29 March 2010

PANTUN SEMASA MENULIS TESIS PHD

Dua tiga kucing berlari,
Manakan sama Si Kucing Belang,
Dua tiga hari lagi jangan dok cari,
Rasanya macam nak sembunyi di dalam kandang ...

Pisang emas bawak belayar
masak sebijik di atas peti
Asyik teringat Americas d'playar
nak tulis phdpun terhenti-henti

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokan,
Bapak budak tengah belajar,
Tak habih Ph.D jumpalah Pak Dekan!!!!!!!!

Pulau pandan jauh ke tengah
Gunung Daik Bercabang empat
Nak PHD memanglah tak mudah
Tapi kalau buat2 mudah, konpom tak dapat

Buai laju-laju,
Sampai cucur atap,
Nak Bentang paper punyalah laju,
Masuk Viva tergagap-gagap!!!!

ikan haruan ikan keli
jelas nampak dari atas titi
susah-susah mengaji phd
siap nanti ajak saya buat research sekali...

Nak tidur pejamlah mata
Jangan diingat orang yang jauh
Nak tulis bagai nak gila
Bila le nak sampai bab sepuluh?

Hindu gila minum todi,
Todi diminum di dalam gelas,
Bila nak habis tulih Ph.D
Saya baru tulis bab tujuh belas...

garu kepala garu siku
siang-siang ayam berkokok
bab 10 mungkin tak perlu
asal cukup isi dan pokok...

Buat PhD sampai meleleh
Kepala bengang rambut beruban
Kalau bab tujuh belas masih tak abih
Bersiap siagele ke tanjung rambutan

28 March 2010

KUTBAH JUMAAT PADA 26/3/2010

Intisari kutbah jumaat minggu ini.

Minggu ini isu khutbah berkisar mengenai agenda Yahudi terhadap umat Islam. Pelbagai keburukan dan kejahatan Yahudi dijelaskan oleh Pak Khatib yang rasanya baru pertama kali berkhutbah di sini. Seperkara yang aku amat ingat adalah tentang agenda Yahudi yang berasaskan kepada sejenis serangga bernama SPIDER. Rupanya SPIDER ini adalah singkatan untuk:

  • S : Sex - menggalakan perlakuan seks bebas serta meracuni fikiran umat Islam untuk menerima budaya seks bebas ini dengan sepenuhnya.
  • P : Politic - mempengaruhi kehidupan sosial umat Islam melalui budaya politik yang condong ke arah kaedah dan pendekatan barat.
  • I : Ideologi - menyemai dan menanam ideologi bebas yang tidak berasaskan kepada ketuhanan serta meletakkan sains dan teknologi kepada asas kepercayaan.
  • D : Drug - menggalakkan umat Islam menggunakan najis dadah dalam kehidupan yang menyeronok lagi melalaikan.
  • E : Education - mengagongkan nilai-nilai pendidikan barat kepada umat Islam agar nilai-nilai pendidikan Islam (spt pengajian pondok dan sekolah agama) dipinggirkan dan menjadi pusat keganasan.
  • R : Rock - menggalakan umat Islam agar sentiasa mencintai hiburan dan berseronok sepanjang masa.

Itulah sebahagian daripada isi khutbah yang boleh diambil ikhtibar oleh kita semua. Amat menarik jika kita membaca buku bertajuk "Agenda Yahudi Menakluki Dunia - Rahsia di sebalik rahsia" yang ditulis oleh En. Sabaruddin Hussien seorang penulis Indonesia yang boleh dikaitkan dengan khutbah pada ini.

21 March 2010

KUTBAH JUMAAT PADA 19/3/2010

Intisari kutbah pada minggu ini.

Jumaat lepas khutbah dibaca oleh seorang ustaz dari luar kariah masjid ini yang tidak pernah tengok sebelum ini. Isi khutbah berkisar tentang kisah Nabi Muhammad, sejak beliau lahir hinggalah kewafatannya. Ceramah diselang seli dengan keperluan untuk menyokong hukum Allah dilaksanakan serta sindiran sinis terhadap pihak-pihak tertentu. Secara amnya, bunyi khutbah adalah standard dengan khutbah2 sebelum ni, namun kali ini ada kelainannya. Selesai khutbah dan solat, dan sejurus bacaan doa selesai, tiba2 pak khatib yang mengimamkan solat tadi bertakbir ... TAKBIR !!!, secara spontan akibat reflection laungan TAKBIR tadi, maka makmum membalas takbir tersebut ALLAHU AKBAR. Maka bergemalah masjid tersebut dengan laungan ALLAHU AKBAR !!! .... persis seperti dalam ceramah yang selalu diadakan oleh sesetengah pihak. Persoalannya, apakah perlu bertakbir untuk solat jumaat seperti ini? Mungkin perkara ini telah menjadi tradisi di masjid ini, dan ianya telah menjadi agenda tetap solat jumaat selepas itu.

