30 April 2020

STRATEGI BARU DALAM MENYAMBUT RAMADHAN MASA COVID-19

Tibanya bulan Ramadan al-Mubarak menandakan sudah sampai masanya untuk umat Islam menggandakan amalan yang mulia selain bermuhasabah dengan apa yang telah lakukan. Walaupun seluruh dunia kini diancam wabak Covid-19 hingga menyebabkan pergerakan penduduk dunia terbatas tetapi bagi umat Islam,  Ramadan tetap disambut meriah bagi hamba-Nya yang bertakwa. Adakah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kita akan membiarkan semua kelebihan Ramadan berlalu begitu sahaja? Sdakah kita rasa tersekat untuk melakukan amalan, atau apakah kita hilang semangat beribadah bila dilakukan di rumah? Jom tingkatkan amalan dengan suasana baharu yang akan memberikan lagi pengalaman baru kepada kita semua dalam bulan Ramadan 1441H ini. Tumpukan matlamat hidup kita untuk beribadah kepada Allah, justeru untuk memantapkan ibadah kita perlu menyusun beberapa strategi. 

Strategi pertama, jangan sesekali meninggalkan beberapa perkara utama iaitu solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, solat terawih, bangun malam (qiyamullail), membaca al-Quran hingga khatam, bersahur, memasak dan berbuka puasa bersama keluarga. Lakukan solat 5 waktu secara berjemaah bersama ahli keluarga, mungkin pada masa lalu, kita tidak sempat berjemaah bersama isteri dan anak-anak, jadi inilah peluang kita menjadi imam di samping memperbaiki kualiti solat. Bagi yang tidak pernah atau gementar untuk menjadi imam solat, inilah waktu terbaik untuk kita memperbaiki solat dari segi bacaan surah. Allah bagi masa dan peluang kepada kita untuk semak dan teliti solat kita dan ahli keluarga.. 

Strategi kedua, berazam untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan soleh dalam kehidupan kita yang tidak berapa lama lagi dapat hidup di dunia ini serta berazam untuk memimpin ahli keluarga ke jalan yang diredhai Allah. Ramadan ini, azam kita mahu solat terawih dari malam pertama hingga terakhir, menghabiskan bacaan al-Quran 30 juzuk, qiyamullail bersama ahli keluarga dan  tunaikan janji kita kepada isteri kita untuk membawanya ke syurga Allah dengan melakukan amal-amal soleh.

Strategi ketiga, berlumba dalam beramal. Sekiranya kita beramal secara mendatar tambahan pula dalam keadaan pergerakan terbatas sepanjang tempoh PKP ini, kita akan berasa cepat bosan dan malas. Jadi, buatlah pertandingan antara ahli keluarga dan sediakan hadiah misalnya  pertandingan bercerita kisah nabi, pertandingan menghafaz ayat-ayat al-Quran setiap hari dengan memilih beberapa surah pendek untuk dihafaz dan berlumba menghabiskan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan, siapa yang mampu habiskan sekali atau dua kali bacaan al-Quran dikira sebagai pemenang. Seronokkan kalau berlumba dengan diberikan sedikit ganjaran pasti anak-anak akan berasa teruja dan menambahkan semangat untuk membaca al-Quran bersama mereka.

Strategi keempat, wujudkan aktiviti kepada ahli keluarga, buat satu jadual pengajian atau bacaan kitab berkaitan dengan fardhu ain seperti tauhid, fiqh, tasawuf, sirah nabi selepas menunaikan solat fardhu, cukup sekadar 5 minit setiap hari. Setiap waktu solat pilih bacaan tertentu dengan memberi tanggungjawab kepada setiap seorang untuk menjadi pembaca, di samping mereka akan lebih berkeyakinan untuk menjadi penyampai di hadapan orang ramai nanti, selain itu aktiviti yang mengeratkan silaturrahim seperti masak bersama-sama juga dapat dilakukan.

Sebagai hamba yang beriman dan berpegang teguh kepada Allah dan Rasul yang memberi panduan telah berulang kali menyebut di dalam al-Quran perkataan ‘Ulul Albab’ yang bermaksud hamba yang menggunakan akal fikiran dengan sempurna dan meletakkan sesuatu itu dengan betul dan benar.

Sumber: UUM ONLINE
ahlulwulus@2020

15 April 2020

MAKLUMAT TIDAK BENAR MENGENAI NASIHAT KESIHATAN COVID19

Pada masa ini banyak maklumat yang berhubung dengan nasihat kesihatan mengenai cara untuk mengatasi penyakit covid19 yang ditularkan oleh pelbagai pihak melalui pelbagai saluran media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Intagram dan sebagainya. Maklumat ini boleh mempengaruhi kepercayaan orang ramai meskipun kebenarannya masih diragui dan tiada bukti saintifik yang membenarkannya. Maklumat yang disebarkan itu adalah seperti berikut:

1. Bawang Putih

Banyak catatan yang mengesyorkan memakan bawang putih untuk mengelakkan jangkitan virus. Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan, walaupun "bawang putih makanan sihat yang mungkin mempunyai beberapa sifat anti mikrob", namun tidak ada bukti bahawa makan bawang putih dapat melindungi orang dari coronavirus baru. The South China Morning Post melaporkan kisah seorang wanita yang terpaksa menerima rawatan di hospital untuk kerongkong yang teruk setelah memakan 1.5kg bawang putih mentah. Kita tahu, secara umum makan buah, sayur dan minum air boleh menjadikan tubuh terus sihat. Namun, tidak ada bukti makanan tertentu seperti bawang putih akan membantu memerangi virus corona ini.

Bawang Putih


2. Mineral Ajaib
Jordan Sather seorang penyedia kandungan yang mempunyai ribuan pengikut di Youtube telah mendakwa bahawa suplemen "mineral ajaib" yang disebut sebagai MMS dapat menghapuskan virus corona. Ia mengandungi klorin dioksida iaitu agen pemutihan. Sather dan yang lain mempromosikan bahan tersebut sebelum wabak pandemik ini berlaku. Pada bulan Januari 2020 yang lepas, beliau menulis di twitter "bukan hanya klorin dioksida (MMS) pembunuh sel barah yang berkesan, tetapi juga dapat menghapuskan virus corona". Tahun lalu, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) memberi amaran mengenai bahaya meminum MMS. Pihak berkuasa kesihatan di negara lain juga telah mengeluarkan amaran yang sama mengenainya. Malahan jika meminumnya boleh menyebabkan mual, muntah, cirit-birit dan gejala dehidrasi yang teruk.

3. Pembersih Tangan Buatan Sendiri
Mencuci tangan dengan sabun atau sanitizer adalah salah satu cara utama untuk mencegah penyebaran virus corona. Namun, terdapat banyak laporan mengenai kekurangan sanitizer di pasaran. Sehubungan itu, timbul banyak resipi untuk membuat sanitizer sendiri di media sosial. Tetapi resipi ini dikatakan palsu ianya lebih sesuai untuk membersihkan permukaan lantai, namun tidak sesuai digunakan pada kulit. Gel tangan berasaskan alkohol (kandungan alkohol 60-70%) biasanya juga mengandungi emolien, yang menjadikannya lebih lembut pada kulit, di atas  mereka. Profesor Sally Bloomfield, dari London School of Hygiene and Tropical Medicine, mengatakan bahawa dia tidak percaya orang awam boleh membuat produk yang berkesan untuk membersihkan tangan di rumah. 

4. Minuman "Perak Koloid"
Minuman perak koloid yang dipromosikan di rancangan televangelist Jim Bakker adalah sejenis zarah kecil logam yang dimasukkan dalam cecair. Seorang tetamu di rancangannya itu mendakwa telah berjaya membunuh beberapa jenis virus corona dalam masa 12 jam (sambil mengakui ia belum diuji pada Covid-19). Terdapat nasihat yang jelas dari pihak berkuasa kesihatan AS bahawa tidak ada bukti bahawa minuman ini boleh menghapuskan virus corona, malah ia menyebabkan kesan sampingan yang serius terhadap buah pinggang, sawan dan argyria - keadaan yang menjadikan kulit anda menjadi biru. Tambahan pula menurut pakar, tidak seperti besi atau zink, perak bukanlah logam yang mempunyai fungsi dalam tubuh manusia.

5. Minum air setiap 15 minit
Memetik kata seorang doktor di Jepun yang mengesyorkan minum air setiap 15 minit untuk membuang virus yang mungkin masuk ke dalam mulut. Nasihat ini yang ditulis dalam bahasa Arab telah dikongsi lebih daripada 250,000 pengguna facebook. Profesor Trudie Lang di University of Oxford mengatakan bahawa, tidak ada mekanisme biologi yang menyokong idea bahawa anda hanya boleh mencuci virus melalui pernafasan hingga ke perut dan membunuhnya. Jangkitan virus corona memasuki badan melalui saluran pernafasan ketika anda menarik nafas. Manakalah sebahagian daripadanya mungkin masuk ke dalam mulut, namun meminum air secara berterusan tidak akan menghalang daripada terkena virus tersebut. Walau bagaimanapun, kerap minum air akan membuatkan badan kekal terhidrat, dan ia adalah nasihat kesihatan baik yang boleh diamalkan.

6. Kepanasan dan elakkan makan ais krim
Pelbagai nasihat yang menunjukkan kepanasan boleh membunuh virus corona, maka ramailah yang mengesyorkan minum air panas, mandi air panas, atau menggunakan pengering rambut. Satu catatan yang disalin dan ditampal oleh ramai pengguna media sosial di negara yang berlainan mengaitkannya dengan kenyataan Unicef (badan kesihatan sedunia) yang mendakwa bahawa minum air panas dan terdedah kepada cahaya matahari akan membunuh virus tersebut. Ditambah pula, memakan ais krim harus dielakkan kerana ianya sejuk.

7. Penutup muka (face mask) melindungi dari virus Corona
Penutup muka tidak sepenuhnya melindungi diri dari virus Corona kerana ia hanya boleh menghalang partikel kecil virus sahaj. Penutup muka hanya berfungsi membantu mencegah penyebaran "droplet" kepada orang ramai melalui hidung dan mulut sahaja. Walaupun memakai topeng muka adalah suatu tindakan yang baik terutamanya semasa musim penularan wabak ini, adalah lebih baik untuk memakainya dengan cara yang betul dan memastikan tangan anda sentiasa bersih. Cara yang betul untuk memakai topeng muka adalah dengan memastikan bahagian berwarna sama ada biru atau hijau bergantung pada topeng yang berada di pasaran berada di luar dan untuk memastikan bahawa bahagian yang mempunyai garis besi dipasang pada batang hidung anda. Unsur yang lebih penting untuk memastikan bahawa tangan sentiasa bersih. Kerana kita menyentuh banyak benda yang kita sendiri tidak tahu, oleh itu, adalah lebih baik untuk kita menjaga kebersihan tangan kita. Cara terbaik untuk menjaga kebersihan tangan adalah dengan mengamalkan cara yang betul untuk mencuci tangan dan mencucinya dengan lebih kerap. Gunakan sabun dan air ketika mencuci tangan atau menggunakan “hand sanitizer” (pembersih tangan) apabila air dan sabun tidak tersedia. Adalah lebih baik untuk mengelakkan jangkitan dengan memiliki kebersihan tangan daripada memakai topeng muka.

8. Antibiotik membunuh virus Corona
Dihebahkan bahawa antibiotik dapat membunuh virus corona. Namun hakikatnya antibiotik hanya membunuh bakteria, dan bukan untuk membunuh virus, khususnya virus corona.

9. Kerap bersin adakah berkemungkinan terkena virus corona
Walaupun pesakit yang dijangkiti dengan novel coronavirus mungkin mengalami gejala seperti bersin, batuk, demam dan kesusahan pernafasan, ini tidak bermakna orang yang mengalami gejala yang sama telah dijangkiti penyakit ini. Diagnosis biasa yang boleh dibuat dengan simptom yang sama adalah seperti selesema biasa, flu atau jangkitan paru-paru. Diagnosis novel coronavirus (n-CoV) hanya akan dibuat jika ujian serologi adalah positif. Walau bagaimanapun, adalah baik untuk mendapatkan konsultasi perubatan dan mendapatkan pemeriksaan darah jika anda mengalami gejala yang sama. Gejala boleh muncul pada bila-bila masa dari 2 hingga 14 hari selepas seseorang terdedah kepada virus.

10. Virus Corona adalah virus baru
Ya, tetapi ia tidak sama sekali baru. Wabak yang kita hadapi sekarang ialah Novel Coronavirus 2019 (n-CoV) iaitu salah satu jenis daripada keluarga Coronavirus. Strain virus ini adalah baru dan jenis virus corona sebenarnya adalah virus lama yang telah memberikan mimpi ngeri kepada orang ramai pada tahun-tahun terdahulu. Pernahkah anda mendengar tentang SARS atau MERS? Ya, kedua-duanya sebenarnya adalah dari jenis virus yang sama, iaitu Coronavirus. SARS adalah akronim bagi sindrom pernafasan akut yang teruk dan MERS adalah Coronavirus yang berkaitan dengan sindrom pernafasan timur-tengah. Perbezaannya adalah bahawa mereka berasal daripada jenis yang sama dan merupakan strain yang berbeza. Terdapat juga strain virus corona yang kurang membahaya di seluruh dunia yang boleh menyebabkan simptom pernafasan yang lebih ringan kepada pesakit yang mungkin tidak pernah kita dengar sebelum ini.

11. Vaksin flu memberi imuniti terhadap virus corona
Suntikan vaksin flu sebenarnya merupakan vaksin untuk virus Influenza. Ia adalah jenis virus yang berlainan daripada virus corona. Kita masih tidak mempunyai vaksin untuk melindungi diri daripada coronavirus sama ada SARS, MERS atau 2019 n-CoV yang terkini. Oleh itu, pastikan anda sentiasa mengamalkan amalan kebersihan yang baik dan jangan terlalu yakin dengan diri bahawa tidak akan dijangkiti virus kerana anda telah mengambil vaksin flu.

Terdapat banyak lagi pendapat yang ditularkan di media sosial tentang "myth" melawan virus corona. Namun hakikatnya sehingga kini tiada lagi ubat atau vaksin yang dapat menyembuhkan penyakiti ini. 

Kredit pelbagai sumber internet.
ahlulwulus@2020

07 April 2020

VIRUS CORONA (COVID-19) YANG SANGAT MERBAHAYA

Melalui data yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan internet, wabak baru dari virus corona atau covid-19 telah memberi kesan yang menakutkan kepada masyarakat dunia secara keseluruhan. Umumnya kesan ini memberi impak yang besar kepada kesihatan awam dan ekonomi negara. Kes pertama pesakit covid-19 telah didaftarkan pada 20 Januari di Wuhan China, dan telah berevolusi dengan pantas ke seluruh dunia sehingga hari ini walau pun negara China telah dikatakan pulih dari wabak ini. Akibat penyebarannya yang sangat pantas, maka pihak kerajaan telah mengambil langkah mengawal pergerakan orang ramai bagi memutuskan rangkaian penyebaran virus ini yang sehingga kini tiada vaksin yang khusus untuknya.

Kes awal jangkitan covid-19 telah berlaku di China, iaitu di daerah Hubei, Beijing dan Shanghai. Selepas itu diikuti negara seperti Jepun, Korea, negara dari wilayah pasifik barat, dan asia tenggara seperti Malaysia dan Thailand. Sehingga kini, sebanyak 183 negara telah dijangkiti virus ini termasuklah negara Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat yang mempunyai kadar jangkitan dan kematian yang sangat tinggi walau pun pada peringkat awalnya negara-negara ini tidak menunjukkan bilangan jangkitan yang tinggi.

Jangkitan covid-19 menyebabkan radang paru-paru yang serius dan boleh menyebabkan kematian kepada orang yang dijangkiti, dan peningkatan penyebaran virus ini sangat cepat ke seluruh dunia. Penyakit covid-19 disebabkan oleh sejenis virus corona yang memerlukan tempoh inkubasi dari 9 hingga 14 hari sebelum ia menyebabkan radang paru-paru, dan menjadikan 40% hingga 50% sebab kematian sekiranya pesakit mempunyai masalah lain yang berlebihan (kesusahan bernafas, kadar pernafasan lebih daripada 30 bpm, hipoksemia, sinar-X dada dengan infiltrat berbilang atau penyusupan pulmonari berkembang lebih daripada 50% dalam tempoh 24-48 jam).

Corona Virus (Covid-19)

Jika keadaan pesakit menjadi kritikal dengan kegagalan pernafasan, kejutan septik, dan kegagalan organ lain, maka mereka ini perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keperluan peralatan penjagaan hospital yang mencukupi. Namun hal ini mungkin menjadi sukar kepada pihak hospital jika peningkatan pesakit yang mendadak.

Peratus kematian pesakit covid-19 dikira berdasarkan jumlah yang dijangkiti di kawasan yang sama dan ditetapkan oleh peratusannya mengikut jumlah yang terkesan dengan jangkitannya. Trend penyebaran dikaitkan dengan purata penyelesaian jangkitan dan trend peningkatan penyesuaian dengan ujian baru terhadap pesakit. Bukti penurunan jumlah penyakit covid-19 dilihat dengan pengurangan jumlah orang yang diuji yang berkemungkinan dijangkiti. Hakikatnya, covid-19 ini tidak mempunyai sejarah jangkitan ke atas manusia yang boleh dipadankan bagi meramalkan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku pada masa hadapan.

Kebarangkalian kematian akibat covid-19 dianggap sebagai peratusan jumlah untuk mengenal pasti trend kematian baru yang jelas kelihatan meningkat seiring dengan peningkatan jangkitan dengan kes-kes harian yang baru ditemui.

Statistik Covid-19 6 April 2020 (Isnin)
Merujuk statistik harian covid-19 yang disediakan oleh Johns Hopkins University and Medicine, sehingga hari ini 6 April 2020 (Isnin), sebanyak 1,346,299 kes di seluruh dunia. Amerika Syarikat telah mendahului negara lain dengan 367,507 kes dengan kadar kematian 10,908 kes dan kadar kesembuhan 19,598 kes. Negara lain yang mempunyai kes yang tinggi adalah Sepanyol dengan 136,675 kes dengan kematian 13,341 kes dan kesembuhan 40,437 kes, dan Itali 132,547 kes dengan kematian 16,523 dan kesembuhan 22,837. Negara China yang bermulanya wabak pandemik ini mempunyai 82,665 dengan kematian 3,335 dan kesembuhan 77,310 kes.


Sehingga kini, Malaysia mempunyai 3,793 kes dengan kematian 62 kes dan kesembuhan 1,241 kes. Terdapat 102 kes di ICU dan 54 kes daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. Terdapat 8,109 kes masih menunggu keputusan samada disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini seramai 43,664 telah disahkan negatif. Kadar taburan kes menunjukkan negeri Selangor mendahuli negeri yang lain sebanyak 943 kes, Kuala Lumpur 622 kes, Johor 438 kes, Serawak 261 kes, Sabah 238 kes, Negeri Sembilan 231 kes, Perak 213 kes, Pahang 158, Kelantan 141 kes, Pulau Pinang 101 kes, Melaka 89 kes, Terengganu 84 Kes, Kedah 82 kes, Perlis 13 kes dan Labuan 11 kes. Berdasarkan jumlah penduduk Malaysia seramai 32,720, 946 juta orang, maka rakyat yang dijangkiti covid-19 adalah 0.012 %.


Statistik Covid-19 Ikut Negeri
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah drastik untuk mengawal penularan virus covid-19 ini melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seperti negara lain yang terjangkit, Malaysia telah meningkatkat PKP ke fasa ke-2 mulai 1-14 April 2020, di mana fasa pertama telah dilaksanakan pada 18-31 Mac 2020. Rakyat diminta untuk duduk di rumah (#StayAtHome) dan sentiasa mengamalkan aspek kebersihan dengan kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitizer, menjarakkan diri dengan orang lain (social distancing) dan memakai penutup muka (facemask) ketika berada di luar dan berurusan dengan orang lain. Hal ini diharapkan dapat mengurang atau menghapuskan penularan virus covid-19 dengan lebih luas.

Kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi (economic stimulus package 2020) dengan tujuan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan wabak covid-19 ini apabila sebahagian rakyat khususnya golongan B40 juga tidak ketinggalan golongan M40 yang yang hilang pendapatan akibat tidak dapat bekerja atau menjalankan perniagaan. Melalui pakej rangsangan ekonomi ini, kerajaan memberi bantuan kewangan dan pengurangan kos-kos perkhidmatan dan utiliti serta kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada rakyat. Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban rakyat sepanjang PKP diadakan yang berkemungkinan besar akan dilanjutkan kepada suatu tempoh yang lama.

Hanya kepada Allah SWT kita berserah dan berdoa semoga wabak covid-19 ini diangkat oleh Allah SWT dengan segera, serta menjadikan kita hamba Allah yang bertaqwa dan beramal soleh. Orang yang beriman dan beramal soleh sentiasa mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan seterusnya melakukan amal soleh serta bersyukur dengan apa yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Marilah bersama kita berdoa:


Aamiin Yarabbal Alamin.

ahlulwulus@2020

21 March 2020

BAGAIMANA VIRUS CORONA MASUK KE DALAM BADAN?

Kenapa minum air banyak kali setiap 15 minit TIDAK mencegah kemasukan virus dalam badan dan tidak membunuh atau merawat virus COVID19? Lihat carta kes covid19 yang berlaku di seluruh dunia sehingga kini.

Image

Virus ini masuk ke dalam badan melalui hidung, mulut dan mata. Bukan melalui tangan. Tangan anda hanyalah pembawa virus ini ke hidung, mulut dan mata anda melalui sentuhan. Di dalam hidung, mulut dan mata ialah sel-sel mucous membranes di mana virus ini boleh melekap melalui protin yang ada di permukaan virus. Ia menggunakan receptor yang ada di permukaan sel mucous membranes kita untuk memasuk ke dalam sel mucous membranes manusia. 

Bila dah masuk ke dalam satu sel, virus ini tak perlu berjalan pun ke dalam saluran pernafasan manusia atau atau ke dalam perut. Virus ini akan terus mengarahkan satu sel badan manusia yang dimasukinya untuk membuat banyak-banyak virus. Kemudian virus lain masuk lagi dalam sel manusia yang lain dan mengarahkan sel manusia membuat lebih virus. Inilah cara pembiakan virus. Inilah cara virus merebak di dalam badan manusia. Ia masuk dalam sel manusia yang tertentu dan mengarahkan sel membuat virus ini. Virus ini juga ada di dalam sistem penghadaman manusia dan salah satu gejala yang dilaporkan dari Wuhan ialah juga diarrhoea atau cirit-birit. TIADA BUKTI jika telan virus ini dari kerongkong ke dalam perut boleh membunuh virus ini, sebab pada hakikatnya ia berada di DALAM sel kerongkong kita dan hidup di DALAM sel. 

Bila pengidap virus batuk: sembuhan virus ke udara boleh terkena kepada orang lain yang berjarak dekat dengan pengidap virus. Di sini lah Bagaimana SOCIAL DISTANCING atau JARAK SOSIAL sekurang-kurangnya 1 meter boleh melindungi anda dan mencegah jangkitan. Jika pengidap virus hembus hingus, atau batuk ke atas tangan, virus yang berada di atas tangannya boleh dibasuh buang dengan air dan sabun. Inilah cara berkesan untuk menghentikan penularan jangkitan virus melalui sentuhan. JAGA KEBERSIHAN TANGAN SELALU. 

Basuhlah tangan sebelum pegang benda lain. Jika pengidap virus tak basuh tangan dan pegang-pegang benda di sekelilingnya, virus itu boleh hidup di atas permukaan barang selama lebih kurang 72 jam (menurut kajian virus). Sebab inilah anda mesti basuh tangan selalu walaupun anda tiada contact dengan pengidap virus untuk membuang virus yang anda sentuh di atas tangan sebelum anda sentuh hidung, mulut atau mata anda. Jika pengidap virus ini batuk ke atas tangannya atau sentuh mulut/hidung/matanya dan kemudian salam tangan anda, anda boleh terima virus ini di tangan anda. Cara terbaik mencegah penularan virus ini ialah JANGAN BERSALAMAN. 

Sebab inilah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi nasihat: 

  1. Jaga kebersihan tangan 
  2. Basuh tangan selalu dengan air dan sabun. Hanya jika TIADA air dan sabun, boleh guna sanitiser dengan kandungan 60-70% alkohol ke atas. 
  3. Jarak sosial sekurang-kurangnya 1 meter.
  4. Tak payah bersalam-salaman.
  5. Tutup mulut bila bersin, batuk dan kemudian basuh tangan. Sebaik-baiknya gunakan mask jika anda ada gejala ini. 
  6. Nasihat terbaru ialah DUDUK DI DALAM RUMAH dan elakkan apa-apa perhimpunan. 
Laman KKM tak beri nasihat minum air suam setiap 15 minit. Laman KKM tak beri nasihat berjemur di bawah kepanasan matahari. Laman KKM tak beri nasihat makan pisang, bawang putih, ikan singgang, sarang burung, minum air panas, letak bawang merah di sekeliling anda atau telan megados vitamin C. Silalah ikut nasihat KKM melalui:

1) Laman web KKM 
2) Laman media sosial Facebook KKM
3) Laman twitter @KKMPutrajaya 
4) Laman twitter @Ketua Pengarah Kesihatan 

Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat untuk anda semua

Kredit kepada penulis daripada Whatsapps.
ahlulwulus@2020

05 August 2019

TAKZIAH KEPADA SAHABAT DR. HAZARUDDIN BIN HARUN

Takziah diucapkan kepada sahabat se pejabat Dr. Hazaruddin bin Harun, atas kepulangan isteri beliau, Allahyarham Dr. Hamirul’Aini binti Hambali, juga sahabat di pejabat yang sama, kembali ke  rahmatullah pada hari ini 5 Ogos 2019. Allahyarham adalah seorang sahabat yang baik serta seorang pensyarah yang amat disenangi oleh pelajarnya. Kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan tergolong di kalangan roh orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga Dr. Hazaruddin juga diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupanya tanpa isteri yang tersayang.


Aamiin.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Dr. Hamirul’Aini binti Hambali.

ahlulwulus@2019

24 July 2019

SYARAT TADABBUR AL-QURAN

Tadabbur al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT. Menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Maka apakah mereka tidak mentadabburkan al-Quran? Atau hati mereka terkunci.” (Surah Muhammad, ayat 24). Maksud tadabbur adalah kita menghayati dan merenung sehingga meresap makna ayat al-Quran itu ke dalam hati. Ia perkara yang disuruh oleh agama. Tadabbur berbeza dengan tafsir kerana tafsir menjelaskan maksud yang dikehendaki Allah SWT pada suatu ayat. Tiada siapa yang layak mentafsirkan ayat al-Quran melainkan Rasulullah SAW kerana Baginda adalah al-Quran bergerak. Mereka yang layak mentafsirkan al-Quran al-Karim adalah sahabat Baginda kerana mereka pernah hidup bersama Rasulullah SAW. Seterusnya, murid sahabat Nabi yang mengambil ilmu daripada sumber yang asli. Sampai kepada kita, semua tafsir al-Quran sudah terkumpul dan tersusun dalam kitab tafsir yang berjilid-jilid. Tafsir ayat al-Quran itu adalah tafsir rasmi yang diambil daripada sumber asli iaitu Rasulullah SAW.

Pada hari ini, jika ada ustaz atau ustazah yang mentafsir ayat al-Quran, sebenarnya mereka bukan mentafsir tetapi membaca tafsir al-Quran daripada kitab tafsir berdasarkan riwayat sahih yang boleh dipertanggungjawabkan kebenarannya. Untuk mentafsir al-Quran, seseorang itu perlu cukup ilmu seperti ilmu bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu usul fiqh, nasikh mansukh dan lain-lain lagi yang membawa kepada keupayaan menjelaskan maksud ayat Allah SWT di dalam al-Quran. Sudah tentu perkara itu bukan semua orang mampu melakukannya. Tidak seperti tadabbur iaitu mengambil pelajaran dan penghayatan daripada terjemahan al-Quran al-Karim.

Pada masa kini, terjemahan al-Quran dimasukkan sekali tafsir ayat untuk mudah difahami masyarakat. Dengan cara bertadabbur, ia dapat mengkiaskan pengajaran itu terhadap kehidupan manusia secara peribadi atau masyarakat. Tadabbur adalah maksud terbesar daripada tafsir kerana banyak ayat al-Quran menyuruh manusia mengambil pengajaran dan mematuhi arahan Allah SWT. Seseorang itu tidak boleh sama sekali mentafsir sendiri ayat al-Quran berdasarkan pemikirannya atau apa yang terlintas di kepalanya. Ia hendaklah merujuk kepada kitab tafsir yang muktamad untuk mengetahui maksud sebenar sesuatu ayat itu.

Antara kitab tafsir yang patut menjadi rujukan ialah Kitab Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir al-Munir. Saya mencadangkan supaya anda memiliki sebuah Kitab Tafsir Ibnu Kathir yang kini sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu sekiranya tidak mampu menguasai bahasa Arab. Sekiranya tidak merujuk dan hanya berdasarkan pemahaman saja, maka siapa yang akan bertanggungjawab dengan kebenaran hasil pemahaman itu? Tadabbur tidak akan terhasil melainkan selepas mengetahui tafsirnya. Pengetahuan yang benar daripada tafsir akan memberi kesan kepada tadabburnya. Tafsir ayat yang dilakukan oleh golongan mufassirin di dalam kitab tafsir termasuk juga apa yang terhasil daripada tadabbur mereka sendiri.

