Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

19 August 2016

APLIKASI WHATSAPP – CARA BERKOMUNIKASI ALAF BARU

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah merubah kaedah komunikasi kepada yang lebih inovatif dan informatif. Penggabungan teknologi komunikasi dan sistem maklumat telah mewujudkan senergi mantap dalam kepelbagaian kaedah komunikasi melalui komputer, tablet, telefon bimbit, telefon pintar dan sebagainya. Kesediaan talian internet dan rangkaian jalur lebar telah membolehkan kaedah komunikasi media sosial yang baru diperkenalkan. Terdapat banyak aplikasi media sosial yang disediakan secara berbayar atau ia diberi secara percuma seperti disenaraikan di Jadual 1.

Jadual 1: Senarai Aplikasi Media Sosial
Whatsapp Messenger adalah salah satu daripada beberapa aplikasi baru yang dibangunkan sebagai alternatif kepada penggunaan SMS (short message service) melalui penggunaan telefon pintar yang berasaskan sistem operasi Android, BlackBerry OS, BlackBerry 10, iOS, Series 40, Symbian (S60), dan Windows.

Di zaman moden ini, telefon pintar telah menjadi gajet penting dalam kehidupan seseorang sehingga dirasakan seperti “katak di bawah tempurung” jika tidak memilikinya. Hal ini telah mengubah gaya berkomunikasi seeorang daripada hanya menghantar teks hinggalah kepada penghantaran suara dan video. Mengikut Ericsson, pada tahun 2009 sebanyak 150 petabait/bulan data suara direkod dan telah meningkat kepada 1800 petabait/bulan pada 2012 apabila pengguna media sosial kian berkembang. Peningkatan ini diramalkan akan berkembang sebanyak 45% menjelang tahun 2019 (Sumber: The Malaysian Insider). Penggunaan Aplikasi lain yang menjadi saingan whatsapp adalah seperti Line, KakaoTalk, WeChat, Telegram dan sebagainya. Mengikut pasaran saham semasa, sistem operasi Android masih mengatasi yang lain seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2.

Jadual 2: Pasaran Saham Semasa Sistem Operasi Mobile
Whatsapp Messenger merupakan aplikasi penghantaran mesej yang bukan hanya mampu menghantar mesej berbentuk teks, malah mesej tersebut boleh berbentuk imej, gambar, video, audio, dan peta. Hal ini lah yang menyebabkan ianya cepat popular berbanding dengan kaedah konvensional penghantaran mesej yang berasaskan teks semata-mata. Pada masa ini, Whatsapp Messenger telah mengendalikan lebih 27  bilion mesej sehari dengan peningkatan sebanyak 18 bilion mesej pada akhir 2012. Jika dibandingkan dengan lain-lain aplikasi penghantaran mesej, Whatsapp Messenger didapati mempunyai lebih ramai pengguna berdaftar dan lebih banyak mengendalikan penghantaran mesej sehari. Hal ini dapat ditunjukkan seperti dalam Jadual 3.

Jadual 3: Jumlah Pengguna dan Pengendalian Mesej
Penggunaan aplikasi penghantaran mesej segera ini telah merubah gaya berkomunikasi masyarakat masa kini. Berbanding dengan cara konvensional yang hanya menggunakan teks, melalui aplikasi ini berbagai bentuk mesej boleh dihantar dan dikongsi bersama rakan perseorangan ataupun berkumpulan. Mesej tidak hanya terhad kepada teks semata-mata, malah mesej yang berbentuk audio, video, gambar, peta dan sebagainya boleh dihantar dengan mudah. Kesediaan talian internet yang bersaiz besar sehingga 4 Gigabait untuk penggunaan individu telah membantu penggunaan aplikasi ini berkembang dengan cepat dan luas. Perkembangan ini telah memberikan alternatif baru kepada aplikasi laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang telahpun menjadi fenomena sebelum ini.

Tujuan aplikasi penghantaran mesej segera ini adalah untuk memudah dan mempelbagaikan mod penghantaran maklumat dengan cara yang lebih dan pantas melalui pelbagai peranti seperti telefon bimbit dan tablet. Aplikasi ini telah di bangunkan oleh bekas ketua eksekutif Yahoo yang beribu pejabat di Santa Clara, California iaitu  Brian Acton dan Jan Koum. Berasaskan kepada pengalaman membangunkan Yahoo selama hampir 20 tahun, mereka telah membangunkan aplikasi Whatsapp dengan melengkapkan ciri-ciri aplikasi penghantaran mesej segera yang lebih baik berbanding dengan aplikasi-aplikasi yang lain. Hal ini telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam perkongsian maklumat di alam maya. Fenomena yang telah mencetuskan pelbagai implikasi baik dan tidak baik kepada masyarakat.

Manfaat yang baik daripada penggunaan Whatsapp ini tidak perlu dipertikaikan. Selain boleh menyalurkan maklumat dengan lebih cepat dan pantas, ia juga menjadi alat merapatkan hubungan silaturahim sesama keluarga, teman, rakan sekerja, sahabat handai, komuniti, parti politik dan sebagainya. Malah lebih daripada itu, ia digunakan untuk merancang dan melaksanakan suatu program samada yang berbentuk kemasyarakatan, pendidikan dan Negara. Pihak pengurusan di peringkat jabatan, negeri kementerian dan Negara telahpun menggunakan kemudahan ini untuk membincangkan sesuatu itu tanpa memerlukan mesyuarat formal yang sudah pasti memerlukan masa dan tenaga. Pelbagai isu dan masalah dapat dibincangkan secara tertutup bersama dengan ahli yang terlibat dan keputusannya dapat diperolehi dengan cepat dan berkesan. Kemesraan sesama keluarga dan rakan taulan dapat ditingkatkan melalui “chatting” pada bila-bila masa yang sesuai. Secara tidak langsung perkara ini telah meningkatkan nilai-nilai kekeluargaan, kemasyarakatan dan jati diri kepada rakyat.

Walaupun begitu, tidak dinafikan ada kesan yang tidak baik dari penggunaan Whatsapp yang tidak berpandukan kepada nilai-nilai murni sejagat, khususnya nilai-nilai yang berasaskan ajaran agama. Di peringkat Negara, hal ini mungkin menyebabkan Negara tersebut mengharamkan penggunaan aplikasi ini atas sebab politik dan keselamatan seperti yang dilakukan oleh Iran (sumber: Business Insider). Selain itu, ketaksuban menggunakan Whatsapp sehingga mencetuskan ketegangan hubungan di antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, rakan dan rakan sekerja, pekerja dan majikan, rakyat dan pihak berkuasa dan sebagainya telah memberikan impak yang negatif kepada teknologi ini. Ekoran daripada ketegangan ini berlakulah perkara yang tidak diingini seperti isteri dipukul suami, anak memukul ibu, majikan memarahi pekerja dan sebagainya akibat daripada komunikasi yang tidak sepatutnya berlaku di dalam Whatsapp. Seperkara yang mungkin tidak dapat dielakkan adalah kebocoran maklumat dan penyalah tafsiran terhadap maklumat yang dibincangkan telah mencetuskan suasana yang tidak tenteram di dalam keluarga, persahabatan, komuniti, parti politik dan Negara amnya.

Umumnya, segala bentuk teknologi yang memberi manfaat kepada manusia sejagat akan ada kesan yang tidak baik masyarakat jika tidak diaplikasikan dengan kaedah yang betul. Ia umpama senjata yang bertujuan untuk mempertahan diri, dan bukannya digunakan sewenang-wenangnya membunuh manusia yang tidak berdosa. Samalah halnya dengan teknologi Whatsapp ini, perlulah digunakan dengan bijak serta sentiasa berpandukan kepada norma-norma hidup yang baik serta ajaran agama. Sudah tentulah matlamat untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berpengetahuan dan berinovasi tinggi mampu dilahirkan dengan sokongan teknologi seperti ini dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar.

ahlulwulus@2016

30 August 2012

PENGAJIAN PHD TAMAT

Perjalanan PhD aku sudah sampai ke penghujungnya sejak ia bermula pada Januari 2007. Alhamdulillah, pemeriksaan akhir tesis (viva) telahpun diadakan dengan jayanya (at least to myself) pada 21 Jun 2012 dan selesai kerja-kerja pembetulan tesis (correction) pada 16 Ogos 2012. Bolehlah dikira tempoh masa pengajian PhDku adalah lebih kurang 4 Tahun 8 Bulan. Terima kasih diucapkan kepada pihak yang secara langsung atau tidak langsung membantu pengajian PhDku, terutama kepada penyelia Prof Dr. Norita Norwawi dan PM Dr. Mohd Syazwan Abdullah (Arwah) yang telah banyak membantu melancarkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada keluarga, terutama kepada isteri yang tersayang Ros Adizah Abu Bakar yang sama-sama berkongsi emosi dan rasa dalam banyak perkara yang berkaitan dengan pengajian ini. Banyak yang boleh aku ceritakan tentang pengalaman pengajiaan yang panjang ini, namun biarlah ia menjadi nolstagia dan berharap ilmu dan pengalaman ini dapat membantu rakan-rakan yang ingin dan sedang berjuang dalam pengajian PhD ini. Ringkasnya, pengajian PhD adalah sebuah kecintaan kepada ilmu pengetahuan seperti yang pernah dicatat oleh seorang penulis di sebuah akhbar arus perdana seperti berikut:


"The PhD is essentially a labour of love. You must be passionate about the field you will be delving into for the next few years of your life. Without real passion for your subject, it will be hard for you to keep going when deadlines loom and experiments fail. You should also have sufficient academic and intelectual capability - intelligence, creativity, curiosity, adaptability, - that is necessary to keep pace with your peers and supervisors. You should also have the confidence, work ethic, disciple, focus, competitiveness, and maturity to devote yourself fully to the pursuit and expansion of knowledge. The environment of the PhD is unlike that at undergraduate or Master's level. There is little structure, supervision or assistance, and you fully shoulder the responsibility of setting your own goals" - Petikan dari sebuah surat khabar arus perdana. 

ahlulwulus@Ogo2012

06 May 2010

TAZKIRAH - AMALAN BAIK


Saya amat berharap kita semua dapat melakukan amalan-amalan bukan sahaja untuk kemurahan rezeki tetapi yang lebih penting ialah sebagai suatu bukti pengabdiaan kita sebagai hamba Allah yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT Tuhan semesta alam. Diantara amalan tersebut diantaranya ialah :

1. Menyempatkan diri beribadah kepada Allah SWT
Allah tidak akan sia-siakan pengabdiaan diri hamba-Nya seperti firmannya dalan hadis qudsi: " Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutup kefakiranmu" ( Riwayat Ahmad,Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari Abu Hurairah r.a )

2. Memperbanyak Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hambanya lalu dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba tersebut. Sabda Nabi SAW : " Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya,menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka" ( Riwayat Ahmad,Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah dan Al Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a )

3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi SAW : " .....dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." ( Riwayat At- Tirmizi ).

27 August 2008

KEPERLUAN MAKLUMAT YANG SOFISTIKATED

Keperluan terhadap maklumat bukan lagi isu remeh dalam pengurusan sesebuah organisasi. Ianya menjadi agenda penting dalam menentukan kelangsungan aktiviti syarikat, malah membantu organisasi bersaing dengan organisasi yang lain dalam menghadapi cabaran di dunia global. Oleh itu, pengurusan maklumat bukan lagi dilihat sekadar melancarkan perjalanan tugas rutin, malah ia amat penting dalam membantu menentukan hala tuju serta cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh organisasi. Tidak hairan jika maklumat kini telah dianggap suatu komoditi yang perlu beri pelaburan yang besar bagi memastikan manafaat kepada organisasi.

Perkembangan teknologi maklumat yang cepat seiring dengan kemajuan hidup manusia telah memudahkan maklumat diurus dan digunakan secara efisien. Namun, penggunaan teknologi maklumat perlu selari dengan kemampuan dan keperluan organisasi agar pelaburan yang dibuat tidak sia-sia begitu sahaja. Seperti yang pernah berlaku dahulu pada awal-awal organisasi berghairah menggunakan komputer telah membelanjakan wang yang banyak untuk membeli peralatan komputer yang semesti mahal, namun akhirnya tidak dapat dimanfaatkan secara optimum. Akibatnya peralatan tersebut menjadi gajah putih yang hanya memenuhi ruang pejabat serta menjadi tontonan pelawat-pelawat sahaja.

Penggunaan teknologi ICT yang optimum amat penting dalam memberi nilai tambah dalam pengurusan organisasi pada hari ini. Oleh itu, adaptasi terhadap kaedah penggunaan terkini amat penting demi kelangsungan organisasi.