05 March 2010

PELAJAR ZAMAN SEKARANG


Karangan budak melayu sekolah zaman La ni .... (ambil dari facebook)


Jalan ceritanya bagus ... maknanya, imaginasinya Oklah juga ... kreatif, tapi kurang faham macamana nak tulis ... guru kena lebih usaha mengajar pelajar semacam ini.

ahlulwulus@2010

09 February 2010

KEPINTARAN PERNIAGAAN (BUSINESS INTELLIGENCE)

Keperluan terhadap maklumat bukan lagi isu remeh dalam pengurusan sesebuah organisasi. Ianya menjadi agenda penting dalam menentukan kelangsungan aktiviti syarikat, malah membantu organisasi bersaing dengan organisasi yang lain dalam menghadapi cabaran di dunia global. Oleh itu, pengurusan maklumat bukan lagi dilihat sekadar melancarkan perjalanan tugas rutin, malah ia amat penting dalam membantu menentukan hala tuju serta cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh organisasi. Tidak hairan jika maklumat kini telah dianggap suatu komoditi yang perlu beri pelaburan yang besar bagi memastikan manafaat kepada organisasi.

Perkembangan teknologi maklumat yang cepat seiring dengan kemajuan hidup manusia telah memudahkan maklumat diurus dan digunakan secara efisien. Namun, penggunaan teknologi maklumat perlu selari dengan kemampuan dan keperluan organisasi agar pelaburan yang dibuat tidak sia-sia begitu sahaja. Seperti yang pernah berlaku dahulu pada awal-awal organisasi terlalu ghairah menggunakan komputer hingga membelanjakan wang yang banyak untuk membeli peralatan komputer yang semesti mahal dan berjenama, namun akhirnya tidak boleh dimanafaatkan secara optimum dan ditinggalkan menjadi "gajah putih". "Gajah Putih" tersebut tidak dibiarkan menjadi tontonan serta nolstagia kepada orang-orang terdahulu. Biasanya ia akan dilupuskan serta digantikan dengan perkakasan dan perisiaan baru mengikut teknologi semasa dan akhirnya kisah lalu berulang kembali. Isunya, bagaimanakah teknologi ICT yang dimiliki dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh organisasi bagi mendapatkan maklumat yang sewajarnya dan akhirnya dapat membantu organisasi bersaing dalam persekitaran global yang kian mencabar?


Sebenarnya teknologi maklumat semakin pintar. Kepintaran itu bukan sengaja dibuat-buat, bahkan ia hadir selari dengan perkembangan semasa perkakasan dan perisiaan yang menjadi elemen penting dalam ICT. Sokongan teknologi komunikasi sejak sedekad yang lalu telah menjadikan ICT semakin "pervasive" sesuai dengan penggunaannya yang menjangkau sempadan. Oleh yang demikian, pengurusan maklumat juga memerlukan pendekatan yang strategik serta berorientasikan kepintaran. Maka lahirlah teknologi Kepintaran Buatan (Business Intelligence) yang menunjangi pelaksanaan pengurusan maklumat yang lebih canggih dan pintar. Adanya teknologi ini, maklumat dilihat bermanafaat dan mampu menyokong organisasi dalam menentu arah tuju serta pelaksanaan perancangan strategik.