Datuk Dr Zahazan Mohamed
Penulis ialah pendakwah
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:13 PM

ahlulwulus@2019

20 April 2019

WARNA WARNI KAMPUS

Deretan bunga kertas yang bewarna-warni, merimbun, menari-nari ditiup angin pastinya menggamit pandangan mata sesiapa sahaja yang melihatnya. Indahnya ciptaan tuhan yang mewarnai bumi kampus Sintok pada masa ini. Bougainvillea yang berkembang mekar sepanjang jalan terutamanya berhampiran pintu gerbang UUM seolah-olah mengucapkan selamat datang ke UUM. Bougainvillea merupakan bunga rasmi UUM dan pokok hiasan yang sangat popular bagi mengindahkan laman. 


Musim bunga ini berlaku pada setiap tahun.

ahlulwulus@2019

06 April 2019

BENGKEL PERANCANGAN PELAN STRATEGIK PPP-SOC 2019

Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah memperkemaskan semula pelan tindakan strategik pusat pengajian susulan semakan semula KPI  Universiti baru-baru ini.  Beberapa  pelan tindakan yang dikenalpasti berpeluang untuk mencapai KPI turut diberikan perhatian dalam Bengkel Perancangan Strategik dan QS WUR By Subject yang telah diadakan pada 4-6 April 2019 di Marina Island Resort, Lumut, Perak.


Seramai 95 orang staf akademik dan pentadbiran SOC telah menyertai bengkel  ini dengan beberapa isu dan cabaran yang berbangkit mengenai perancangan strategik telah dapat diselesaikan.  Bengkel tiga hari ini dipenuhi dengan fokus kepada perbincangan terhadap usaha untuk melonjakkan SOC sebagai sebuah Pusat Pengajian yang cemerlang di UUM.

Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Dr. Huda  Hj Ibrahim,  dalam ucapan penutupnya meminta semua staf memberikan komitmen yang penuh terhadap perancangan strategik SOC ini. Kerjasama dari semua peringkat amat diperlukan kerana tanpa kesepakatan dan sokongan semua apa yang dirancangkan tidak akan berjaya.  Bagi  mengeratkan silaturrahim di kalangan staf juga, bengkel ini turut diisi dengan slot tazkirah, senam ceria dan aktiviti pembangunan pasukan.

Source: SOC ONLINE
ahlulwulus@2019

02 January 2019

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA TAHUN BAHARU 2019


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Tahun Baharu.

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahuwataala, kita sudah berada di ambang Tahun 2019. Dengan penuh takzim, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana kita berjaya menempuh tahun 2018 dengan selamat dan sejahtera.  

Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UUM, khususnya Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Para Penolong Naib Canselor, Dekan, Pengarah dan Pengetua, ahli akademik, kumpulan pengurusan pentadbiran, serta pelaksana, yang sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan UUM.

Sebelum tirai pentas 2018 dilabuhkan, marilah kita mengimbas kembali jalur kerja yang telah menghasilkan pencapaian yang membanggakan antaranya ialah peningkatan kedudukan dalam senarai Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2019 dan QS Asia University Rankings 2019.  Seterusnya, dua program Sarjana Muda yang ditawarkan oleh TISSA-UUM menjadi program pertama dan satu-satunya yang menerima akreditasi EFMD Programme Accreditation System (EPAS) daripada European Foundation for Management Development (EFMD) di Malaysia. Pada penghujung tahun 2018, UUM juga telah diktiraf sebagai universiti ke-76 terbaik dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2018. Kejayaan ini dan pelbagai kejayaan lain diperoleh hasil daripada kegigihan dan permuafakatan warga UUM. Inilah bukti bahawa muafakat membawa berkat.

Melangkah masuk tahun baharu, kita akan menggalas tanggungjawab untuk menyokong pelaksanaan reformasi pendidikan Malaysia. UUM akan bergerak selaras dengan Aspirasi KPM 2018-2023 yang terdiri daripada TIGA (3) nilai utama, iaitu Value-Driven Education yang berteraskan nilai-nilai murni, High Quality Education yang menekankan kecemerlangan dan efisiensi dan Autonomy and Accountability bagi memastikan tadbir urus yang cekap.    

Warga UUM juga harus berfikiran positif terhadap paradoks yang dihadapi, iaitu pada masa kita ingin meningkatkan kebolehpasaran graduan kita juga dalam proses memanfaatkan robotik dan automasi yang akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Oleh itu, tanggungjawab kita adalah untuk melengkapi mahasiswa dengan keupayaan untuk menjadi pencipta kerjaya di samping kebolehan untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat pada masa hadapan.

Saya amat berharap agar kita secara keratif dan inovatif menggembleng pelbagai sumber yang ada untuk mengisi sebarang kelompangan yang boleh menjejas prestasi UUM. Titik tolak gerak kerja kita adalah untuk mencapai keunggulan di peringkat global, memastikan kestabilan kewangan dan pada masa yang sama meningkatkan tahap kegembiraan dan kesejahteraan dalam kalangan warga UUM melalui pembudayaan nilai-nilai yang positif.

Justeru, untuk mendapatkan manfaat masa dengan sepenuhnya dalam tempoh setahun yang mendatang, nasihat Imam al-Ghazali radiAllahu anhu agar masa itu diatur, disusun dan dijadualkan, menjadi pedoman kita bersama. Insya-Allah, dengan perancangan yang rapi, terperinci dan teliti, di samping pelaksanaan yang berkesan, kejayaan akan menjadi milik kita. Saya berharap agar semangat dan keyakinan warga UUM dalam menyangga segala usaha menjadi pemangkin untuk kita mencapai misi dan visi yang sedia termaktub. 

Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2019 membuka lembaran sejarah baharu, dengan menempa pelbagai kejayaan dan pecapaian demi menjulang nama UUM sebagai institusi ilmu yang dikagumi di rantau ini. 

Selamat menjalankan amanah.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Hj. Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUMONLINE
ahlulwulus@2019

MAJLIS MERAIKAN PENERIMA GERAN PENYELIDIKAN KPM

"Penyelidikan yang kita jalankan perlulah mempunyai nilai dan integriti yang tinggi dalam menghasilkan output. Plagiarism, free rider, conflict of interest, dishonesty merupakan kecurangan akademik yang perlu dielakkan. Kita mendapat maklum bahawa agenda ranking adalah penting, namun tidak menjadi keutamaan jadi, kita telah merancang lebih awal melalui Blueprint RICE (Research, Innovation, Commercialisation, & Enterprenuership) bahawa kita perlu berfikir di luar dari ranking.’’

Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Ayoib Che Ahmad pada Majlis Penghargaan Penerima Skim Geran Dana Penyelidikan KPM di Dewan Seminar Pusat Islam, semalam. Ujarnya, dalam memperkasakan R&D UUM, peranan pelbagai jabatan sangat penting dalam memacu aktiviti kesarjanaan universiti. Impak dan visibility penyelidikan yang lebih baik akan menarik pihak luar untuk berkolaborasi bersama UUM dalam projek penyelidikan atau komuniti.

“Ini akan menjadi satu budaya baharu kepada staf akademik supaya lebih relevan kepada masyarakat seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dalam mendapatkan dana penyelidikan.  Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak urus setia dan Research and Innovation Management Centre (RIMC) secara amnya kerana mengadakan majlis penghargaan walaupun kita di penghujung tahun 2018. Alhamdulillah kita berjaya mendapat dana yang kita tunggu-tunggu dan ini akan dapat meningkatkan moral penyelidik kita untuk terus menghasilkan penyelidikan yang berkualiti,” katanya.

