20 September 2022

SESI NAIB CANSELOR BERSAMA PENSYARAH UUM SIRI 3/2022 (KOHORT A)

Pensyarah universiti ini diminta untuk terus menulis bagi mempergiatkan aktiviti penerbitan dan penyelidikan demi agenda kecemerlangan universiti. Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sebagai seorang pensyarah bukan sahaja mengajar, tetapi perlu terus menulis untuk penerbitan jurnal atau artikel yang berimpak tinggi. Menurutnya, banyak geran atau dana yang disediakan pelbagai pihak yang seharusnya direbut oleh pensyarah, malah universiti juga akan berusaha untuk menyediakan dana yang sepatutnya agar aktiviti penyelidikan dapat dijalankan.


Katanya, usaha dan momentum perlu dipertingkatkan untuk mendapatkan geran penyelidikan sama ada dari luar negara, dana awam, swasta mahupun universiti sendiri. "Selain itu, saya juga menggalakkan pensyarah UUM untuk menghasilkan buku ilmiah mengikut kepakaran masing-masing jika bukan penulisan artikel dan jurnal. "Marilah kita sama-sama meningkatkan penulisan buku dan penerbitan selagi mempunyai peluang dan masa yang ada. Kita bersama-sama melangkah untuk menaikkan nama UUM," ujarnya pada Sesi Naib Canselor Bersama Pensyarah UUM Siri 3/2022 (Kohort A) di Auditorium SOIS, pagi tadi.

Tambah Haim Hilman, apa yang disarankan beliau itu bukan kerana mengejar ranking, sebaliknya kecemerlangan. Kata beliau, apabila universiti cemerlang dalam penerbitan, penyelidikan, perundingan, penglibatan dengan komuniti dan industri, secara tidak langsung ia membantu dalam kedudukan ranking universiti. Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Malike Brahim berkata, sesi pada hari ini sangat bermanfaat kerana mereka berpeluang untuk bersemuka dengan Naib Canselor bagi mendapatkan penjelasan dan pencerahan tentang maklumat yang kurang jelas.

"Sesi begini sangat baik dan boleh dibuat lagi dengan kapasiti lebih kecil agar lebih praktikal terutama untuk proses penggubalan dasar daripada usul atau hasrat Naib Canselor ke arah pencapaian KPI dan pelan strategik universiti. "Selain itu, saluran bagi pengimbangan beban mengikut potensi dan keupayaan pensyarah juga perlu realistik seperti dinyatakan Naib Canselor kerana setiap orang mempunyai kebolehan dan minat yang berbeza seperti penulisan buku yang mengambil masa dan kapasiti beban kerja yang besar," ujar beliau. Malike berharap Naib Canselor akan terus memacu UUM ke arah kecemerlangan dengan adanya jawatankuasa pemandu ke arah pencapaian tersebut.

Penerima Anugerah Daripada SOC

Di akhir sesi, turut diadakan penyerahan sijil penghargaan kepada pensyarah yang cemerlang dalam penerbitan, penyelidikan dan perundingan.

Sumber: UUM ONLINE

Blogger: ahlulwulus@2022

No comments: