya ke-12 telah datang dan bersedia untuk dijalankan dalam suasana politik negara yang pelbagai. Seperti pilihanraya umum yang lepas, pelbagai parti dengan misi dan manisfesto masing-masing berusaha untuk memenangi hati rakyat malaysia agar memilih mereka untuk memerintah kerajaan Malaysia atau negeri untuk 4-5 tahun yang akan datang. Tarikh pilihanraya umum ke-12 ini telah ditetapkan pada 8 Mac 2008 dengan tempoh berkempen selama 13 hari.

Bagi kita rakyat Malaysia yang merdeka ... apakah pilihan kita kali ini? Kerajaan yang macam mana akan menjadi pilihan kita? Sebagai warganegara yang telah melepasi era penjajahan, sudah pastilah keputusan yang dibuat bebas daripada unsur-unsur penjajahan rohani dan jasmani. Kerajaan yang akan membawa kesejahteraan kepada rakyat serta memastikan kelangsungan negara ke mercu kejayaan pasti akan menjadi. Di samping itu, nilai-nilai murni dan rakyat yang bertanggungjawab perlulah menjadi agenda penting kerajaan bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat keredhaan (mardatillah) Allah swt.

ahlulwulus@2008

21 August 2007

SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-50

Sambutan hari kemerdekaan setiap tahun memberi ingatan tentang betapa bertuahnya kita dapat hidup di Negara yang aman dan makmur serta bekerja di sebuah universiti yang terkenal dan amat disegani. Dengan adanya kemerdekaan ini, kita mampu untuk membina Negara dan melakar kejayaan demi kejayaan demi bangsa dan Negara yang tercinta.

Walaupun begitu, bukan mudah untuk kita meraih kejayaan seperti sekarang. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi dan ditangani. Dari masalah ekonomi dan sosial di peringkat Negara hinggalah global dapat kita atasinya dengan bijaksana dan berkesan. Pimpinan Negara yang bijak dan berwawasan telah berjaya memupuk semangat jati diri rakyat yang mantap serta kejayaan Negara mengikut acuan sendiri yang diwarisi dari perjuangan kemerdekaan dahulu. Walaupun ada segelintir rakyat hanyut dengan keseronokan kemodenan negara hingga sanggup mengadai nilai-nilai murni yang dipegang sekian lama, namun perjuangan tetap diteruskan. Tiada apa yang dapat menggagalkan hasrat murni seluruh rakyat untuk memastikan bangsa dan negara akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Negara harus mengambil iktibar daripada semangat kemerdekaan dengan sama-sama terlibat dengan aktiviti kemerdekaan yang tidak melanggar adat dan tatasusila bangsa dan agama agar natijah daripada sambutan tersebut akan terus tersemat dan seterusnya mampu membentuk semangat jati diri yang sebenar bagi menjamin sebuah Negara Malaysia yang maju dan berjaya.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan !!!

MERDEKA !!! MERDEKA !!! MERDEKA !!!

25 April 2001

BERTUKAR PROFESION MENJADI PENSYARAH

Hari ini saya telah dilantik sebagai pensyarah gred DS41, di mana temuduga telah diadakan pada 18 April 2001. Saya ditempatkan di Sekolah Teknologi Maklumat (STM), dan bermulalah tugas baru sebagai pensyarah. Maka tinggallah tugas sebagai juruanalisa sistem (PSM) dan Pusat Komputer. Diharap pengalaman di Pusat Komputer akan dapat membantu tugas sebagai pensyarah dalam menyampaikan kuliah dan tugasan kepada pelajar.

Blogger: ahlulwulus@2001

17 August 1999

NAIK PANGKAT DARI PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT (GRED F3) KE KETUA PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT (GRED F2)

Hari ini saya dinaikkan pangkat dari pegawai sistem maklumat (PSM) kepada ketua pegawai sistem maklumat (KPSM). Kenaikan ini memberi penghargaan kepada saya yang telah berkhidmat sebagai PSM selama 8 tahun. Sebagai KPSM, saya diberi tanggungjawab untuk mengetuai unit pembangunan dan penyelenggaraan sistem aplikasi UUM. Unit ini bertanggungjawab membangun dan menyelenggara semua sistem aplikasi UUM, samada ianya dibangun secara "in-house" atau oleh pihak pembekal. Beberapa sistem yang telah dan sedang dibangunkan adalah seperti berikut:

  1. Sistem Rekod Pelajar Under Graduate (ASIS)
  2. Sistem Aktiviti Pelajar (SAIS)
  3. Sistem Rekod Pelajar Post Graduate (GAIS)
  4. Sistem Kewangan dan Perakaunan (IFAS)
  5. Sistem Personel (PERSIS)
  6. Sistem Perpustakaan (SISPUKOM)

Walau bagaimanapun, cabaran paling besar yang perlu dibuat adalah pelaksanaan peningkatan (migration) sistem aplikasi yang telah dibangunkan di platform Ingres (menggunakan teknologi 4GL programming) kepada platform Sybase/PowerBuilder (menggunakan teknologi object-relational programming). Usaha ini menjadi cabaran utama saya setelah menjadi KPSM.

Blogger: ahlulwulus@1999

02 February 1992

MAJLIS NAIK BUAI MUHAMMAD AL-AMIN


Majlis naik buai anak pertama pada 27 Februari 1992, kira-kira setahun selepas berkahwin pada 28 Disember 1990. Majlis ini diadakan di rumah ayahanda Taa Lebai Talib di Bukit Chawi. Tradisi orang kampung meraikan kehadiran orang baru dalam sesebuah keluarga dibuat melalui acara akikah atau kenduri naik buai seperti ini. Jemputan biasanya dihadiri oleh Tok Imam masjid dan majlis dimulakan dengan tahlil doa selamat dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sambil berdiri dan memberi sedekah kepada bayi yang diraikan. Semua urusan kenduri diuruskan oleh emak dan ayah, dan semua berjalan lancar dan meriah. Semoga Muhammad Al-Amin menjadi anak yang soleh dan sentiasa berbakti kepada ayah dan ibunya.

Blogger: ahlulwulus@1992

08 January 1991

BERMULA PEKERJAAN SEBAGAI JURUANALISA SISTEM DI UUM

Selepas majlis perkahwinan pada 30 dan 31 Disember 1990, aku melaporkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai Juruanalisa Sistem (System Analyst) dengan gred F41, pada 8 Januari 1991 (Selasa). Pekerjaan ini aku perolehi selepas berjaya dalam temuduga yang telah diadakan di UUM Tanah Merah. Temuduga dijalankan oleh Pengarah Pusat Komputer Dr Islahuddin Baba dan beberapa orang pegawai kanan UUM. Terpaksa meninggalkan isteri yang baru berkahwin buat sementara waktu, sementara mencari tempat tinggal yang sesuai di kawasan yang berhampiran dengan UUM Sintok. Akhirnya dapatlah rumah sewa di Changloon, yang jaraknya kira-kira 8 kilometer dari UUM Sintok. Maka bermulalah episod perjuangan baru yang jauh kampung dan keluarga di Kampung Gajah dan Teluk Intan. 

UUM yang baru memulakan melaksanakan program pengajian pelajar di peringkat sarjana muda dan sarjana di kampus Sintok, memerlukan sokongan sistem komputer yang cekap dan mampu menyokong pelaksanaan tugas pengurusan UUM yang semakin berat. Maka kemasukkan staf baru seperti aku diharap dapat membantu pihak pengurusan Pusat Komputer merancang dan seterusnya melaksanakan program pengkomputeran untuk keperluan warga kampus khususnya, dan kementerian pengajian tinggi amnya. Aku telah bersedia untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Insya Allah.
 
Blogger: ahlulwulus@1991

31 December 1990

PERKAHWINAN AZMAN DAN ROS ADIZAH

Perkahwinan aku dan Ros Adizah Abu Bakar telah diadakan pada 30 dan 31 Disember 1990 di rumah kedua-duanya dengan suasana sederhana dan meriah. Selepas acara akan nikah yang diadakan pada 28 Disember 1990 di Masjid Kg. Bahagia, majlis kenduri dikedua-dua belah pihak telah diadakan mengikut adat orang kampung. Ramai tetamu yang hadir, termasuk rakan-rakan aku dan Ros yang bekerja di Felcra Seberang Perak dan SABHA Holding Sendirian Berhad. Bunyi rebana yang dibawa khas dari Selat Pulau telah begema mengiringi pengantin di rumah kedua-dua mempelai. 



Sanak saudara semuanya memberi sokongan dan bantuan dalam menjayakan majlis walimah yang diadakan. Bagi pihak Ros Adizah, ini adalah majlis perkahwinan yang pertama dalam keluarga mereka, manakala bagi keluarga aku ini adalah majlis yang ke-3, setelah Nyah dan Yong berkahwin beberapa tahun yang lalu. Majlis yang sederhana meriah ini telah memberi aku suatu pengalaman dan kenangan indah yang akan dikenang hingga ke akhir hayat. Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat. Aamiin.
 
Blogger: ahlulwulus@1990.