Jelasnya, dengan desakan pengukuran pencapaian KPI yang semakin bertambah, penawaran geran yang kompetitif, penguncupan dana, keperluan visibility serta pelbagai agenda antara cabaran baharu yang perlu diambilkira bagi kelestarian dan penambaikan ekosistem R&D.

“Jadi sinergi yang lebih berkesan diperlukan di kalangan PTJ dalam menambah baik sistem penyampaian dalam ekosistem R&D universiti. Di sinilah kita perlu mengambil peluang di mana kekuatan kita yang bersandarkan kepada sains sosial. Kita perlu menjadi champion bagi memanusiawi pembentukan polisi dan teknologi ciptaan manusia. Kita harus berpegang kepada kekuatan kita iaitu meneruskan kecemerlangan dalam penyelidikan yang menyumbang secara langsung kepada komuniti/masyarakat, inovasi sosial dan perkhidmatan profesional yang berkaitan,” tambahnya.

Menurutnya, penyelidik perlu mahir bukan sahaja dalam bidang kepakarannya tetapi juga dalam perkara lain yang berkaitan seperti pengurusan, komunikasi, kepimpinan dan hubungan dengan pihak lain.

“Penyelidik juga bertanggungjawab memikirkan bagaimana pengetahuan atau teknologi yang dihasilkan dapat dipindahkan melalui knowledge transfer atau technology transfer.  Tahniah saya ucapkan tahniah kepada semua penerima geran penyelidikan KPM bagi tahun 2018 semoga dapat menyempurnakan tugasan dan menghasilkan penyelidikan bermutu yang menyumbang kepada negara,” kongsinya.

Sementara itu, penerima skim Geran Dana Penyelidikan KPM 2018, Dr. Azlizamani Zubir @ Salim berkata, kajian yang dijalankan mengenai indeks organisasi untuk mengukur tahap kecerdasan buatan (artificial intelligence) staf akademik universiti awam di  seluruh negara dalam menghadapi cabaran revolusi industri 4.0. Ujarnya, kajian bertajuk Developing Executive Intelligence Index among Public Universities Academicians: Bridging the Gap in the Fourth Industrial Revolution as Fundamental Research memfokuskan 3 zon iaitu utara, tengah dan selatan.  

“Sebenarnya ini adalah peninggalan arwah Prof Dr. Najib Ahmad Marzuki, saya berada dalam team beliau ketika itu, bila beliau sudah tiada, saya mengambil alih tugas dan mengetuai pasukan yang terdiri daripada 5 penyelidik,” ulas Pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar Dan Kerja Sosial (SAPSP) itu lagi.

Sumber: UUMONLINE.

ahlulwulus@2018

19 November 2018

PERUTUSAN NAIB CANSELOR SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL TAHUN 1440H/2018M

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Muslimin Muslimat Warga UUM yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah Subhanahuwataala, Tuhan yang mentadbir sekalian alam, kerana dengan limpahan rahmat-Nya dapat kita bersama-sama menyambut hari ulang tahun keputeraan Kekasih-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Selawat dan salam buat Khatimul Anbiya’ Rasulullah Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga, sahabat dan pengikut Baginda.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil teladan daripada kesungguhan Baginda mempertautkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar serta menyantuni para sahabat Baginda dengan sebaiknya. Sifat penyantun baginda ini tidaklah terhad dalam kalangan Muslim sahaja, malahan baginda juga sangat prihatin dengan masyarakat bukan Islam sebagai contoh pada ketika baginda bermuamalah dengan kaum Yahudi ketika Baginda mentadbir negara Islam Madinah. 

Oleh itu, sebagai umat Baginda, sewajarnya kita mencontohi akhlak peribadi, budi pekerti dan sifat penyayang Baginda sebagai contoh ikutan terbaik dalam kehidupan seharian. 
Allah berfirman yang bermaksud;

“Sungguh, telah ada suri teladan yang baik pada (diri) Rasulullah bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah” (Surah al- Ahzab, ayat 21).

Sentiasalah kita bermuhasabah diri sebagai khalifah di atas muka bumi supaya kehidupan kita bertambah baik dari semasa ke semasa. Pastikan dalam kita bermuamalah seharian, sama ada di tempat kerja, di rumah, atau dalam masyarakat, secara individu atau berkumpulan, kita seharusnya mentauladani keprihatinan dan keadilan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menyama rata semua golongan, tanpa mengira pangkat dan darjat, kaya atau miskin. Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Bertepatan juga dengan tema sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1440H/2018M Peringkat Kebangsaan, ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, saya amat berharap agar semua warga UUM mempertaut erat tali silaturrahim demi mewujudkan suasana kerja yang mesra dan harmoni serta dapat mengekalkan kesejahteraan di samping menyantuni masyarakat sekeliling dan memulihara alam sekitar. Semoga UUM berupaya menterjemah tema yang diangkat dalam usaha membangunkan modal insan dan negara kita yang tercinta. 


وَبِاللهِ التَّوْفِيْق وَالْهِدَايَةُ  وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Prof. Dr. Ahmad Bashawir Haji Abdul Ghani
Naib Canselor UUM

Sumber: UUM Online
ahlulwulus@2018

15 September 2018

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2018

Saban tahun Hari Malaysia disambut pada 16 September demi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang dibentuk pada 16 September 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Pembentukan persekutuan baru ini dirancang berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Pada masa yang sama pihak Indonesia dan Filipina membuat bantahan atas pembentukan Malaysia menyebabkan pengisytiharan persekutuan Malaysia menjadi lambat dan ditangguhkan bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.


Sejarah pembentukan Malaysia yang sebelumnya bermula dengan pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah meninggalkan banyak peristiwa sejarah yang menjadi ingatan kepada semua bangsa Malaysia. Peristiwa sejarah yang berlaku seharusnya menjadi garispanduan yang mantap kepada waris anak bangsa agar terus mempertahankan negara ini dengan jiwa dan raga berasaskan kepada sistem Raja Berpelembagaan dan Agama Islam yang menjadi asas kepada perjuangan orang-orang yang terdahulu daripada kita.

Secebis kisah pembunuhan penguasa British JWW Birch pada 2/11/1875 di Pasir Salak, Perak membuktikan tindakan orang-orang Melayu dahulu mempertahankan tanahair dari penjajah yang merendahkan nilai bangsa dan agama (Islam) Melayu pada masa itu. Semangat ini mestilah wujud di dalam jiwa bangsa Malaysia hari ini yang sepatutnya sanggup mempertahankan maruah dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta.

Ikuti tulisan Abdullah Zakaria Ghazali mengenai peristiwa pembunuhan JWW Birch di SINI.

ahlulwulus@2018

28 August 2018

JELAJAH MERDEKA HUTAN SINTOK 2018

Program ini dianjurkan untuk mendedahkan kepada Alumni dan Staf UUM mengenai sejarah Hutan Sintok yang diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Kawasan Hitam pada zaman Komunis. Di samping itu, program bersempena Bulan Kemerdekaan ke-61 ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara Alumni UUM, Satf dengan Pusat Alumni UUM. Program ini berlangsung dengan jayanya oleh penyertaan sebanyak 58 orang. Dan aku adalah salah seorang yang menyertai program ini dengan jangkaan laluannya biasa biasa saja. Namun trek yang dilalui ini bukit W dan bukit Dagu yang kedua-duanya tinggi dan curam. Amat letih dan memenatkan, dan selepas beberapa hari barulah sengal-sengal di betis dan paha boleh hilang.