Langkah kerajaan dalam mempromosi serta melaksanakan ukuran pencapaian prestasinya berasaskan nilai "Key Performance Indicator" (KPI) adalah komponen penting dalam pelaksanaan perancangan strategik kerajaan. Walaubagaimanapun, penentuan KPI terhadap prestasi sesebuah organisasi atau khususnya jabatan-jabatan kerajaan bukanlah mudah untuk dinilai jika tiada pengurusan sistem maklumat yang cekap dan efisien. Hal ini merujuk kepada keperluan mewujudkan suatu sistem "Business Intelligence" di peringkat nasional bagi menyokong KPI jabatan-jabatan kerajaan dapat dipantau dan dipastikan pencapaiannya oleh pihak kerajaan secara telus melalui sistem "Business Intelligence" ini. Sudah sampai masanya kerajaan memanfaatkan seluruhnya kemudahan ICT yang telah disediakan dengan belanja yang banyak bagi mewujudkan pengurusan sistem maklumat nasional berasaskan "Business Intelligence" yang bersepadu.

ahlulwulus@Feb2010

27 August 2008

KEPERLUAN MAKLUMAT YANG SOFISTIKATED

Keperluan terhadap maklumat bukan lagi isu remeh dalam pengurusan sesebuah organisasi. Ianya menjadi agenda penting dalam menentukan kelangsungan aktiviti syarikat, malah membantu organisasi bersaing dengan organisasi yang lain dalam menghadapi cabaran di dunia global. Oleh itu, pengurusan maklumat bukan lagi dilihat sekadar melancarkan perjalanan tugas rutin, malah ia amat penting dalam membantu menentukan hala tuju serta cabaran masa depan yang perlu dihadapi oleh organisasi. Tidak hairan jika maklumat kini telah dianggap suatu komoditi yang perlu beri pelaburan yang besar bagi memastikan manafaat kepada organisasi.

Perkembangan teknologi maklumat yang cepat seiring dengan kemajuan hidup manusia telah memudahkan maklumat diurus dan digunakan secara efisien. Namun, penggunaan teknologi maklumat perlu selari dengan kemampuan dan keperluan organisasi agar pelaburan yang dibuat tidak sia-sia begitu sahaja. Seperti yang pernah berlaku dahulu pada awal-awal organisasi berghairah menggunakan komputer telah membelanjakan wang yang banyak untuk membeli peralatan komputer yang semesti mahal, namun akhirnya tidak dapat dimanfaatkan secara optimum. Akibatnya peralatan tersebut menjadi gajah putih yang hanya memenuhi ruang pejabat serta menjadi tontonan pelawat-pelawat sahaja.

Penggunaan teknologi ICT yang optimum amat penting dalam memberi nilai tambah dalam pengurusan organisasi pada hari ini. Oleh itu, adaptasi terhadap kaedah penggunaan terkini amat penting demi kelangsungan organisasi.

03 March 2008

CORAK CORET PRU-12 - 2008

Selingan bagi memeriahkan lagi pilihanraya

DUN yg paling sejuk, DUN Batu Berendam
DUN yg paling tak de rasa, DUN Air Tawar
DUN yg paling panas, DUN Pedas
DUN yg paling miskin, DUN Sekupang
DUN yg paling muda, DUN Sri Muda
DUN yg paling lemah, DUN Batang Berjuntai
DUN yg paling basah, DUN Sg Besar
DUN yg kuat makan satay, DUN Kajang
DUN yg banyak hantu, DUN Pucong
DUN yg ada istana, DUN Kota Raja.
DUN yg banyak ikan, DUN Tg Sepat
DUN yg paling keras, DUN Batu Tiga
DUN paling pendalaman, DUN Hulu Klang
DUN banyak air, DUN Ampangan
DUN banyak pengganas, DUN Kuala Kubu
DUN paling takde kemajuan, DUN Gurun
DUN paling bahaya, DUN Baling
DUN banyak semut, DUN Kota Sarang Semut.
DUN paling pelik, DUN Sg Ada Burung.
DUN ada binatang, DUN Kijang
DUN paling wangi, DUN Pokok Sena
DUN paling tak cantik, DUN Batu Buruk
DUN paling garang, DUN Senggarang
DUN paling banyak berahsia, DUN Tell Anybody kehkehkeh..

ahlulwulus@2008

29 February 2008

PILIHANRAYA KE-12 - 2008

Piliharaya ke-12 telah datang dan bersedia untuk dijalankan dalam suasana politik negara yang pelbagai. Seperti pilihanraya umum yang lepas, pelbagai parti dengan misi dan manisfesto masing-masing berusaha untuk memenangi hati rakyat malaysia agar memilih mereka untuk memerintah kerajaan Malaysia atau negeri untuk 4-5 tahun yang akan datang. Tarikh pilihanraya umum ke-12 ini telah ditetapkan pada 8 Mac 2008 dengan tempoh berkempen selama 13 hari.