Melepasi halangan pertama
Taklimat daripada Jurupandu Termizi
Pokok Tiga Beradik
Mendaki bukit W
Pokok 3 Beradik
Antara pokok 3 beradik

Program bermula dari padang sasar dan berakhir di tasik sintok.

ahlulwulus@2018

27 August 2018

PENDAFTARAN HANNA NAJIHAH MASUK UiTM SHAH ALAM

Pendaftaran Hanna Najihah masuk ke UiTM Shah Alam telahpun selesai kelmarin 26/8/2018. Mendapat kolej kediaman Mawar Blok B bersama beberapa rakannya yang sama-sama berkuliah masa Asasi di Dengkil. Mengikuti kursus Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering) yang berdurasi 4 tahun. Semoga Hanna Najihah beroleh kejayaan dalam pengajian dan pembelajarannya. Aameen.

20 August 2018

NAIB CANSELOR UUM 2018

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH PROF. DATO SERI DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK, NAIB CANSELOR UUM KE TUJUH 2010-2018


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tempoh perkhidmatan saya sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke tujuh tamat pada Jumaat,  24 Ogos 2018.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (dulunya Kementerian Pengajian Tinggi) atas peluang yang diberikan kepada saya ini.

Sesungguhnya perjalanan tugas ini selama lebih lapan tahun adalah sesuatu yang amat mengujakan dan saya cukup gembira sepanjang menggalas tugas ini di sebalik segala cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Saya berterima kasih kepada semua warga kerja Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, UUM termasuklah Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah UUM, Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan semua pegawai kanan atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan kepada saya selama ini.

Tidak dilupakan juga kepada semua warga kerja UUM  dari segenap lapisan serta para mahasiswa/i UUM yang dikasihi sekalian. 

Saya turut berterima kasih kepada semua anggota masyarakat tempatan, semua rakan kongsi dan rakan-rakan UUM, handai taulan serta sahabat-sahabat dan rakan-rakan saya yang telah turut membantu dalam apa jua keadaan sukar dan senang, jatuh dan bangun bersama.

Saya sangat hargai segala sokongan dan bantuan anda semua.

Mohon maaf zahir dan batin jika ada terlanjur bicara dan apa-apa tindakan dan perlakuan saya yang telah menyinggung hati dan perasaan mana- mana pihak. 

Akhir kata tahniah dan selamat bertugas kepada Naib Canselor UUM yang baharu, Profesor Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani semoga Allah SWT permudahkan segala tugas beliau memacu kecemerlangan untuk UUM selepas ini. 


Selamat maju jaya kepada ke dua-dua Naib Canselor yang telah dan akan menyumbang bakti kepada kejayaan UUM. Selamat Maju Jaya UUM. 