Bagi kita rakyat Malaysia yang merdeka ... apakah pilihan kita kali ini? Kerajaan yang macam mana akan menjadi pilihan kita? Sebagai warganegara yang telah melepasi era penjajahan, sudah pastilah keputusan yang dibuat bebas daripada unsur-unsur penjajahan rohani dan jasmani. Kerajaan yang akan membawa kesejahteraan kepada rakyat serta memastikan kelangsungan negara ke mercu kejayaan pasti akan menjadi. Di samping itu, nilai-nilai murni dan rakyat yang bertanggungjawab perlulah menjadi agenda penting kerajaan bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat keredhaan (mardatillah) Allah swt.

ahlulwulus@2008

21 August 2007

SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-50

Sambutan hari kemerdekaan setiap tahun memberi ingatan tentang betapa bertuahnya kita dapat hidup di Negara yang aman dan makmur serta bekerja di sebuah universiti yang terkenal dan amat disegani. Dengan adanya kemerdekaan ini, kita mampu untuk membina Negara dan melakar kejayaan demi kejayaan demi bangsa dan Negara yang tercinta.

Walaupun begitu, bukan mudah untuk kita meraih kejayaan seperti sekarang. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi dan ditangani. Dari masalah ekonomi dan sosial di peringkat Negara hinggalah global dapat kita atasinya dengan bijaksana dan berkesan. Pimpinan Negara yang bijak dan berwawasan telah berjaya memupuk semangat jati diri rakyat yang mantap serta kejayaan Negara mengikut acuan sendiri yang diwarisi dari perjuangan kemerdekaan dahulu. Walaupun ada segelintir rakyat hanyut dengan keseronokan kemodenan negara hingga sanggup mengadai nilai-nilai murni yang dipegang sekian lama, namun perjuangan tetap diteruskan. Tiada apa yang dapat menggagalkan hasrat murni seluruh rakyat untuk memastikan bangsa dan negara akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Negara harus mengambil iktibar daripada semangat kemerdekaan dengan sama-sama terlibat dengan aktiviti kemerdekaan yang tidak melanggar adat dan tatasusila bangsa dan agama agar natijah daripada sambutan tersebut akan terus tersemat dan seterusnya mampu membentuk semangat jati diri yang sebenar bagi menjamin sebuah Negara Malaysia yang maju dan berjaya.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan !!!

MERDEKA !!! MERDEKA !!! MERDEKA !!!

25 April 2001

BERTUKAR PROFESION MENJADI PENSYARAH

Hari ini saya telah dilantik sebagai pensyarah gred DS41, di mana temuduga telah diadakan pada 18 April 2001. Saya ditempatkan di Sekolah Teknologi Maklumat (STM), dan bermulalah tugas baru sebagai pensyarah. Maka tinggallah tugas sebagai juruanalisa sistem (PSM) dan Pusat Komputer. Diharap pengalaman di Pusat Komputer akan dapat membantu tugas sebagai pensyarah dalam menyampaikan kuliah dan tugasan kepada pelajar.

Blogger: ahlulwulus@2001

17 August 1999

NAIK PANGKAT DARI PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT (GRED F3) KE KETUA PEGAWAI SISTEM MAKLUMAT (GRED F2)

Hari ini saya dinaikkan pangkat dari pegawai sistem maklumat (PSM) kepada ketua pegawai sistem maklumat (KPSM). Kenaikan ini memberi penghargaan kepada saya yang telah berkhidmat sebagai PSM selama 8 tahun. Sebagai KPSM, saya diberi tanggungjawab untuk mengetuai unit pembangunan dan penyelenggaraan sistem aplikasi UUM. Unit ini bertanggungjawab membangun dan menyelenggara semua sistem aplikasi UUM, samada ianya dibangun secara "in-house" atau oleh pihak pembekal. Beberapa sistem yang telah dan sedang dibangunkan adalah seperti berikut:

  1. Sistem Rekod Pelajar Under Graduate (ASIS)
  2. Sistem Aktiviti Pelajar (SAIS)
  3. Sistem Rekod Pelajar Post Graduate (GAIS)
  4. Sistem Kewangan dan Perakaunan (IFAS)
  5. Sistem Personel (PERSIS)
  6. Sistem Perpustakaan (SISPUKOM)

Walau bagaimanapun, cabaran paling besar yang perlu dibuat adalah pelaksanaan peningkatan (migration) sistem aplikasi yang telah dibangunkan di platform Ingres (menggunakan teknologi 4GL programming) kepada platform Sybase/PowerBuilder (menggunakan teknologi object-relational programming). Usaha ini menjadi cabaran utama saya setelah menjadi KPSM.

Blogger: ahlulwulus@1999

02 February 1992

MAJLIS NAIK BUAI MUHAMMAD AL-AMIN


Majlis naik buai anak pertama pada 27 Februari 1992, kira-kira setahun selepas berkahwin pada 28 Disember 1990. Majlis ini diadakan di rumah ayahanda Taa Lebai Talib di Bukit Chawi. Tradisi orang kampung meraikan kehadiran orang baru dalam sesebuah keluarga dibuat melalui acara akikah atau kenduri naik buai seperti ini. Jemputan biasanya dihadiri oleh Tok Imam masjid dan majlis dimulakan dengan tahlil doa selamat dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sambil berdiri dan memberi sedekah kepada bayi yang diraikan. Semua urusan kenduri diuruskan oleh emak dan ayah, dan semua berjalan lancar dan meriah. Semoga Muhammad Al-Amin menjadi anak yang soleh dan sentiasa berbakti kepada ayah dan ibunya.

Blogger: ahlulwulus@1992

08 January 1991

BERMULA PEKERJAAN SEBAGAI JURUANALISA SISTEM DI UUM

Selepas majlis perkahwinan pada 30 dan 31 Disember 1990, aku melaporkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai Juruanalisa Sistem (System Analyst) dengan gred F41, pada 8 Januari 1991 (Selasa). Pekerjaan ini aku perolehi selepas berjaya dalam temuduga yang telah diadakan di UUM Tanah Merah. Temuduga dijalankan oleh Pengarah Pusat Komputer Dr Islahuddin Baba dan beberapa orang pegawai kanan UUM. Terpaksa meninggalkan isteri yang baru berkahwin buat sementara waktu, sementara mencari tempat tinggal yang sesuai di kawasan yang berhampiran dengan UUM Sintok. Akhirnya dapatlah rumah sewa di Changloon, yang jaraknya kira-kira 8 kilometer dari UUM Sintok. Maka bermulalah episod perjuangan baru yang jauh kampung dan keluarga di Kampung Gajah dan Teluk Intan. 

UUM yang baru memulakan melaksanakan program pengajian pelajar di peringkat sarjana muda dan sarjana di kampus Sintok, memerlukan sokongan sistem komputer yang cekap dan mampu menyokong pelaksanaan tugas pengurusan UUM yang semakin berat. Maka kemasukkan staf baru seperti aku diharap dapat membantu pihak pengurusan Pusat Komputer merancang dan seterusnya melaksanakan program pengkomputeran untuk keperluan warga kampus khususnya, dan kementerian pengajian tinggi amnya. Aku telah bersedia untuk menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan. Insya Allah.
 
Blogger: ahlulwulus@1991

31 December 1990

PERKAHWINAN AZMAN DAN ROS ADIZAH

Perkahwinan aku dan Ros Adizah Abu Bakar telah diadakan pada 30 dan 31 Disember 1990 di rumah kedua-duanya dengan suasana sederhana dan meriah. Selepas acara akan nikah yang diadakan pada 28 Disember 1990 di Masjid Kg. Bahagia, majlis kenduri dikedua-dua belah pihak telah diadakan mengikut adat orang kampung. Ramai tetamu yang hadir, termasuk rakan-rakan aku dan Ros yang bekerja di Felcra Seberang Perak dan SABHA Holding Sendirian Berhad. Bunyi rebana yang dibawa khas dari Selat Pulau telah begema mengiringi pengantin di rumah kedua-dua mempelai. 



Sanak saudara semuanya memberi sokongan dan bantuan dalam menjayakan majlis walimah yang diadakan. Bagi pihak Ros Adizah, ini adalah majlis perkahwinan yang pertama dalam keluarga mereka, manakala bagi keluarga aku ini adalah majlis yang ke-3, setelah Nyah dan Yong berkahwin beberapa tahun yang lalu. Majlis yang sederhana meriah ini telah memberi aku suatu pengalaman dan kenangan indah yang akan dikenang hingga ke akhir hayat. Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat. Aamiin.
 
Blogger: ahlulwulus@1990.