Sumber: UUM online.
ahlulwulus@2018

16 July 2018

PERINTAH ALLAH DI DALAM AL-QURAN

Perintah Allah di dalam Al-Quran

1. Jangan berkata kasar (QS 3 – Ali Imran : 159)
2. Tahanlah marah (QS 3 – Ali Imran : 134)
3. Berbaiklah kepada orang lain (QS 4 – An Nisaa’ : 36)
4. Jangan sombong dan bongkak (QS 7 – Al A’raaf : 13)
5. Maafkanlah kesalahan orang lain (QS 7 – Al A’raaf : 199)
6. Berbicaralah dengan nada halus dan bersopan (QS 20 – Thaahaa : 44)
7. Rendahkanlah suaramu (QS 31 - Luqman : 19)
8. Jangan mengejek orang lain (QS 49 – Al Hujuraat : 11)
9. Berbaktilah pada orang tua (ibu bapa) (QS 17 – Al Israa’ : 23)
10. Jangan mengeluarkan kata yang tidak menghormati ibu bapa (QS 17 – Al Israa’ : 23)
11. Jangan memasuki bilik peribadi ibu bapa tanpa izin (QS 24 – An Nuur : 58)
12. Catatlah hutang-hutangmu (QS 2 – Al Baqarah : 282)
13. Jangan mengikuti orang secara membabi buta (QS 2 – Al Baqarah : 170)
14. Berikanlah lanjutan masa kepada yang berhutang kepadamu (QS 2 – Al Baqarah : 280)
15. Jangan makan riba’/membungakan wang (QS 2 – Al Baqarah : l
16. Jangan melakukan rasuah) (QS 2 – Al Baqarah : 188)
17. Jangan ingkar atau melanggar janji (QS 2 – Al Baqarah : 177)
18. Jagalah kepercayaan orang lain kepadamu (QS 2 – Al Baqarah : 283)
19. Jangan campur adukan kebenaran dengan kebohongan (QS 2 – Al Baqarah : 42)
20. Berlakulah adil terhadap semua orang (QS 4 – An Nisaa’ : 58)
21. Tegakkanlah keadilan dengan tegas (QS 4 – An Nisaa’ : 135)
22. Harta yang meninggal harus dibagikan kepada anggota keluarga (QS 4 – An Nisaa’ : 7)
23. Wanita memiliki hak waris (QS 4 – An Nisaa’ : 7)
24. Jangan memakan harta anak yatim (QS 4 – An Nisaa’ : 10)
25. Lindungi anak yatim (QS 2 – Al Baqarah : 220)
26. Jangan memboroskan harta dengan sewenang-wenangnya (QS 4 – An Nisaa’ : 29)
27. Damaikanlah orang yang berselisih (QS 49 – Al Hujuraat : 9)
28. Hindari perasangka buruk (QS 49 – Al Hujuraat : 12)
29. Jangan memfitnah orang (QS 2 – Al Baqarah : 283)
30. Jangan memfitnah orang (QS 49 – Al Hujuraat : 12)
31. Gunakan harta untuk kegiatan sosial (QS 57 – Al Hadid : 7)
32. Biasakan memberi makan orang miskin (QS 107 – Al Maa’uun : 3)
33. Bantulah orang fakir yang berada di jalan Allah (QS 2 – Al Baqarah : 273)
34. Jangan menghabiskan wang untuk bermegah-megah (QS 17 – Al Israa’ : 29)
35. Jangan menyebut-nyebut tentang sedekahmu (QS 2 – Al Baqarah : 264)
36. Hormatilah tetamu anda (QS 51 – Adz Dzaariyaat : 26)
37. Perintahkan kebajikan setelah kita melakukannya sendiri (QS 2 – Al Baqarah : 44)
38. Jangan berbuat kerosakan di muka bumi (QS 2 – Al Baqarah : 60)
39. Jangan menghalangi orang datang ke masjid (QS 2 – Al Baqarah : 114)
40. Perangilah mereka yang memerangi mu (QS 2 – Al Baqarah : 190)
41. Jagalah etika perang(QS 2 – Al Baqarah : 191)
42. Jangan lari dari peperangan (QS 8 – Al Anfaal : 15)
43. Tidak ada paksaan untuk memasuki agama (Islam) (QS 2 – Al Baqarah : 256)
44. Berimanlah kepada para Nabi (QS 2 – Al Baqarah : 285)
45. Jangan melakukan hubungan jenis di saat haid (QS 2 – Al Baqarah : 222)
46. Susuilah anak-anakmu selama dua tahun penuh (QS 2 – Al Baqarah : 233)
47. Jauhilah hubungan jenis di luar nikah (QS 17 – Al Israa’ : 32)
48. Pilihlah pemimpin berdasarkan ilmu dan jasanya (QS 2 – Al Baqarah : 247)
49. Jangan membebani orang di luar kesanggupannya (QS 2 – Al Baqarah : 286)
50. Jangan mahu dipecah belah (QS 3 – Ali Imran : 103)
51. Renungkanlah keajaiban dan penciptaan alam semesta ini (QS 3 – Ali Imran 3 :191)
52. Lelaki wanita mendapat balasan yang sama sesuai perbuatannya (QS 3 – Ali Imran : 195)
53. Jangan menikahi mereka yang sedarah denganmu (QS 4 – An Nisaa’ : 23)
54. Keluarga harus di-imami oleh seorang lelaki (QS 4 – An Nisaa’ : 34)
55. Jangan kedekut (QS 4 – An Nisaa’ : 37)
56. Jangan iri hati (QS 4 – An Nisaa’ : 54)
57. Jangan saling membunuh (QS 4 – An Nisaa’ : 92)
58. Jangan membela ketidakjujuran atau kebohongan (QS 4 – An Nisaa’ : 105)
59. Jangan bekerja-sama dalam dosa dan kekerasan (QS 5 – Al Maa-idah : 2)
60. Bekerja samalah dalam kebenaran (QS 5 – Al Maa-idah : 2)
61. Majoriti bukanlah merupakan kriteria kebenaran (QS 6 – Al An’aam : 116)
62. Berlaku adil (QS 5 – Al Maa-idah:8)
63. Berikan hukuman untuk setiap kejahatan (QS 5 – Al Maa-idah : 38)
64. Berjuanglah melawan perbuatan dosa dan melanggar hukum (QS 5 – Al Maa-idah : 63)
65. Dilarang memakan binatang mati, darah dan daging babi (QS 5 – Al Maa-idah : 3)
66. Hindari minum racun dan alkohol (QS 5 – Al Maa-idah : 90)
67. Jangan berjudi (QS 5 – Al Maa-idah : 90)
68. Jangan menghina keyakinan atau agama orang lain (QS 6 – Al An’aam : 108)
69. Jangan mengurangi timbangan untuk menipu (QS 6 – Al An’aam : 152)
70. Makan dan minumlah secukupnya (QS 7 – Al A’raaf : 31)
71. Kenakanlah pakaian yang bagus di saat solat (QS 7 – Al A’raaf : 31)
72. Lindungi dan bantulah mereka yang meminta perlindungan (QS 9 – At Taubah:6)
73. Jagalah kemurnian (QS 9 – At Taubah : 108)
74. Jangan pernah putus asa akan pertolongan Allah (QS 12 – Yusuf : 87)
75. Allah mengampuni orang yang berbuat dosa kerana kezahilan (QS 16 – An Nahl : 119)
76. Serulah kepada jalan Allah dengan cara yang baik dan bijaksana (QS 16 – An Nahl : 125)
77. Tidak ada seorangpun yang menanggung dosa orang lain (QS 17 – Al Israa’ : 15)
78. Jangan membunuh anak-anakmu kerana takut akan kemiskinan (QS 17 – Al Israa’ : 31)
79. Jangan ikuti sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya (QS 17 – Al Israa’ : 36)
80. Jauhkan diri dari cakap dan perbuatan yang tidak bermanafaat (QS 23 – Al Mu’minuun : 3)
81. Jangan memasuki rumah orang lain tanpa izin pemilik rumah (QS 24 – An Nuur : 27)
82. Allah menjamin balasan kebaikan kepada hamba Allah yang percaya (QS 24 – An Nuur : 55)
83. Berjalanlah di muka bumi dengan rendah hati (QS 25 – Al Furqaan : 63)
84. Jangan melupakan kenikmatan dunia yang telah Allah berikan (QS 28 – Al Qashash : 77)
85. Jangan menyembah Tuhan selain Allah (QS 28 – Al Qashash:88)
86. Jangan terlibat dalam homosexual (QS 29 – Al ‘Ankabuut : 29)
87. Berbuat baik dan cegahlah perbuatan munkar (QS 31 - Luqman : 17)
88. Janganlah berjalan di muka bumi dengan sombong (QS 31 - Luqman : 18)
89. Wanita dilarang mempamerkan diri (QS 33 – Al Ahzab : 33)
90. Allah mengampuni semua dosa-dosa kita (QS 39 – Az Zumar : 53)
91. Jangan berputus asa akan keampunan dari Allah (QS 39 – Az Zumar : 53)
92. Balaslah kejahatan dengan kebaikan (QS 41 – Fushshilat : 34)
93. Selesaikan persoalan dengan bermusyawarah (QS 42 – Asy Syuura : 38)
94. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa (QS 49 – Al Hujuraat : 13)
95. Tidak ada dikenal biara dalam agama (Islam) (QS 57 – Al Hadid : 27)
96. Allah akan meninggikan darjat mereka yang berilmu (QS 58 – Al Mujaadilah : 11)
97. Perlakukan kaum bukan Islam dengan baik dan adil (QS 60 - Al Mumtahanah : 8)
98. Hindari diri dari sifat kikir (QS 64 – At Taghaabun : 16)
99. Mohon keampunan kepada Allah (QS 73 – Al Muzzammil : 20)
100. Jangan mengherdik orang yang meminta-minta (QS 93 – Adh Dhuhaa : 10)

ahlulwulus@2017

15 June 2018

HARI RAYA 2018

Salam.

Tahun ni masih meneruskan tradisi berhari raya secara sederhana dengan balik ke kampung seperti biasanya setiap tahun. Tahun ini semua adik beradik balik dan bolehlah majlis ziarah dari rumah ke rumah di Lorong 3B dapat dibuat. Semua anak-anak dah ada bersama cuma Muhammad Al-Amin masih berada di Mesir.



ahlulwulus@2018

10 May 2018

UUM UCAP TAHNIAH KEPADA TUN MAHATHIR

Pilihanraya umum ke 14 (PRU-14) yang telah diadakan pada 9 Mei 2018 telah pun selesai dan keputusannya telahpun diketahui dengan memihak kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negara sehingga PRU yang akan datang. Pelbagai pihak telah mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat, termasukkan pihak pengurusan UUM secara khususnya telah mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai perdana menteri yang baru dan Dato Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah yang baru.



Tahniah juga kepada rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan yang mereka mahukan. Semoga Malaysia akan terus gemilang di saentaro dunia. Aameen.

ahlulwulus@2018

04 April 2018

GERAN PENYELIDIKAN PRGS

Hari ini mempertahankan cadangan geran projek PRGS (Prototype Research Grant Scheme) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Putrajaya bersama dengan Pengarah RIMC Prof Dr. Aizuddin. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan pembentangan berjaya dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sokongan rakan-rakan penyelidik Dr Shahbani, Dr Ahmad Suki dan En Muhammad Shakirin membolehkan pembentangan ini dapat dilakukan dgn lancar. Terima kasih juga kepasa Prof Dr Aizuddin dan stafnya yang turut menyokong proses permohonan ini dari mula hingga ke hari ini. Barakahlahu fikum.
ahlulwulus@2018
Prof. Dr. Mohd Azizuddin and Me

29 March 2018

MESYUARAT AGONG PERPATI

Hari menghadiri mesyuarat agong PERPATI yakni Persatuan Pegawai Tadbir Ikhtisar sebagai ahli bersekutu. Sebelum ini tidak pernah hadir walaupun sudah beberapa kali mesyuarat ini diadakan sejak menjadi ahli bersekutu. Semasa menjadi Pegawai Sistem Maklumat (PSM) dahulu memang rajin menghadirinya. Walaupun pimpinannya silih berganti namun perjuangan masih sama seperti dahulu. Kini PERSATU adalah wadah persatuan yang baru. Bagaimana pun hanya sebagai ahli biasa sahaja.